NILAI – Pakar bidang kewangan Islam Prof. Dr. Fauzias Mat Nor menerima Anugerah Tokoh Akademik (Hasanul Mudir) dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi (AKI) 2023 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Anugerah tertinggi tersebut diterima bersama 143 orang staf USIM yang diraikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 USIM.

 “Saya menghargai anugerah ini dan saya perlu lebih banyak menyumbang lagi bukan sahaja kepada USIM, malah kepada Malaysia.” Itulah antara ungkapan kata syukur yang dizahirkan oleh Prof. Dr. Fauzias Mat Nor.

Profesor Dr. Fauzias Mat Nor, lahir pada 24 Februari 1955 di Parit, Perak, telah membina kerjaya akademik yang cemerlang dan menjadi tokoh penting dalam bidang kewangan Islam.

Beliau memulakan pendidikan dengan memperoleh Diploma Perakaunan dari Institut Teknologi Mara pada tahun 1977, sebelum melanjutkan pelajaran ke University of Miami, Florida, di mana beliau memperoleh Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) dalam Kewangan pada tahun 1984 dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) pada tahun 1985. Tidak berhenti di situ, beliau menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD dalam Kewangan dari University College Dublin, Ireland pada tahun 1991.

Beliau menyertai USIM sebagai pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) pada 2015 dan sangat aktif dalam penyelidikan, dengan pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah dalam Malaysian Finance Association Annual Conference dan Global Business and Social Science Research Conference.

 “Kita perlu ada sifat amanah, komited, fokus dan bertanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan. Apabila seseorang itu komited terhadap kerjanya, dia menjalankan tugasan dengan sebaiknya,” menurut Prof Dr Fauzias.

Sebagai penulis prolifik, Prof. Dr. Fauzias telah menghasilkan lebih daripada 10 buah buku dan lebih 100 artikel dalam jurnal kebangsaan dan antarabangsa. Karya beliau telah mendapat pengiktirafan Anugerah Buku Negara 2023.

“USIM mempunyai potensi yang besar terutamanya dalam bidang kewangan Islam kerana ilmu dan hasil kajiannya mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat di Malaysia malah seluruh dunia” ujarnya lagi.

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani