NILAI – Dr. Muhammad Hafiz Saleh, Pengarah Pusat Islam yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah dianugerahkan Anugerah Ikon Huffaz Kebangsaan sempena Majlis Konvokesyen Huffaz PERMATA AL-QURAN Nusantara Kali Ke-9 yang berlangsung pada 4 Ogos 2024 di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang baru baru ini.
Dr. Muhammad Hafiz Saleh, 49, penerima Anugerah Ikon Huffaz Kebangsaan adalah seorang tokoh yang berpengaruh dalam bidang agama dan pendidikan tahfiz al-Quran. Beliau turut memegang pelbagai jawatan penting seperti Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, Ahli Lembaga Pengarah Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR), Ketua Perunding bagi Kajian Dasar, Pengurusan, dan Kurikulum Murid-Murid Tahfiz Malaysia Dalam Sistem Pendidikan Negara, Ketua Penyelidik bagi Kajian Garis Panduan Latihan Keguruan Institusi Tahfiz Swasta, Pakar Rujuk Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz, JAKIM serta Ketua Penulis Buku Teks Maharat Al-Quran Tingkatan Lima, Kurikulum Bersepadu Tahfiz, Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau pernah dinobatkan sebagai Johan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Melaka bagi kategori 30 Juzuk beserta Tafsir pada tahun 2000 dan 2006, juga pernah dianugerahkan Tokoh al-Muqri’ sempena Sambutan Maulidurrasul Peringkat Negeri Melaka pada tahun 2022.
Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan besar Dr. Muhammad Hafiz Saleh dalam bidang agama dan pendidikan tahfiz, tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha dalam menghayati dan menghafaz al-Quran. Ketokohan beliau dalam memperkasa pendidikan Islam, khususnya dalam konteks hafazan al-Quran, diharap akan terus menjadi teladan dan panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam memartabatkan ilmu al-Quran di Malaysia.
“Saya berazam untuk terus memberi sumbangan dalam bidang pendidikan tahfiz al-Quran dengan membuat perkongsian yang bermanfaat kepada masyarakat sama ada menerusi ucapan mahu pun tulisan agar pendidikan tahfiz al-Quran terus dimartabatkan dalam negara ini”, ujar Dr. Muhammad Hafiz.
Beliau juga berharap agar pendidikan tahfiz al-Quran di negara kita terus berkembang dengan lebih cemerlang, dan melahirkan para huffaz al-Quran yang mampu menghadapi kemajuan teknologi dan cabaran dunia moden. Justeru, beliau akan terus aktif menjalankan penyelidikan berkaitan pendidikan tahfiz al-Quran agar institusi-institusi tahfiz mampu melahirkan generasi huffaz yang mahir dalam menghafal al-Quran, serta berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk sains dan teknologi.
Dalam majlis tersebut, seramai 872 graduan telah diraikan kerana berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran. Menurut Manolito Mohd Dahlan, Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA AL-QURAN), sembilan anugerah telah disampaikan, termasuk Anugerah Khas Permata Al-Quran, Anugerah Huffaz Nusantara, Anugerah Maahad Tahfiz Terbaik, Anugerah Mudir Terbaik, Anugerah Guru Terbaik, Anugerah Huffaz Terbaik, Anugerah Pelajar Huffaz Terbaik, dan Anugerah Ikon Huffaz Kebangsaan.