Perancangan Kewangan Naqli dan Aqli Siri 17
Di dalam siri lepas, saya telah membuka topik perbincangan mengenai pelaburan, memerihal 3 falsafah barat yang menghalang kejayaan dan 1 falsafah Islam yang perlu digunakan oleh pelabur-pelabur untuk menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Di dalam siri kali ini, pembaca akan diberikan pengenalan tentang jenis-jenis pendapatan yang pernah dibincangkan di dalam siri yang ke 15 agar kita lebih memahami bagaimana penjanaan pendapatan itu boleh diperolehi. Seterusnya jenis-jenis pelaburan juga akan disentuh secara amnya untuk membuka minda pembaca tentang peluang pelaburan yang boleh diceburi.
Kebanyakan orang hanya berfikir untuk mencari wang tetapi mereka tidak sedar bahawa terdapat pelbagai jenis wang yang bekerja untuk kita dan bukannya kita bekerja untuk wang. Secara ringkasnya, wang menjadi pekerja kita dan kita boleh duduk goyang kaki. Pendapatan boleh dibahagi kepada tiga jenis kategori pendapatan, iaitu pendapatan aktif, pendapatan pasif dan pendapatan pelaburan. Ada di antara kita yang hanya mempunyai 1 pendapatan, ada yang mempunyai dua jenis pendapatan dan ada yang mempunyai ketiga-tiga jenis pendapatan.
Persoalan yang perlu difikirkan untuk pembaca ialah adakah kita mempunyai salah satu pendapatan yang di atas atau masih belum berpendapatan? Apakah perlu kita mempunyai lebih dari satu pendapatan. Adakah ini yang dimaksudkan dengan mencari lebih dari 1 pendapatan? Atau adakah kita perlu mencari satu kerja tambahan disamping kerja hakiki? Berhenti dari membaca sejenak, dan cuba soalan yang dikemukakan.
Pendapatan aktif ialah pendapatan yang biasa diperoleh oleh kebanyakan orang. Secara umumnya diperolehi dari pekerjaan dimana kita akan mendapat gaji. Pendapatan pasif, pula ialah pendapatan yang kita perolehi tanpa perlu aktif bekerja seperti pendapatan dari hasil sewa rumah, royalti dari penjualan album lagu atau buku. Pendapatan Portfolio pula ialah pendapatan yang diperolehi daripada pelaburan aset kewangan seperti saham, bon, dan unit amanah. Cuba senaraikan kesemua jenis-jenis pendapatan anda pada masa sekarang. Adakah anda ingin mendapat lebih dari satu jenis pendapatan.
Apakah caranya jika anda ingin mendapatkan pendapatan pasif dan pendapatan portfolio? Ramai motivator kewangan termasuk Robert Kiyosaki mengatakan bahawa “Jika mahu menjadi kaya, bekerja untuk pendapatan pasif dan portfolio.” Pulangan pelaburan di dalam aset kewangan ini boleh didapati dari pulangan dividen atau pulangan atas keuntungan modal. Salah satu perkara utama di dalam menjana pendapatan dari pelaburan portfolio ini ialah pulangan dan risiko yang perlu dihadapi. Berikut adalah beberapa contoh pendapatan yang boleh didapati dari pendapatan portfolio.
Senarai pelaburan portfolio yang disenaraikan di atas adalah tidak terbatas dan ada pelbagai pelaburan portfolio yang boleh diceburi oleh pembaca. Walaubagaimanapun, langkah berjaga-jaga agar tidak terjebak dengan skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan yang tinggi. Sebagai panduan asas, jika pulangan yang ditawarkan luar biasa dari seperti yang disenaraikan di atas, pembaca boleh merujuk kepada pihak yang berkuasa untuk mengesahkan samada pelaburan yang ditawarkan adalah pelaburan yang selamat dan sah di sisi-sisi undang-undang.
Pada siri yang berikutnya saya akan mengupas isu tentang perkara asas yang perlu dilengkapi di dalam diri pembaca sebelum cuba untuk menjana pendapatan dari pendapatan pasif atau portfolio kerana kedua-duanya mempunyai risiko yang tersendiri.