Dr. Kartini Kamaruzzaman
Dr. Kartini KamaruzzamanKetua Program , Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Dr. Eizan Azira Mat Sharif
Dr. Eizan Azira Mat SharifPensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Naratif MADANI mengejar matlamat Malaysia sebagai sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati dan menyemai sikap ihsan di antara satu sama lain. Ia juga menerapkan laungan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam menyumbang kepada kesejahteraan negara dan bangsa baik secara fizikal mahupun aktiviti yang dilakukan di dalam talian. Jika kita lihat laporan yang diterbitkan oleh bahagian penyelidikan Statista pada tahun 2022, 91.7 peratus rakyat Malaysia adalah pengguna aktif media sosial iaitu dengan anggaran 29.9 juta dari 32.7 juta rakyat Malaysia. Justeru, penggunaan media digital termasuklah media sosial perlu dimanfaatkan sebaiknya begitu juga bentuk aktivisme dalam talian.

Profesor Graham Meikle di bahagian Komunikasi dan Media Digital, University of Westminister London mentakrifkan aktivisme dalam talian sebagai aktiviti melalui penggunaan media termasuklah teknologi dan komunikasi elektronik. Aktivis dalam talian boleh menggunakan Internet dan gajet sebagai wadah untuk menyebarkan maklumat dan mengajak pengguna untuk melakukan tindakan memandangkan keupayaannya untuk menjangkau khalayak ramai merentasi sempadan dengan serta-merta.

Justeru, pelbagai aktiviti dalam talian yang positif dapat menyumbang kepada pemerkasaan aktivis digital seperti mendokong aktiviti kemanusian, pengumpulan dana bagi yang memerlukan ketika berlakunya bencana alam,  serta menyebarkan kesedaran tentang sesuatu perkara atau isu. Jika disingkap, ianya amat berkait dengan agenda membangun Malaysia Madani yang menumpukan aktiviti-aktiviti yang dapat menyelesaikan masalah dalam memenuhi keperluan masyarakat termasuklah mengenalpasti potensi aktivisme yang baik dan memperkasakan masyarakat agar proaktif, berdaya cipta dan kreatif.

Tingkatkan Peranan Aktivis dan Pengguna Platform Digital

Walaupun aktivisme dalam talian banyak dibincangkan dengan isu seperti ‘hacktivism’ yang merujuk kepada penggodaman, terdapat aktivisme yang menjurus kepada perubahan masyarakat yang positif. Oleh yang demikian, aktivisme boleh disesuaikan dengan tujuan untuk memperkasakan masyarakat. Sebagai contoh, dengan adanya kemudahan alat teknologi seperti telefon pintar dan Internet, setiap individu berupaya memainkan peranan sebagai agen barisan hadapan dalam konteks media digital.

Dalam erti kata lain, aktivis dan pengguna yang bergiat di dalam arena seperti memperjuangkan hak asasi manusia kebiasannya didorong oleh tanggungjawab sosial dan perspektif untuk membentuk masyarakat yang lebih baik. Bentuk aktivisme seperti ini sudah tentu banyak mendapat tempias cabaran dalam aspek sosial ketika mana mereka berhadapan dengan isu dan permasalahan masyarakat. Di tahap tertinggi, aktivis memainkan peranan dalam memperjuangkan suara masyarakat dan berusaha mempengaruh polisi dan dimensi sosio-politik. Oleh yang demikian, adalah penting bagi seseorang aktivis untuk mengimbangkan aktivisme yang dilakukan termasuklah keselamatan dalam penggunaan media digital.

Perlu diketahui bahawa penggunaan platform dalam talian seperti media sosial bagi tujuan aktivisme meliputi aspek mendapatkan pendapat awam dan reaksi pengguna dalam talian. Walau bagaimapun, aktiviti yang berlaku di alam maya ini sudah tentu boleh mengundang ancaman kepada kesejahteraan sosial kerana aktiviti interaksi yang berlaku di alam maya adalah sukar untuk dibendung. Data dari Pusat Penyelidikan Pew 2021 juga menyatakan ulasan dan pendapat terhadap sesuatu isu yang dilontarkan pengguna media sosial boleh bertukar menjadi penghinaan, ugutan dan gangguan jika dibiarkan tanpa tindakan.

Perkara ini lebih merisaukan apabila individu boleh melindungi identiti akaun media sosial yang digunakan dan menyebabkan maklum balas boleh diberikan oleh orang yang tidak dikenali atau tidak mempunyai identiti digital. Implikasinya boleh menyebabkan pengguna tidak mengambil tanggungjawan terhadap apa yang telah mereka lontarkan. Pada tahap yang lebih serius, individu boleh menjadi ekstreme dalam memberikan pendapat dan seterusnya memberi implikasi kepada kestabilan dan keharmonian masyarakat. Proses ini boleh mengakibatkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan kerana perbezaan pendapat yang tidak sihat yang mengakibatkan perpecah-belahan, pergaduhan dan konflik.

Oleh yang demikian, aktivis dan individu yang mempunyai kecenderungan untuk melakukan aktivisme perlu memperjuangkan isu yang dapat merubah situasi masyarakat ke arah yang positif. Meskipun mempunyai harapan untuk mengubah pendapat individu lain, aktivis digital perlu melakukannya dengan kaedah yang berhemah agar keharmonian dan keselataman masyarakat masih terbela. Ia seiring dengan rasional Malaysia Madani yang menekankan sikap saling menghormati dan meraikan pendapat seperti melalui diaolog peradaban.

Usaha Kolektif Pelihara Ketamadunan

Usaha kecil ini dapat membuka peluang kepada orang ramai untuk turut berfikir secara kritis tetapi positif disamping mengamalkan nilai-nilai murni terhadap sesama individu. Hujahnya, interaksi sosial melalui media digital tidak seharusnya melesapkan kualiti manusia yang positif dan menjunamkan erti ketamadunan. Sebaliknya, ia perlu diperkasakan secara kolektif dan berterusan agar aktivisme yang dilakukan adalah bermanfaat dan dapat mendidik masyarakat ke arah pembentukan adab dan akhlaq yang baik.

Seperti yang disebutkan menerusi perspektif Islam bahawa akhlak bukan sahaja merujuk kepada budi pekerti, kelakuan, dan tabiat, ini adalah kerana ianya meliputi hubungan individu dengan penciptanya serta sesama makhluk yang lain. Individu yang baik bukan sahaja berkualiti dari sudut akhlak dan peribadi, tetapi berupaya menjadi agen sosial dalam merubah masyarakat ke peringkat yang lebih baik. Dalam dunia siber, pemerkasaan aktivis dan pengguna digital adalah penting dalam melahirkan masyarakat yang berpotensi memainkan peranan yang seimbang dalam dunia relaliti dan maya agar tidak hanya dipandu oleh akal fikiran dan didorong hawa nafsu.