NILAI, 8 Mei 2019 – Seramai 74 orang mahasiswa Tahun 4, Program Ijazah Sarjana Muda Undang–Undang dan Syariah (SMUS), Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tujuan utama lawatan sambil belajar berkenaan dilakukan adalah bagi mendedahkan mahasiswa yang mengambil bidang perundangan terbabit mengenai aspek Sains Forensik yang merupakan salah satu aspek penting dalam dunia perundangan moden masa kini.
Munurut Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU) USIM, Dr Muzaffar Syah Mallow, lawatan sambil belajar terbabit dilakukan bagi memenuhi sebahagian daripada proses pembelajaran subjek Undang–Undang Keterangan (Law of Evidence) yang sedang diikuti oleh para pelajar perundangan berkenaan di USIM.
“Seperti yang diketahui umum, proses pembuktian adalah salah satu proses yang penting bagi merungkai serta menyelesaikan sesebuah kes yang berada di dalam mahkamah terutamanya kes–kes jenayah seperti jenayah pembunuhan, jenayah serangan berbentuk seksual, jenayah keganasan rumah tangga, jenayah keganasan terhadap golongan kanak–kanak, kemalangan jalan raya, dan lain–lain.
“Jadi adalah penting supaya mahasiswa yang mengambil jurusan Undang–Undang memahami isu yang berkaitan dengan Sains Forensik sebelum mereka mula melangkah ke alam pekerjaan dalam bidang perundangan kelak,” katanya.
Aspek Forensik Sains sudah menjadi aspek penting yang perlu didedahkan dan dipelajari oleh setiap mahasiswa perundangan dalam negara kita selaras dengan perkembangan semasa pada masa kini terutamanya perkembangan teknologi moden berkaitan dengan proses siasatan jenayah.
Kemudian pada pelajara berkenaan telah dibawa ke Unit Forensik, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, HCTM bagi mendengar taklimat pengurusan bahan bukti di hospital dan proses untuk mendapatkan bahan bukti secara praktikal oleh pihak pengamal Sains Forensik, HCTM.
Melalui sesi taklimat berkenaan, para pelajar telah didedahkan dengan semua aspek pengurusan forensik serta prosedur–prosedur berkaitan dengan penerimaan bahan–bahan bukti jenayah.
Melalui sesi taklimat terbabit, para pelajar dilihat telah dapat memahami dengan lebih jelas mengenai segala proses berkaitan dengan pengumpulan bahan–bahan bukti mengikut peruntukkan undang–undang dibawah Akta Keterangan 1950 [Akta 56] dan Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593].
Seterusnya, para pelajar juga telah dibawa ke Muzium Anatomi, Fakulti Perubatan, UKM yang berhampiran dengan HCTM bagi melihat sendiri dengan lebih jelas segala jenis bahan–bahan yang berkaitan dengan Sains Forensik.
Sesi lawatan sambil belajar yang telah diadakan ini telah berjaya mendedahkan para pelajar yang terlibat dengan aspek sains forensik sekaligus dapat memudahkan lagi proses pemahaman mereka terhadap subjek yang telah dipelajari oleh mereka didalam kelas.
Disediakan oleh:
Dr Muzaffar Syah Mallow
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan