Ramadan tiba lagi, membawa bersama keberkatan, kemuliaan dan kerahmatan buat semua yang menyambutnya. Antara ibadah yang difardukan sepanjang bulan barakah ini ialah berpuasa di siang hari. Kita semua sudah sedia maklum konsep berpuasa yang antara lain bertujuan mendidik jiwa.
Apabila kita berbicara soal ibadah puasa, anak-anak kecil juga tidak terkecuali kerana inilah peluang untuk kita memberikan tarbiyyah buat mereka. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita melihat anak-anak seawal usia 5 – 9 tahun berpuasa di bulan Ramadan. Ada yang berjaya berpuasa sepanjang hari, tetapi ramai yang kecundang di tengah jalan.
Ada ibubapa yang menjanjikan ganjaran material seperti duit raya, baju raya dan sebagainya semata-mata untuk melihat latihan ini berjaya. Terdapat ibu yang sanggup bangun seawal jam 3 pagi untuk memasak menu kegemaran si kecil demi memastikan anak kesayangan turut berpuasa dan ayah pula sanggup berbelanja besar di bazaar Ramadan mengikut kehendak selera si anak untuk juadah berbuka. Pujian harus diberikan kepada para ibubapa yang bersungguh-sungguh melatih anak mereka untuk berpuasa.
Akan tetapi latihan ini haruslah bertujuan untuk mendidik dan didikan itu dilakukan dengan penuh hikmah dan seiring dengan kehendak Sunnah. Seharusnya ibubapa yang memahami tarbiyyah Islam yang sebenar membenarkan anak-anak kecil ini berpuasa mengikut tempoh yang termampu oleh si anak kerana mereka bukan golongan yang diwajibkan berpuasa. Apa yang menjadi persoalan ialah apabila terdapat segelintir ibubapa memaksa anak-anak kecil ini berpuasa penuh sehingga ada yang lemah tidak bermaya menjelang Maghrib.
Akibatnya, golongan ibubapa seperti ini telah menzalimi diri anak-anak kecil yang belum difardhukan ke atas mereka kewajipan berpuasa. Akibat keletihan berpuasa, si kecil tidak mampu untuk menunaikan solat sepanjang tempoh berpuasa. Keletihan bertambah pada hari persekolahan dan apabila si anak mengadu kepada si ibu atau bapa yang mereka terlalu dahaga, tetap dilarang untuk berbuka kerana kononnya mahu melatih si anak menjadi anak yang soleh.
Manakala seusai berbuka, badan yang keletihan dan kekenyangan tidak lagi mampu untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak apatah lagi Tarawih, lalu terus dibiarkan tertidur akibat kekenyangan dan keletihan. Jelas sekali kepincangan tarbiyyah ke atas anak-anak berlaku dalam sebuah institusi keluarga Islam kerana kejahilan diri.
Rasulullah mengajar kita agar mendidik anak-anak dengan solat seawal usia 7 tahun. Rasulullah tidak pernah menyuruh ibubapa memaksa si kecil berpuasa sehingga meninggalkan solat kerana solat merupakan tunjang paling utama dalam tarbiyyah Islam.
Anak kecil berusia 7 tahun wajib diajar solat, tetapi bukan dipaksa kerana tempoh mendidik itu harus mengambil tempoh masa yang tertentu. Dalam tempoh antara usia 7 hingga 9 tahun, anak-anak kecil ini harus diajar dan diajak bersolat. Mereka harus dipimpin untuk bersolat secara berjemaah tetapi Rasulullah menegaskan untuk tidak memaksa mereka sepanjang tempoh tersebut.
Ini jelas dirakam dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)”. (Hadis riwayat Abu Daud).
Jika kita ingin kaitkan hadith ini dengan latihan berpuasa, maka ia amat bertepatan. Solat diajar, puasa dilatih. Jangan memaksa anak berusia 7 hingga 9 tahun untuk bersolat, tetapi diajak dan diajar. Jika mereka enggan, jangan dipaksa apatah lagi dipukul. Begitu juga dengan latihan berpuasa, ajak dan ajarlah anak kecil melatih diri berpuasa tetapi jangan sama sekali dipaksa jika mereka tidak mampu untuk meneruskan berpuasa sepanjang hari.
Tiada guna latihan berpuasa diteruskan jika solat diabaikan. Ramai dalam kalangan ibubapa yang lupa dan tidak melihat isu ini sebagai sesuatu yang akan memberi impak besar kepada perkembangan personaliti, psikologi dan fisiologi seseorang individu untuk menjadi mukmin yang bertaqwa pada suatu hari nanti.
Signifikannya sesuatu ajaran Rasulullah SAW itu harus diteliti daripada pelbagai aspek. Kenapa Rasulullah menekankan ibadah solat dan tidak langsung menyebut mengenai latihan berpuasa ke atas anak-anak kecil? Ini kerana Al-Quran sendiri sudah menggariskan kefarduan puasa itu hanya dikenakan ke atas mereka yang sudah akil baligh atau mukallaf dan anak-anak kecil tidak tergolong dalam kategori yang dimaksudkan.
Sebelum mencapai tempoh akil baligh, apa yang ditegaskan ialah mengenai didikan solat. Solat menjadi tunjang dalam kehidupan individu Muslim kerana ia merupakan ibadah pertama yang akan disoal semasa di alam kubur. Solat yang betul dan didirikan dengan penuh rasa keabdian kepada Allah mampu mencegah seseorang hamba itu daripada melakukan perkara-perkara mungkar dalam kehidupannya.
