NILAI – Kolej Kediaman Satu (KK1) yang juga merupakan penganjur utama sukan antara kolej (SUKOL) telah dinobatkan sebagai  Juara keseluruhan bagi kejohanan sukan tersebut yang telah diadakan di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini.

Kehebatan atlet-atlet KK1 terserlah apabila berjaya menjadi johan dalam acara bola sepak, bola jaring, sepak takraw, dan bola tampar.

Menurut pengarah program, Rabiatul Adawiyah Arifen, beliau berasa bangga dengan warga KK1 kerana semangat kesukanan yang dipamerkan malah kemenangan yang dikecapi menaikkan lagi nama KK1 yang baru ‘setahun jagung’ bertapak di universiti.

Tambah beliau lagi SUKOL dilaksanakan selama tiga hari bermula pada 20,21 dan 22 April yang lalu dengan bertemakan “Sukan Membangunkan Modal Insan Holistik.”

Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah seperti futsal lelaki dan wanita, bola jaring,  bola sepak, sepak takraw, catur, pingpong dan bola tampar di mana penyertaan terdiri daripada enam buah kolej kediaman iaitu Acacia Avenue, Desa Jati, Sutera Indah, Nilam Court, Camelia Court, Pandan Indah dan KK1.

Majlis penutup dirasmikan oleh Y.Bhg. Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda yang turut memuji penganjuran program SUKOL pada kali ini.
“SUKOL telah membuktikan USIM adalah cerminan insan holistik serta menepis tanggapan banyak pihak yang menyatakan mahasiswa Islam kurang aktif dalam bidang ko-kurikulum” Ujar beliau.

Dalam pada itu, Naib Canselor turut mencadangkan agar diadakan sukan antara juara yang akan mempertemukan juara-juara SUKOL dan SUFA (Sukan Fakulti) di dalam meningkatkan lagi bilangan atlet di USIM.

Oleh : Hazliana Abd Manan