NILAI – Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM dan Insititut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai penganjur bersama telah menganjurkan Muzakarah Zakat Kebangsaan Kali ke-10 2024 dengan membawa tema “Institusi Zakat Dalam Membangun Malaysia Madani”.

Majlis yang berlangsung di The Everly Hotel Putrajaya bermula 5 hingga 6 Jun 2024 telah disertai oleh 102 peserta dari pelbagai latar belakang dari agensi Kerajaan dan swasta. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Muzakarah Zakat Kebangsaan merupakan sebuah program Flagship yang telah dilaksanakan oleh Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) dan kini diteruskan oleh Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) sejak 2014 lagi. Program ini memfokuskan penyertaan daripada pegawai-pegawai zakat dan mufti-mufti seluruh Malaysia. Dalam program ini, pelbagai resolusi telah dicadangkan dan kemudiannya dilaksanakan oleh agensi yang berautoriti. Tema-tema yang dibentangkan dan dibincangkan adalah berkait rapat dengan isu-isu semasa berkaitan dengan Fatwa Zakat.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam ucapan perasmiannya berkata, Institusi zakat diyakini dapat memainkan peranan penting dalam menerapkan Rukun Malaysia Madani dengan cara memupuk nilai sosial dan mendorong penglibatan masyarakat dalam kegiatan zakat. Zakat dalam konteks sosial banyak membantu mengurangkan jurang sosial antara golongan miskin dan kaya dengan memberikan bantuan kewangan dan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kesejahteraan dan keseimbangan sosial dalam masyarakat. Manakala dalam konteks ekonomi, institusi zakat secara jelas dapat membantu meningkatkan kegiatan ekonomi dalam masyarakat dengan memberikan bantuan kewangan, latihan dan pelbagai bentuk program dalam memperkasakan kelestarian ekonomi golongan asnaf”, beliau berkata lagi.

Sementara itu, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM dalam ucapannya berharap agar penganjuran muzakarah kali Ke 10 ini dapat memberikan manfaat dan idea dalam memperkasakan kutipan dan agihan zakat berdasarkan pendekatan Malaysia Madani dan enam rukun Malaysia Madani yang telah digariskan.

“Saya juga amat yakin dengan penglibatan institusi zakat dan Majlis Agama Islam Negeri termasuk badan-badan yang berautoriti serta agensi-agensi lain yang terlibat hasil muzakarah ini akan memberi impak yang besar terhadap pemerkasaaan institusi zakat, pembayar zakat dan penerima zakat. Sebuah kerangka konsep Malaysia Madani dalam konteks institusi zakat dijangka akan dibangunkan hasil daripada muzakarah zakat pada kali ini”, ujarnya.

Sebanyak sembilan sesi ucaptama telah diadakan bersama barisan panel yang terkemuka seluruh Malaysia. Antara penyampai ucaptama yang dijemput adalah dari Pusat Urus Zakat Pulau Pinang, Pusat Pungutan Zakat MAIWP dan dari Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), Bank Islam Malaysia Berhad, Pimpinan Bidang Perencanaan Kajian & Pengembangan Republik Indonesia (Baznaz RI) dan Mufti Wilayah Persekutuan.

Selain itu, pengisian Forum bertajuk “Kerangka Malaysia Madani dalam Konteks Menoktahkan Kemiskinan telah menampilkan tokoh-tokoh besar sebagai panel termasuklah Tuan Wildhan Dewayana CEO Inisiatif Zakat Indonesia (IZI), YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta YBhg. Prof Madya Dr. Azwan Abdullah, Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan & Pengurusan Kemiskinan (InsPEK).

Pada majlis yang sama turut dilancarkan sebuah buku bertajuk ‘Institusi Zakat Dalam Membangun Malaysia MADANI’ yang ditulis oleh Profesor Dr. Azman Ab Rahman. Buku ini mengandungi 115 halaman dan mempunyai 3 bab yang membincangkan tentang konsep madani secara umum dengan menekankan sistem pengurusan zakat di Malaysia dari aspek defisini, sejarah dan madani menurut perspektif Islam.

Turut hadir hadir sama Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohamad Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Pengarah PWZ dan Prof. Dr. Azman Ab Rahman, Pengarah IFAH USIM.

 

Sumber:
Mohd Fazhiruddin Kamaruddin