Ini bertepatan dengan ayat Al-Quran dalam surah Al-Ankabut, ayat 45 yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar”. Oleh yang demikian, jika latihan solat dijadikan keutamaan oleh setiap ibubapa dalam mendidik anak-anak lebih tinggi berbanding latihan berpuasa, sudah pasti ini akan menjadikan anak itu seorang yang tidak akan meninggalkan solatnya dan seterusnya bersedia untuk menunaikan ibadah puasa kerana solat sudah dijaga dengan baik.
Tetapi apa yang berlaku dalam segelintir keluarga Islam di Malaysia, terdapat golongan ibubapa yang tinggi semangat untuk mendidik anak kecil sering tersalah dalam mentafsir apa yang disampaikan oleh Rasulullah berkenaan tarbiyyah ke atas anak. Mereka begitu bersemangat melatih anak-anak kecil mereka berpuasa sehingga si kecil itu tidak mampu menunaikan solat kerana penat dan letih berpuasa.
Bagi ibubapa ini, adalah sesperti tidak mengapa untuk anak-anak untuk meninggalkan solat asal saja latihan berpuasa diteruskan hingga ke petang. Terdapat juga ibubapa yang tidak pernah tegas terhadap ibadah solat tetapi melihat ibadah berpuasa itu sebagai sangat penting. Didikan yang salah ini tidak akan mampu melahirkan generasi bertaqwa yang bakal menjadi khalifah sebenar di muka bumi Allah ini.
Tanggungjawab mendidik adalah satu amanah yang perlu dijaga dan dipikul dengan baik oleh setiap ibubapa. Anak-anak wajib dididik dengan didikan yang betul. Islam menyuruh kita mengajar, mengajak dan menyuruh anak-anak kita mendirikan solat seawal usia 7 tahun dan sehingga usia 9 tahun. Dalam tempoh ini ibadah solat harus diperkemaskan dalam diri sikecil. Apabila mencecah usia 10 tahun, ibubapa berhak untuk merotan anak-anak yang enggan menunaikan solat sebagai persediaan mereka menghadapi tempoh akil baligh.
Sekalipun kebenaran merotan tercatat dalam hadith Baginda SAW, para ulama sepakat perlakuan merotan itu bukan bertujuan untuk mendera tetapi adalah kerana hendak mendidik. Jadi, merotan di sini bukanlah merotan yang boleh mencederakan dan meninggalkan kesan negatif dalam jiwa anak-anak tersebut. Sesungguhnya pemantapan solat itu dibina bukan melalui kekejaman tetapi dengan cara didikan yang betul dan penuh hikmah.
Jika diperhalusi, proses mendidik dan melatih solat yang telah diwarisi kepada para ibubapa Islam melalui hadith-hadith sahih ini sangat signifikan kerana proses 3 tahun itu jika dilakukan dengan betul, pasti mampu melahirkan jiwa yang tinggi roh Islam dan imannya kerana solat itu dijaga setiap waktu dan setiap detik. Akan tetapi, amat malang apabila ibubapa hanya melihat kepentingan puasa mengatasi kepentingan solat sedangkan solat yang mantap bakal melahirkan insan yang sentiasa jauh dari perkara maksiat.
Kita dapat lihat setiap kali Ramadan pasti ada individu yang mengaku Islam tetapi gagal melunaskan kewajipan puasa. Mereka akan mencuba sedaya upaya untuk mencuri-curi makan. Ada juga sesetengah golongan yang sememangnya berpuasa tetapi tidak mampu menjauhkan mereka daripada aktiviti maksiat. Jika diteliti, adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila melihat punca maksiat itu adalah kerana pengabaian terhadap ibadah solat ataupun tiada penghayatan dalam ibadah tersebut.
Tidak keterlaluan jika dikatakan semua ini berlaku kerana didikan yang salah sejak kecil. Apabila solat tidak dijaga, ibadah lain akan tercemar juga. Sebagai contoh, kita banyak melihat anak-anak kecil yang dipaksa berpuasa sebenarnya tidak berpuasa. Mereka makan dan minum secara bersembunyi tanpa diketahui oleh ibubapa. Jelas, ibubapa kepada anak-anak ini sebenarnya telah mengajar anak-anak mereka menipu kerana memaksa untuk berpuasa. Disinilah signifikan dan kepentingan didikan solat yang betul dan mantap sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Kesimpulannya, adalah tidak berdosa jika anak-anak kecil meninggalkan puasa dan solat, tetapi menjadi satu dosa bagi ibubapa yang gagal mendidik anak-anak dengan betul. Ibubapa yang memastikan ibadah solat anak-anak diperkemaskan terlebih dahulu sebelum melatih mereka dengan ibadah puasa akan melahirkan generasi mukmin yang sebenar dan sejati. Mukmin sejati yang terhasil daripada tarbiyyah Islam yang betul adalah berasal daripada ibubapa yang celik ilmu dan tinggi kesedaran. Apabila anak-anak dididik dengan pemantapan dan penghayatan solat, mereka pasti tidak akan meninggalkan ibadah puasa bila tiba masanya. Tetapi anak-anak yang tidak ditarbiyyah dengan pemantapan dan penghayatan solat yang sebenar adalah sangat berpotensi untuk meninggalkan ibadah puasa kerana solat itu mampu mencegah daripada kemungkaran tetapi puasa tidak mampu mendidk jiwa yang tidak menjaga solatnya.
Artikel ini telah diterbitkan di http://fkp.usim.edu.my/category/article/