NILAI, 15 April 2020– Kemahiran menjahit yang diajar oleh ibunya semasa beliau kecil ternyata tidak sia-sia bagi Siti Munirah Nasaruddin, 21, apabila dapat memanfaatkan kemahiran yang dimilikinya untuk menghasilkan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk barisan hadapan.
Penuntut program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini adalah sebahagian daripada 30 sukarelawan USIM yang berada di kampus USIM untuk menjahit PPE bagi disumbangkan ke hospital yang memerlukan.
“Saya terbaca iklan Pusat Keusahawanan Universiti sedang mencari sukarelawan untuk menjahit PPE bagi disumbangkan kepada frontliners dan di sosial media pula dikongsikan kisah barisan hadapan kita menghadapi kekurangan PPE. Kebetulan saya tinggal di Pajam yang tidak berapa jauh dari Nilai, jadi saya tidak teragak-agak untuk bersama-sama menjayakan usaha murni universiti ini, ditambah pula keluarga juga menyokong niat saya”.
“Sebelum terlibat dengan projek PPE, agak banyak masa terluang semasa berada di rumah yang kadang-kala diisi dengan pengkuliahan secara atas talian (online), menyiapkan assignment, menyelesaikan soalan kuiz daripada pensyarah dan membantu mengemas rumah. Kini saya mempunyai rutin yang baru sejak minggu lalu iaitu akan berada di Pusat Inkubator Jahitan di bawah Pusat Keusahawanan Universiti dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang untuk menjahit PPE”.
“Ibu saya, Fatimah Mohamed seorang suri rumah dan beliau secara sambilan memang mengambil tempahan menjahit pakaian. Saya boleh menjahit sejak Darjah Enam lagi kerana selalu melihat dan membantu ibu menjahit semasa di rumah”.
“Diperingkat awal menjahit PPE saya mengadu kepada ibu agak pening (susah) untuk menjahit PPE, sebab ibu biasa menjahit jadi dia boleh faham punca kepada masalah yang saya hadapi. Salah-satunya kerana PPE ini tidak seperti pakaian biasa dan mesin jahit yang ada di USIM adalah spesifikasi industri. Jadi ibu terus tunjukkan apa yang saya patut lakukan dan perbetulkan”.
“Melalui bimbingan ibu, saya makin selesa dan cekap menyelesaikan tugasan jahitan PPE setiap hari. Saya berbangga kerana PPE yang saya dan sukarelawan hasilkan akan disarung oleh frontiners untuk melawan Covid-19 dan gembira kerana dapat memanfaatkan kemahiran jahitan yang dimiliki untuk disumbangkan kepada negara”
Tambah Siti Munirah, dalam kalangan sukarelawan USIM yang terlibat ia terdiri daripada pelajar, kakitangan universiti dan alumni dengan setiap orang mempunyai tugasan tersendiri seperti memotong kain mengikut ukuran dan menjahit mengikut bahagian-bahagian PPE tertentu.
Pada masa kini, Pusat Inkubator Jahitan sedang menyiapkan 3000 unit PPE yang terdiri daripada gaun, head cover dan boot untuk disumbangkan kepada Hospital Ampang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Hospital Port Dickson dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Klinik Kesihatan yang memerlukan.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan