Dahulu, hari raya disambut dengan kemeriahan rumah terbuka dan budaya kunjung mengunjung antara ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Namun, dek kerana penularan pandemik COVID-19, tradisi yang sudah lama dipraktiskan ini tidak dapat diteruskan lagi. Hal ini kerana aktiviti ziarah Aidilfitri sebegini melibatkan pergerakan dan perjumpaan antara ramai individu pada satu-satu masa yang akan memudahkan serta mempercepatkan lagi penyebaran virus pembunuh COVID-19. Lebaran 2021 merupakan tahun kedua sambutan perayaan dalam norma baharu susulan pandemik COVID-19. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan ini paling dirasai warga kota yang ingin pulang ke desa. Malah ribuan kenderaan yang cuba merentas negeri terkandas dan diarah untuk berpatah balik. Perayaan Aidilfitri kali ini disambut di teratak masing-masing bersama keluarga. Rata-rata individu pasti bersedih kerana tidak dapat menjenguk ibu, bapa, datuk, nenek di kampung halaman mahupun berkunjung dalam acara rumah terbuka.
Sambutan perayaan Aidilfitri perlu diraikan tanpa bersedih walaupun masyarakat masih bergelut dengan pelbagai isu, masalah dan ketidaktentuan ekoran wabak COVID-19 yang melanda. Ramadan yang dilalui menjadi asbab kukuh untuk terus bertahan diuji dan menjadi proses tarbiyah (didikan) untuk diri.
Kejayaan menjalani ibadah puasa dan melaksanakan tuntutan rukun Islam ini perlu dizahirkan dengan kesyukuran dan bahagia. Meskipun syawal yang hadir dilihat berbeza kerana aktiviti kunjung-mengunjung dihadkan, namun ia hendaklah diterima dengan berlapang dada seiring dengan adaptasi norma baharu yang memerlukan aspek penjarakan fizikal menjadi salah satu prosedur yang mesti dipatuhi oleh semua. Walaupun ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman menyambut perayaan bersama ayah dan bonda, mereka perlu sentiasa berfikiran positif bahawa perintah kawalan yang dilakukan bertujuan untuk mencapai kemenangan melawan virus pembunuh COVID-19 dari tersebar luas, apatah lagi tersebar kepada insan tersayang.
Langkah proaktif dan kreatif yang ditunjukkan oleh sebilangan masyarakat kita dalam menyemarakkan dan memaknai sambutan Aidilfitri kali ini wajar dipuji. Hal ini dapat dilihat apabila penduduk kawasan perumahan Medan Klebang Restu, Chemor yang bertindak mengambil inisiatif dan pendekatan tersendiri dalam perlaksanaan solat sunat Aidilfitri. Ia didirikan di atas jalan hadapan rumah atau serambi rumah masing-masing. Solat berjemaah yang dimulai dengan takbir raya di lapan lorong berbeza bagi perumahan jenis teres itu, dipimpin seorang imam bagi setiap lorong solat diadakan. Di samping ruangan solat utama di atas jalan, isi rumah yang selebihnya boleh turut serta dalam solat sunat hari raya ini dengan membentang tikar di serambi rumah masing-masing.
Pendekatan sebegini sekali gus memberikan peluang kepada lebih ramai penduduk kawasan terbabit menunaikan solat sunat hari raya dalam suasana yang hampir menyamai sambutan Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelum kemunculan COVID-19 ini. Umum mengetahui bahawa rakyat hidup dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum. Justeru, perlaksanaan solat terbabit turut mendapat ‘restu’ dan keizinan penduduk bukan beragama Islam sebagai menghormati agama lain, toleransi dan perpaduan di negara ini. Ketika inilah juga tanpa sedar, kita baru mula mengenal dan bertegur sapa dengan jiran yang sebelum ini mungkin belum pernah kita tegur akibat kesibukan kerja dan sebagainya.
Sambutan perayaan yang ditekankan dalam Islam adalah bersederhana dan sentiasa mengingati kepada mereka yang kurang bernasib baik. Elemen kesederhanaan ini juga sebenarnya melahirkan rasa bahagia kerana tanpa perlu berlebih-lebihan, menghabiskan wang ringgit dan membazir dalam membeli-belah yang bukan keperluan utama. Meskipun begitu, Aifilfitri perlu diraikan dengan meriah bersama ahli keluarga. Hal ini dapat dilakukan dengan menyantuni tetamu terdekat yang berkunjung ziarah dari kalangan jiran, memasak juadah kesukaan, mencipta ‘mood’ raya dalam keluarga dengan bergotong-royong membersihkan dan menghiasi rumah serta lain-lain aktiviti rutin menjelang lebaran yang dilakukan bersama. Keterlibatan setiap anggota keluarga ini melahirkan rasa kebersamaan dan mengeratkan lagi ikatan sesama ahli keluarga sekali gus mencipta memori bahagia.
Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui yang terbaik buat setiap hambaNya. Hal ini dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu”.
Oleh itu, semat dalam diri bahawa setiap yang berlaku pasti berkunjung hikmah disebaliknya. Konklusinya, makna Aidilfitri yang disambut oleh setiap dari kita di kala virus COVID-19 yang kian mengganas ini sedang menular adalah bergantung kepada bagaimana kita mengambil langkah dan strategi terpilih dalam berhadapan dengan situasi ini. Jika kita memandangnya dari sudut yang positif, maka Aidilfitri yang disambut ini akan lebih bermakna dan ceria. Sebaliknya pula berlaku apabila kita memandangnya dari sudut yang negatif.