“Beri aku 10 pemuda, pasti aku akan menggoncang dunia” Soekarno, Presiden pertama Indonesia.
“The youth of today are leaders of tomorrow” Nelson Mandela, Presiden pertama Afrika Selatan.
Dua kenyataan di atas adalah pengiktirafan kepada kemampuan belia di dalam mencorak perubahan bagi sesebuah negara. Ia bukan pernyataan kosong yang tidak membawa apa-apa kesan. Tetapi frasa tersebut berupaya membangkitkan kesedaran belia untuk memimpin perubahan atau melakukan islah demi masa depan yang gemilang dan berwawasan. Oleh sebab itu, frasa ini sering dilaungkan oleh politikus yang belum berkuasa untuk mendapatkan sokongan. Dalam masa yang sama, pernyataan ini juga dianggap ancaman kepada pemerintah semasa kerana mereka tidak bersedia diganti oleh orang lain.
Dalam titah ucapan Istiadat Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-14, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan pemimpin negara mahupun negeri yang diberi kuasa untuk kekal konsisten dan komited dalam menjalankan amanah, dengan menegakkan amar ma’ruf dan tegas menentang segala kemungkaran (Hasnan, 2020). Selain kemungkaran yang berasaskan kepercayaan agama yang perlu dikawal rapi, kemungkaran yang boleh merosakkan sektor sosial dan ekonomi seperti salah guna kuasa, rasuah, ketidakadilan dan memecah-belahkan masyarakat adalah perkara yang mesti dielakkan. Tindakan membendung kerosakan tersebut dari berlaku boleh dijadikan panduan kepada generasi baru untuk turut serta melakukan perubahan dan trasnformasi tadbir urus negara secara menyeluruh dan berkesan.
Keperihatian Sultan Nazrin amat tepat pada masanya. Ini adalah kerana dunia hari ini menghadapi pelbagai krisis yang belum pernah berlaku di dalam mana-mana zaman dan ketamadunan moden. Sebagai contoh, Edelmen Trust Barometer melaporkan indeks kepercayaan kepada kerajaan adalah yang terendah untuk 4 tahun berturut-turut (2017-2020) berbanding sektor korporat dan NGO (badan bukan kerajaan). Dan pada tahun 2020, pemimpin kerajaan (ahli politik) dan pemimpin agama tergolong di dalam tiga kumpulan pemimpin yang paling tidak dipercayai (Edelmen Trust Barometer Report, 2020). Dari laporan ini jelas menunjukkan krisis kepimpinan dan krisis nilai adalah dua krisis global yang mesti ditangani segera dengan penglibatan ampuh dari golongan belia yang berfikiran reformis (islah).
Muhammad Faisal Abdul Aziz (2018) di dalam bukunya, “Islam dan Pemikiran Reformis Masa Hadapan” menegaskan pemikiran reformis atau islah adalah tanggungjawab kekhalifahan yang perlu dipikul semua pihak secara bersama dalam membendung kerosakan dari berlaku di dunia ini. Merujuk kepada ayat 30, surah Al-Baqarah, Syeikh Wahbah Zuhaili mendatangkan dua hikmah dari dialog antara malaikat dengan Allah SWT yang mempersoalkan kemampuan manusia dipertanggungjawabkan tugas sebagai khalifah.
Hikmah pertama Allah SWT menjelaskan akan wujudnya maslahah di dunia ini yang memerlukan khalifah iaitu manusia untuk menguruskannya. Hikmah kedua, Allah SWT menyakini akan kemampuan manusia untuk melakukan islah berdasarkan ilmu dan ‘aqal yang dikurniakanNya serta diajarkan kepada manusia seperti yang terakam di dalam kisah Nabi Adam (AS). Keyakinan dan pengiktirafan dari Allah SWT kepada manusia merupakan manifestasi kehebatan dan keupayaan ‘aqal manusia dalam menangani kefasadan yang turut dilakukan manusia itu sendiri.
Memahami dua hikmah tanggungjawab sebagai khalifah; kemahiran dan penglibatan dalam mengurus maslahah dan kekuatan ilmu serta keupayaan ‘aqal – golongan belia seharusnya berperanan penting dan terkehadapan di dalam memimpin kemajuan negara serta memastikan tadbir urus negara dilaksanakan demi kesejahteraan masyarakat secara adil dan saksama.
Dr Tareq al-Suwaidan di dalam bukunya “Al-Khittah Al-Istrātījiyyah li-Nahḍah al-Ummah” menggariskan 10 strategi perubahan dalam memastikan ketamadunan bangsa dapat dibangunkan. Salah satu darinya ialah elemen tadbir urus yang merupakan tunjang terpenting yang mesti diberi perhatian (Tareq Suwaidan, 2019). Selain itu, Dr Tareq turut menegaskan bahawa kemajuan sesebuah tamadun baru bergantung kepada komponen budaya bangsa yang mesti difahami dan dihormati oleh semua warga di dalam sebuah negara.
