Malaysia bakal meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos bertemakan Malaysia Prihatin yang membawa seribu satu makna di sebalik gabungan dua perkataan iaitu ‘Malaysia’ dan ‘Prihatin’ membawa signifikasi kepada keadaan semasa rakyat Malaysia hingga saat ini masih bersama-sama bertarung dan berdepan dengan pandemik COVID 19. Tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini menggambarkan sikap keprihatinan semua pihak termasuk masyarakat, kerajaan dan badan bukan kerajaan berganding bahu membendung penyebaran COVID 19 bagi memastikan kelestarian hidup kita terpelihara.
Apa yang menariknya, tahun ini merupakan tahun kelima logo berbentuk hati berlatar belakangkan jalur gemilang digunakan menjadi simbolik kepada rasa prihatin, sayang dan cinta warga Malaysia terhadap tanah air tercinta. Seiring dengan tema dan logo yang dipilih, turut menjadi perhatian pada Hari Kemerdekaan tahun ini ialah cara sambutan yang bakal diadakan. Tidak dapat disangkalkan bahawa sambutan pada kali ini bakal memberikan satu pengalaman baru kepada seluruh masyarakat Malaysia memandangkan kita berasa masih berada dalam fasa pemulihan.
Saban tahun, sambutan hari bersejarah disambut dengan gilang-gemilang, warna warni perarakan dan perbarisan kontinjen lengkap beruniform, persembahan acara dari wira-wira negara dan pameran aset keselamatan dapat dipertontonkan secara umum misalnya di Putrajaya pada tahun 2019. Rakyat dari seluruh pelosok negeri datang untuk bersama-sama berkumpul dan meraikan dengan semangat patriotisme yang membara di dada. Namun, sambutan kali ini jauh berbeza dari sebelumnya memandangkan kita berdepan dengan norma baharu. Kita masih lagi terikat dengan pematuhan prosedur standard (SOP) tertentu malahan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berlangsung hingga hujung bulan ini. Justeru, itu pelbagai pihak khususnya masyarakat perlu cakna dengan keadaan semasa dan mematuhi peraturan yang digariskan oleh pihak kerajaan demi kebaikan bersama. Namun, aura sambutan hari kebangsaan pada tahun ini perlu dibangkitkan agar semangat patriotisme sentiasa ada dalam diri seluruh rakyat Malaysia.
Buat julung kalinya pada tahun ini, acara perarakan dan perbarisan sambutan hari kemerdekaan tidak akan dilakukan di tempat terbuka seperti kebiasaannya sebaliknya siaran sambutan hari bersejarah ini akan disiarkan dalam televisyen yang boleh ditonton di mana sahaja melalui siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Inisiatif ini merupakan alternatif terbaik seiring dengan sambutan norma baharu bagi mengekang perhimpunan masyarakat untuk meraikannya.
Sehubungan itu, bagi memeriahkan sambutan norma baharu, pelbagai program kenegaraan turut dianjurkan secara dalam talian seperti pertandingan fotografi Klik@Merdeka 2020, Webinar Rukun Negara, Merdeka@Komuniti, Sayembara Sajak Merdeka, e-Treasure Hunt, ‘Kapsul Terima Kasih Hero’ dan konsert Kita Merdeka 1957-2020. Rakyat Malaysia digalakkan untuk menyertai program-program yang telah direncanakan sebagai tanda sokongan agar hari penuh bermakna ini dapat diraikan bersama tidak kira di mana kita berada. Malahan, sebagai tanda cinta dan sayang kepada negara yang tidak berbelah bagi, seluruh rakyat Malaysia diseru mengibarkan jalur gemilang di kediaman masing-masing. Amat menggembirakan, jalur gemilang sudah mula dikibarkan di bahu-bahu jalan, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta untuk menyemarakkan rasa nasionalisme menjelang sambutan kemerdekaan tidak lama lagi.
Jadilah rakyat Malaysia yang sentiasa bersyukur dan prihatin agar kita bersama-sama memeriahkan sambutan hari kebangsaan ke 63 ini. Semarakkan sambutan norma baharu tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa bagi mengekalkan stigma kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Kita umpama ‘serumpun bak serai, sesusun bak sireh’.