Dr. Mohd Zamrus Bin Mohd Ali
Dr. Mohd Zamrus Bin Mohd AliPensyarah Kolej Genius Insan

Semasa penulis memohon untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di sebuah negeri di semenanjung, penulis sudah pun bergelar pensyarah di salah sebuah Universiti. Tujuan utama penulis memohon tauliah mengajar adalah untuk mengajar Al-Quran khususnya kepada lebih ramai masyarakat setempat. Selain itu, penulis sangat memaklumi bahawa setiap negeri menetapkan bahawa mana-mana asatizah yang ingin menyampaikan ilmu kepada orang awam mesti memperolehi tauliah yang sah dari Jabatan Agama atau Majlis Agama Negeri. Sesiapa pun yang sudah memiliki ijazah sarjana muda, ijazah sarjana atau ijazah doktor falsafah yang diiktiraf oleh senat universiti perlu akur akan peraturan menyampaikan kuliah agama. Ya, terfikir juga akan penat lelah menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar dan universiti tempatan seolah tidak dipandang. Tiket besar untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat awam di Malaysia ialah tauliah. Tiada tauliah, tiada guna kepakaran dan sijil-sijil.

Isu tauliah tidak boleh dipandang sebelah mata kerana ia melibatkan maruah asatizah dan badan berautoriti yang memberi tauliah apatah lagi melibatkan jawatankuasa yang mewakili pentadbiran agama negeri seperti mufti. Kategori tauliah agama di kebanyakan negeri adalah hampir sama iaitu tauliah mengajar al-Quran, tauliah mengajar Fardu Ain, tauliah berceramah dan tauliah khas seperti motivasi, pengurusan jenazah, haji dan umrah. Walau bagaimanapun ada ketikanya ceramah agama tetap dibenarkan bagi individu yang tidak mempunyai tauliah dengan syarat-syarat tertentu seperti permohonan awal satu atau dua minggu dari tarikh program. Dapat dilihat bahawa sebenarnya tidak sesukar mana untuk memperolehi tauliah ini kerana penulis yakin bahawa jawatankuasa tauliah lebih memahami kaedah al-‘Uruf wal ‘Adah lebih-lebih lagi barisan masyaikh kibar dalam kalangan jawatankuasa hafal akan maksud hadis dari Rasulullah “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.” Riwayat Muslim. Lantaran itu, beberapa saranan dikemukan kepada para asatizah dan pihak jawatankuasa tauliah agar agama Islam tetap indah pada mata umatnya dan kelihatan ringan untuk difahami oleh penganut agama lain.

  1. Kekerapan sesi temuduga. Para pemohon tauliah adakala terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk dipanggil melalui prosedur temuduga. Sekiranya pemohon terlepas tarikh yang ditetapkan maka terpaksa menunggu tarikh lain untuk dipanggil. Ada antara negeri yang melalui laman sesawangnya telah menutup permohonan tauliah. Hal ini menampakkan kesulitan dan melambatkan proses dakwah Islamiah sedangkan permit penganjuran pesta dan aktiviti sosial lain tiada tarikh tutupnya. Cadangannya ialah tiada tarikh tutup permohonan dan kekerapan jadual temuduga ditambah.
  2. Kenali biodata pemohon. Mungkin juga pemohon tauliah dalam kalangan penceramah popular merasai kesuntukan masa. Perlu dicadangkan bahawa tokoh-tokoh tertentu diberi kesempatan khas untuk menemui panel tauliah. Setelah mengenal pasti tiada rekod buruk atau apa-apa tindakan kepada pemohon sewajarnya jawatankuasa menjadikan sesi temuduga sebagai sesi bertukar idea atau taaruf. Panel temuduga wajar berlapang dada sekiranya pemohon bukan termasuk dalam penceramah yang diminati tetapi atas dasar ukhuwah Islamiah dia perlu melihat kewajaran tauliah atas manfaat yang lebih besar berbanding mafsadah. Boleh jadi dalam sesi pertemuan ini ada isu yang tidak menemui penyelesaian maka pemohon pula harus berlapang dada kerana penangguhan pemberian tauliah adalah bersifat sementara.
  3. Rapatkan jurang antara penceramah dan jawatankuasa panel. Atas prinsip “Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara” maka pemohon yang telah mendapat tauliah wajar menjadi sebahagian ahli keluarga Jabatan Agama Negeri atau Majlis Agama Negeri. Hal ini menjamin keterikatan silaturrahim untuk menyemarakkan lagi usaha dakwah Islamiah dalam negeri masing-masing. Sesi perbincangan santai dan kadang kala penganjuran ceramah perdana oleh jawatankuasa yang disampaikan sendiri oleh pemohon dapat mewujudkan semangat persaudaraan sesama bangsa dan memperlihatkan kesatuan ummah.
  4. Tarik minat lebih ramai pemohon dalam kalangan muda. Jawatankuasa tauliah disaran untuk lebih kreatif mengajak lebih ramai pemohon yang layak untuk mengisi permohonan tauliah. Wujudkan laman sesawang yang mesra pemohon bahkan yang mudah menarik minat anak-muda berusia seawal 20-an untuk menjadi sebahagian pemegang tauliah. Golongan muda yang menjadi pemegang tauliah amat sedikit jika dibanding mereka yang berusia pertengahan atau warga emas. Mereka ini merupakan graduan dari universiti luar dan dalam negara yang perlu diketengahkan dalam masyarakat. Ada antara mereka pernah menjawat badan kepimpinan semasa belajar dan mempunyai ketokohan serta bakat kepimpinan yang tinggi. Cadangan ini boleh memberi impak besar kepada dakwah Islam dalam negara.
  5. Adakah kelas persediaan kepada bakal penerima tauliah. Penulis pernah menganjurkan bengkel persediaan guru-guru al-Quran bertauliah di salah sebuah negeri di utara. Bengkel ini membimbing para pemohon untuk menguasai satu-satu topik khusus kepada kategori pemohon tauliah Al-Quran. Prosedur pentauliahan dan ‘mock interview’ turut dilaksanakan supaya mereka lebih bersedia dari aspek mental dan ilmu. Selain itu, cara mengisi borang dan bantuan-bantuan lain turut dikongsi seperti kandungan kitab-kitab yang bakal disoal dan skil untuk menjawab. Hasilnya amat luar biasa apabila ramai pemohon kini telah pun menjadi guru al-Quran yang menjadi rujukan masyarakat sekitar.

Demikianlah antara saranan strategi dan cadangan agar isu tauliah ini tidak berlanjutan. Pihak-pihak terlibat wajar membuka mata dan bergerak lebih pantas ke hadapan untuk menjadikan pentauliahan bukan lagi isu netizen untuk masa akan datang. Lebih malang lagi kemelut antara pemohon dan pemberi tauliah yang seolah-olah  tiada jawapan ini akan menjadi barah dalam masyarakat Islam di Malaysia jika masing-masing mendabik dada mahu menjadi jaguh. Kemuliaan Islam akan tercemar dan cahaya Islam akan pudar sekiranya agamawan dan institusi agama tidak mengambil iktibar peristiwa Hudaibiyah yang berlaku pada tahun 6 hijrah. Sebagaimana dalam kitab Fiqh al-Sirah al-Nabawiyah mengupas hikmah peristiwa ini. Sheikh Munir al-Ghadban menyatakan sesungguhnya perjanjian Hudaibiyah adalah satu anugerah yang disebut ‘Al-Fath’ iaitu pembukaan. Pada awalnya seperti tampak kehinaan bagi orang Islam apabila mereka terpksa pulang dari Mekah tanpa sempat mengunjungi dan menziarahi Baitullah. Bukan itu sahaja, Muslimin dari Mekah yang datang ke Madinah perlu dipulangkan semula dan kalimah Bismillah yang membawa maksud “Dengan Nama Allah” turut dipadam. Hal ini membuatkan sahabat Nabi iaitu Umar r.a menjadi marah namun hikmahnya telah pun ditetapkan oleh Allah Rabbul Jalil iaitu wahyu dalam surah al-Fath yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata”.  Setelah  ayat ini diperdengarkan kepada Umar r.a maka beliau berkata: “Wahai Rasulullah, adakah ini kemenangan?” Baginda menjawab: “Ya”. Barulah Umar r.a berpuas hati dan kembali.

Sungguh, jika isu tauliah diambil cakna oleh pihak Jabatan Agama Negeri atau Majlis Agama Negeri maka seluruh umat Islam di Malaysia khususnya akan merasa senang hati. Kita adalah ummah terbaik yang dianugerahkan oleh Allah. Rugilah sekiranya nikmat masa 24 jam anugerah Allah ini sepatutnya diisi dengan merancang pembangunan ilmu, iman dan takwa tetapi tidak dimanfaatkan sebaiknya akibat tuduh menuduh dan fitnah memfitnah. Oleh itu, sebagai umat Nabi Muhammad usah berlengah lagi. Kita dituntut agar menjadikan kedaulatan  Islam sebagai agenda utama. Umat Islam meyakini bahawa suatu hari kelak akan ada titik noktahnya terhadap pergelutan ini. Semuanya melalui pengajaran dan pendidikan yang diperolehi dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Jika kamu berazam maka bertawakkallah kepada Allah.