Perkara yang sama turut pernah disinggung oleh Prof Dr Syed Hussein al-Attas. Beliau menjelaskan amat penting pembinaan sesebuah tamadun bangsa mahupun negara diterajui golongan intelektual yang tidak jadong (Syed Hussein al-Attas, 1977). Mengulas lanjut perihal tersebut, Prof Dr Farid al-Attas menjelaskan pentingnya golongan intelektual memimpin tadbir urus sesebuah negara sebagai jalan keluar kepada dua permasalahan pokok yang bersifat teoretis dan praktikal. Ini adalah kerana, tujuan intelektual itu adalah untuk membebaskan diri daripada tawanan minda (captive mind). Akibat dari kegagalan untuk membebaskan diri dari minda tertawan, mengakibatkan seseorang itu terus terperangkap di dalam permasalahan amali seperti tidak berupaya melawan rasuah, tiada nilai peribadi yang baik, ekstrim dalam beragama dan kelakuan serta pemikiran yang tidak mencerminkan akal budi yang luhur.
Persoalannya, adakah golongan belia di Malaysia berupaya dan bersedia untuk memikul tanggungjawab lantas memacu perubahan? Adakah mereka benar-benar faham dan percaya pengamalan tadbir urus yang baik adalah jawapan kepada dua krisis global sekarang; krisis kepimpinan dan krisis nilai?
Maka amatlah penting golongan belia mempersiapkan diri untuk memimpin naratif baharu tadbir urus negara. Tidak seharusnya gaya kepimpinan lama yang terlibat dengan salah laku, rasuah, boros, penyelewengan dan khianat menjadi tauladan. Nabi Muhammad (SAW) turut mengingatkan sekiranya asas kepimpinan itu didasari sifat khianat, maka bersedialah menghadapi kehancuran di kemudian hari.
Walaupun Center for the Future and Democracy yang berpusat di University of Cambridge melaporkan kebanyakan belia di pelbagai negara semakin hilang keyakinan terhadap sistem demokrasi, namun ia tidak boleh menjadi hujah utama dan digeneralisasikan. Memperakui krisis kepimpinan dan kepercayaan yang berlaku disumbangkan dari sistem demokrasi sedia ada, tetapi, melalui sistem demokrasi juga keadilan dapat ditegakkan dan terbukti bertahan lama di kebanyakan negara barat termasuk Malaysia. Seperti mana Malaysia mendapat kemerdekaan melalui rundingan aman dan disusuli dengan proses demokrasi tanpa pertumpahan darah, maka seharusnya medan yang sama menjadi asas perubahan dan transoformasi negara yang lebih baik dengan penglibatan luas golongan belia.
Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Kofi Annan pernah menyebut; “No one is born a good citizen; no nation is born a democracy. Rather both are processes that continue to evolve over a lifetime. Young people must be included from birth. A society that cuts off from its youth severs its lifeline.”
Maka, dengan itu adalah penting untuk setiap dari kita, terutama golongan belia memikul tanggungjawab memastikan negara dipimpin secara adil berserta tatakelola yang baik. Membiarkan kerosakan mewenang yang akhirnya menyebabkan negara berhutang dan masyarakat berpecah-belah adalah perkara yang mesti dielakkan. Bahkan, membina persefahaman antara kaum yang damai, membangun kemajuan secara aman dan mapan serta menyemai kesepaduan rasa hormat menghormati adalah teras kepada kegemilangan negara majmuk seperti Malaysia yang mesti ditunjangi golongan belia dan intelektual.
Seperti mana tema Hari Belia Negara 2020, “Dekad Ini, Dekad Anda”, maka, ayuh para belia, Malaysia perlukan anda!
Rujukan:
Muhammad Faisal Abdul Aziz. Islam dan Pemikiran Reformis Masa Hadapan. (ABIM Press: Kuala Lumpur, 2019).
R.S., Klassen, A., Wenger, D., Rand, A. and M. Slade. 2020. “Youth and Satisfactionwith Democracy: Reversing the Democratic Disconnect?” Cambridge, United Kingdom: Centre for the Future of Democracy.
Syed Hussein al-Attas. Intelectual in the Developing Society. (Routledge: New York, 1977)
Tareq al-Suwaidan. Al-Khittah Al-Istrātījiyyah li-Nahḍah al-Ummah. (2019).
Hasnan, H. A. (2020) Ini nasihat Sultan Perak kepada mereka yag mempunyai kuasa. Astro Awani. retrieved from https://www.astroawani.com/berita-politik/ini-nasihat-sultan-perak-kepada-mereka-yang-punya-kuasa-272507
https://ydata.iyres.gov.my/iyresbankdataV2/www/index.php?r=pub/home/readcontent4&id=134
Artikel ini telah diterbitkan di In Other Words. Layari http://fkp.usim.edu.my/articles/