NILAI, 4 Ogos 2023 – Kempen #SayangUSIM yang dilancarkan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Bersama Naib Canselor baru baru ini merupakan satu inisiatif bagi mengukuhkan rasa kecintaan kepada institusi.

Naib Canselor Prof. Ts. Dato’ Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kempen yang dijenamakan semula dari kempen #iLoveUSIM ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan dan penglibatan aktif daripada warga universiti serta memupuk semangat kekitaan dan kebanggaan sebagai warga USIM. Ini, sekaligus dapat memotivasi pelajar, staf dan alumni USIM untuk menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan dan kecemerlangan universiti.

Ujarnya lagi, ini juga selaras dengan slogan “USIM Cemerlang, USIM Disayang” di mana setiap warga USIM diharap dapat menyayangi USIM dan menganggap USIM sebagai hak milik bersama dan berusaha memberi komitmen yang terbaik, selaras dengan penerapan lima teras profesional yang digariskan iaitu Profesional, Efisyen, Alamiyyah, Amanah dan Muafakat.

Selain pelancaran kempen tersebut, USIM turut melancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat USIM 2023 bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos akan datang. Bertemakan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, pelbagai aktiviti menarik bakal dijalankan antaranya, Pertandingan Fotografi Kemerdekaan, Pertandingan Menulis Puisi Kemerdekaan, Pertandingan TikTok Merdeka USIM, Pertandingan Poster Kemerdekaan, Buskin Merdeka, Perbarisan dan Perarakan Merdeka Peringkat Negeri Sembilan, Bual Bicara Kemerdekaan, Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kemerdekaan, Khutbah Jumaat Edisi Bulan Kebangsaan, dan Kejohanan Sepak Penalti Merdeka.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan