NILAI– Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) 2023/2024 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berlangsung penuh gilang-gemilang untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan atas pencapaian kecemerlangan mahasiswa dalam akademik dan pelbagai bidang aktiviti kemahasiswaan bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah pada 16 Januari 2025 baru-baru ini.
Penganjuran tahun ini menampilkan 17 kategori anugerah yang dinilai berdasarkan kriteria sejajar dengan pemilihan Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan (ATS) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Istimewanya, para penerima anugerah ini secara automatiknya akan mewakili USIM di peringkat kebangsaan melalui Anugerah Tokoh Siswa (ATS) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.
Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani, dalam ucapan aluannya berkata, majlis ini mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan seimbang, holistik dan berkeusahawanan berdasarkan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA). Beliau turut memaklumkan sebanyak 17 kategori anugerah dipertandingkan tahun ini, dengan 99 pencalonan diterima, meningkat berbanding 83 permohonan pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah USIM, YBhg. Datuk Haji Md Yahaya Basimin, dalam ucapannya menyeru para mahasiswa untuk terus mengadaptasi diri dengan cabaran global serta menekankan kepentingan integrasi ilmu, kemahiran praktikal, dan kepimpinan unggul. Beliau juga memuji usaha USIM dalam menyediakan pelbagai platform bagi mengembangkan potensi mahasiswa, selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Beliau turut menyeru penerima anugerah agar tidak mudah berpuas hati, tetapi terus berusaha memperbaiki diri dan mencari peluang untuk memberi impak positif kepada masyarakat. Selaras dengan hala tuju pendidikan tinggi negara, Datuk Yahaya juga mengingatkan bahawa mahasiswa perlu menjadi agen perubahan yang mampu mengadaptasi diri dengan peredaran zaman, menyelesaikan masalah secara inovatif, dan mengekalkan nilai-nilai murni dalam setiap tindakan.
Dalam pada itu, Najmi Adli Mustaffa, pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Komunikasi daripada Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, dinobatkan sebagai Anugerah Tokoh AKSIS atas sumbangan kecemerlangannya dalam pelbagai bidang. Mantan Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif ini aktif dalam pengucapan awam, debat dan seni sastera serta telah mengharumkan nama USIM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara pencapaian utamanya adalah dengan menganjurkan dua (2) program iaitu Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) dan Sincerely, Setia Youth Synergy Programme Manifestasi Perpaduan Melalui Kesenian.
Manakala, bagi Anugerah Ikon GIINA pula telah dimenangi oleh Abdul Basith Abd Samad yang merupakan pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Fizik Gunaan). Beliau telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam bidang kokurikulum sepanjang pengajiannya. Beliau telah diiktiraf dengan Anugerah Khas Kokurikulum sempena Majlis Konvokesyen ke-22 USIM, menunjukkan penglibatan aktif dan komitmennya dalam aktiviti kokurikulum universiti.
Turut disampaikan Anugerah Sumbangsih (Individu) kepada dua (2) penerima iaitu Dr. Junaidah Abu Seman yang merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat dengan pengalaman selama 13 tahun dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, pensyarah ini merupakan Pengerusi Chapter Alumni FEM, USIM yang berperanan merancang dan melaksana program di kalangan alumni, fakulti dan universiti di bawah Pusat Kerjaya dan Alumni. Individu kedua adalah YBhg. Dato’ Ts. Gs. Azhar Hj Ismail yang merupakan Chief Executive Editor, MAP2U Sdn. Bhd. Beliau telah memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan dan kebajikan pelajar melalui Pusat Islam. Beliau telah mewakafkan Sistem Pembesar Suara dan menaja makanan berbuka puasa, sekali gus menyokong usaha memartabatkan kesejahteraan komuniti pelajar.
Manakala, bagi Anugerah Sumbangsih (Organisasi) telah dianugerahkan kepada dua (2) organisasi, yang pertama adalah Pusat Islam, USIM yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam memperkukuh nilai-nilai Islam, menyediakan sokongan kebajikan, dan mempromosikan keilmuan dalam kalangan masyarakat umum dan khususnya kalangan komuniti di universiti. Organisasi kedua adalah Talent Corporation Malaysia Berhad yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan dan kemajuan kerjaya, selaras dengan matlamat mereka untuk memacu strategi bakat Malaysia ke arah menjadi hab bakat yang dinamik. Talent Corp telah menyumbang kepada PHEP dan PUSAKA melalui dana Future You(th) Aspiration (FYA) selama tiga (3) tahun.
Secara keseluruhannya, majlis ini telah berjaya mengiktiraf usaha gigih dan dedikasi mahasiswa yang bukan sahaja membanggakan universiti tetapi juga menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Penganjuran AKSIS diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan cemerlang pada masa hadapan.
Oleh: Amira Asyikin Razali