Pandemik COVID-19 yang menyerang Malaysia dan seluruh dunia dilihat seperti tiada kesudahannya walaupun kini, solusi vaksinasi menjadi polemik utama yang mendapat reaksi pelbagai pihak. Di beberapa negeri yang mempunyai kes sebaran wabak yang tinggi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dijalankan. Malah kawalan pergerakan ini bukanlah perkara baru dan asing bagi rakyat Malaysia kerana telahpun melaluinya dalam siri serangan pandemik COVID-19 pada tahun lepas. Oleh yang demikian, seharusnya setiap individu sudah arif dan bijak dalam memilih strategi daya tindak dalam berhadapan cabaran era pandemik ini. Persoalannya, mampukah masyarakat mendepani kemelut kawalan pergerakan sekali lagi dengan mental yang sihat dan sejahtera?. Sejauh mana persiapan individu untuk kekal gembira dan positif sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini?
Hakikatnya, ledakan kes jangkitan dari virus pembunuh yang telah meragut jutaan nyawa memberi impak kepada semua. Angkara wabak ini juga, ramai yang masih bergelut dengan kebimbangan, kelesuan, kegelisahan, kemurungan dan berdepan dengan pelbagai ketidakpastian. Bahkan senario ini dikhuatiri bakal menyumbang kepada pertambahan kes berkaitan aspek kesihatan mental. Hal ini kerana, wabak COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada sistem ekonomi, sosial, kesihatan, dan pendidikan negara yang implikasinya menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan swadiri masyarakat.
Berikutan pertambahan kes jangkitan COVID-19 yang mendadak pada awal tahun 2021 ini, kerajaan telah mengambil tindakan pantas mengekang penularan wabak ini melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 24 Januari 2021 yang lepas. PKP ini dilaksanakan kembali demi menjaga penularan virus yang berada pada aras yang membimbangkan sejak gelombang ketiga membadai pada bulan september 2020. Bahkan sebelum ini, Malaysia yang telah mencatat lebih dari 4 digit angka (5 ribu kes) untuk rekod kes harian dan mencatat lebih dari 200 ribu kes jangkitan secara kumulatif dilihat sedang menuruni “bukit keluk” apabila PKP dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, perintah yang membatasi pergerakan ini menjadikan rakyat Malaysia menjalani kehidupan sepenuhnya di rumah bersama keluarga dan mengehadkan pergerakan keluar rumah sehingga ada di antara individu yang mengalami tekanan dan kemurungan berikutan terpaksa berkurung di rumah. Tambahan pula, kemerosotan ekonomi dengan terjejasnya pekerjaan menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan.
Tekanan yang disebabkan risau akibat peningkatan kes COVID-19 dan adaptasi kehidupan dalam norma baharu juga boleh menyebabkan hilang rasa gembira dalam menikmati kehidupan. Rentetan itu, manusia perlu belajar untuk mengurangkan dan menyelesaikan tekanan yang dihadapi menerusi strategi daya tindak. Strategi daya tindak merupakan salah satu cara bagaimana manusia melihat tekanan dan berusaha mengurangkannya dengan membuat penyesuaian diri terhadap masalah mereka.
Secara asasnya, strategi daya tindak meliputi aspek kognitif, emosi, tingkah laku, persekitaran, sosial dan aspek keagamaan. Kesemua aspek ini membantu manusia menghadapi tekanan dengan baik sekaligus mengurangkannya. Aspek kognitif memerlukan individu mengenalpasti masalah dan mengehadkan tekanan yang dialami. Ia boleh dilakukan dengan meluangkan masa dengan membaca, mempelajari resepi baru, menonton televisyen, mendengar muzik, menyanyi, dan mengimbas memori bahagia. Aktiviti ini dapat mengalihkan pemikiran untuk melupakan perkara yang menyumbang kepada tekanan.
Manakala, strategi daya tindak tingkah laku berfokus kepada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengurangkan tekanan. Kemurungan yang dialami disebabkan duduk menyendiri boleh diatasi dengan melakukan aktiviti seperti menari, bersenam, berenang, senamrobik, zumba dan mempraktikkan aktiviti relaksasi seperti mengamalkan senaman regangan dan senaman latihan pernafasan (deep breathing exercise). Hal ini membantu individu untuk mengawal tekanan dengan baik di samping melakukan aktiviti yang menyihatkan.
Amalan regulasi emosi pula dapat dilakukan dengan menetapkan mood dan emosi. Ia dapat dilakukan dengan mengawal emosi, menganalisis semula, memainkan peranan dan tanggungjawab serta cuba menjauhkan diri dari krisis. Misalnya, ibu bapa perlu menyemai rasa tanggungjawab dalam diri setiap anak-anak supaya mereka lebih bertanggungjawab dalam menyiapkan urusan persekolahan mereka dan dalam masa yang sama tidak malas untuk membantu ibu bapa di rumah. Hal ini dapat dipraktikkan oleh ibu bapa yang bekerjaya yang terpaksa membahagikan masa terhadap tugasan di tempat kerja dan urusan di rumah. Anak-anak akan lebih memahami keadaan ibu bapa dan mengelakkan daripada wujudnya emosi-emosi negatif dalam sesebuah institusi kekeluargaan.
Strategi daya tindak berikutnya ialah aspek persekitaran sosial yang digunakan untuk mendapatkan sokongan sosial ketika menghadapi tekanan. Hal ini dapat membantu menghilangkan tekanan sedia ada dengan mendapatkan sokongan sosial dari ahli keluarga terdekat malah boleh dilakukan menerusi perkhidmatan tele-kaunseling yang disediakan oleh kerajaan. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu individu daripada rasa terbeban dengan tekanan yang dihadapi dan mempunyai saluran untuk meluahkannya.
Strategi daya tindak menurut aspek keagamaan pula ialah dengan mengajak diri untuk melakukan ibadah dan bermuhasabah diri. Strategi ini dapat menghadirkan ketenangan dan mengurangkan stres. Aktiviti seperti melakukan solat berjemaah, mengaji Al-Quran, mengadakan majlis ta’lim (ilmu) dan memperbanyakkan ibadah sunat dapat mengisi masa sepanjang berada di rumah semasa perintah kawalan pergerakan berlangsung. Di samping itu, ia juga dapat memperkuatkan iman dan memperteguhkan rasa yakin kepada Allah. Hal ini dapat menghadirkan rasa redha dan tawakal dalam menjalani setiap dugaan dan cabaran yang mendatang.
Tuntasnya, putaran rutin yang sama sepanjang hari, minggu dan bulan akan mencetuskan rasa jemu serta bosan. Oleh itu, pentingnya untuk merancang aktiviti di rumah agar hadirnya kegembiraan buat diri dan keluarga. Perjalanan masa yang dimanfaatkan dengan sebaiknya akan membuahkan momen manis bersama ahli keluarga. Namun tidak dinafikan rentetan pelaksanaan perintah kawalan dalam pelbagai peringkat ini, kebanyakan masyarakat mengamalkan gaya hidup yang kurang sihat di rumah di mana mereka menghabiskan kebanyakan masa dengan menonton televisyen, melayari internet dan makan sesuka hati tanpa kawalan. Natijahnya, pertambahan berat badan mudah berlaku dan mengundang kepada masalah kesihatan. Justeru, masyarakat haruslah bijak memilih dan mengamalkan strategi daya tindak yang bersesuaian dan tepat dalam membantu mereka menangani tekanan dengan sebaiknya dan seterusnya menghadirkan rasa gembira menjalani kehidupan semasa kawalan pergerakan dijalankan.