KAJANG: Penyertaan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Najmi Adli Mustaffa dalam Ihtifal Instititut Pendidikan Tinggi Peringkat Kebangsaan 2024 membuahkan hasil apabila berjaya dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan Pidato Hal Ehwal Islam.
Ihtifal Institut Pendidikan Tinggi Peringkat Kebangsaan merupakan penganjuran kali kedua oleh Universiti Tenaga Nasional, Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dan Sahabat UIC serta sokongan dan kerjasama beberapa agensi diadakan selama empat hari bermula 21 Julai hingga 24 Julai 2024.
Najmi Adli Mustaffa, pelajar tahun ketiga Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang juga pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM menyifatkan bahawa kemenangannya pada kali ini dengan berbekalkan keazaman yang tinggi.
“Demi minat mendalam terhadap bidang pengucapan awam ianya telah membakar semangat untuk saya berusaha gigih walaupun pertandingan diadakan dalam tempoh peperiksaan semester. Pusingan akhir jauh lebih mencabar kerana saya perlu mengolah teks sedia ada dalam tempoh masa yang agak singkat serta perlu bersiap sedia bagi sesi pidato spontan berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh juri.” Ujar Najmi bersyukur dan gembira atas kemenangan ini dan setidaknya memberi suntikan semangat serta harapan untuk yakin dan percaya dengan kemampuan diri juga rezeki kurniaan Allah SWT. Tambah beliau, ini merupakan penyertaan kali kedua dalam Ihtifal IPT peringkat kebangsaan setelah mampu melayakkan diri sebagai finalis namun gagal memperoleh kedudukan di pusingan akhir pada penganjuran terdahulu. Pertandingan Pidato Hal Ehwal Islam kategori lelaki menyaksikan 15 penyertaan daripada pelbagai institut pengajian tinggi.
Tempat kedua dimenangi oleh Mohammad Nadzrin Raduan daripada Kolej Yayasan UEM dan tempat ketiga Iskandar Muzafar Zalzali daripada Maahad Tahfiz Negeri Pahang.
Selain itu, Nur Azizah Ahmad Azam, pelajar tahun 3 Fakulti Syariah dan Undang-Undang dari kumpulan Khat Khufi Farisi juga daripada Kelab Penerbitan Kreatif berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan buat kali kedua bagi Pertandingan Seni Khat. “Alhamdulillah ini merupakan penyertaan kali kedua saya dalam Ihtifal IPT dan saya amat bersyukur kerana karya yang dihasilkan masih mendapat tempat dalam pertandingan ini. Persaingan agak sengit kerana kebanyakan peserta mempunyai kehandalan dan berpengalaman. Walaubagaimana pun saya bersyukur dengan kejayaan ini namun tidak boleh merasa selesa dan perlu pertingkatkan lagi kaedah serta kemahiran penulisan khat supaya dapat terus mengekalkan momentum di pertandingan akan datang.”
Tempat pertama pertandingan seni khat Ihtifal IPT kategori Perempuan dimenangi oleh Nik Maghfirah Nik Abdul Rahman Zaki daripada Darul Quran dan tempat ketiga Nurulsuhaila Amran daripada Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN).
Selain Pertandingan Pidato Hal Ehwal Islam dan Seni khat beberapa acara lain turut dipertandingkan antaranya tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan nasyid.
Sumber: Rozihani Mohamed, Najmi Adli Mustaffa