NILAI – USIM melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF USIM) telah menganjurkan Program UMMI on Wheels: Ramah Mesra Bersama Warga OKU dalam kalangan pelajar dan kakitangan USIM bertempat di Bilik Seminar Ibnu Mas’ud, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.

Penganjuran Program UMMI on Wheel pada tahun ini merupakan penganjuran buat          julung-julung kalinya dan program ini memfokuskan untuk memperkenalkan fungsi UMMI sebagai pusat yang menguruskan hal ehwal berkaitan dengan warga OKU USIM. Program ini juga memberi peluang kepada Pengurusan Universiti untuk mengenali warga OKU USIM dengan lebih dekat di samping menjadi wadah kepada warga OKU untuk menyampaikan aduan dan cadangan berkenaan pengurusan OKU selaras dengan maqasid syariah dan Polisi Universiti Inklusif Pelajar OKU USIM.

Yang Berbahagia Profesor Ts. Dato’ Dr. Sharifudin Md. Shaarani, Naib Canselor USIM turut hadir ke program tersebut dan dalam ucapan beliau telah menyampaikan amanat agar UMMI terus komited menyantuni warga OKU USIM selaras dengan pendekatan Islam dan menjadi tempat rujukan berkenaan pengurusan dan pembangunan warga OKU USIM. Beliau turut berharap agar program seperti ini diteruskan penganjurannya agar menjadi platform kepada warga OKU untuk menyampaikan pendapat serta mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kepada mereka.

Sesi Townhall bersama warga OKU USIM turut diadakan bagi mendapatkan input serta perkongsian pendapat berkenaan amalan pengurusan terbaik OKU. Sesi ini telah disampaikan oleh Dr. Siti Fatimah Mohd Tawil, Penyelaras (Perkhidmatan OKU) UMMI dan beliau berkata UMMI telah mengorak langkah untuk membuat langkah pertama dalam mendekati warga OKU USIM melalui penganjuran program ini dan beberapa siri Townhall dan sesi pertemuan bersama warga OKU akan di adakan untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan khas buat mereka. “Program ini telah mendapat reaksi positif daripada peserta dan saya berharap agar warga OKU akan lebih terbuka untuk berkongsi segala pandangan dan masalah mereka dengan kami” ujarnya lagi. Beliau juga telah menyampaikan maklumat fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh UMMI selaras dengan penubuhannya mulai tahun 2023 untuk memperkasa komuniti OKU melalui pendekatan Islami demi kesejahteraan ummah.

 

Sumber:
Khairunnisa Ismail