NILAI – Persatuan Mahasiswa Komunikasi Media Baharu (NewMeC), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), santuni 120 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian melalui penganjuran program “Kem Motivasi Kerjaya” melibatkan kolaborasi pelajar tingkatan satu hingga empat pada 5 Jun 2024 baru-baru ini.

Seramai 30 orang mahasiswa NewMeC bersama pensyarah pengiring, Dr. Kartini Kamaruzzaman, Ketua Program, Program Komunikasi Media Baharu sertai program ini yang tujuannya adalah untuk beramah mesra serta meningkatkan pengetahuan para pelajar mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh Program Komunikasi Media Baharu disamping berkongsi hala tuju kerjaya.

Pengarah program saudara Muhammad Azham bin Zailani yang juga merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Komunikasi Media Baharu berkata, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran insaniah dalam menyertai aktiviti kemasyarakatan, selain menjadikan aktiviti ini sebagai salah satu medium untuk memperkenalkan program pengajian kepada masyarakat setempat.

Sleian itu, para pelajar sekolah turut diberikan pendedahan kepada pelbagai jenis kerjaya yang berpotensi diceburi. Aktiviti seumpama ini menggalakkan mahasiswa serta para pelajar untuk bergiat aktif dalam aktiviti persatuan serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Sementara itu, Ketua Program Komunikasi Media Baharu, Dr. Kartini Kamaruzzaman turut menyatakan bahawa usaha persatuan NewMeC ini dapat memberikan pendedahan bagaimana para pelajar sekolah dapat merancang hala tuju kerjaya apabila bergraduasi dari Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian.

“Mengenalpasti kemahiran pada peringkat awal adalah amat penting seperti mana yang dilakukan dalam pengisian modul Kem Motivasi Kerjaya ini.  Program ini juga dilihat berpotensi besar untuk diteruskan lagi, ujarnya lagi

Guru pengiring SMK Nilai Impian turut mengucapkan tahniah dan terima kasih dengan semangat kolaborasi yang ditunjukkan oleh Kelab Kerjaya sekolah dan berharap program seperti ini dapat memberi manfaat kepada ummah serta dapat diteruskan pada masa akan datang.

Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik telah dijalankan antaranya sesi ‘Ice Breaking’, aktiviti berkumpulan mengelaskan kerjaya berkaitan media Baharu, sorakan paling kreatif dan banyak lagi.

 

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Bin Che Mohd Zaini