NILAI, 5 Julai 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) amat mengambil berat dan prihatin dengan pelajar berkeperluan yang memerlukan bantuan selaras dengan isu kenaikan harga barang dan keadaan hidup yang mendesak melalui penyediaan bantuan makanan dan program kebajikan.

Menurut Naib Canselor USIM, Yang Berbahagia Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, USIM bergerak untuk membantu pelajar berkeperluan melalui inisiatif jabatan seperti Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Wakaf dan Zakat USIM (PWZ), Pusat Islam dan Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL).

Antara inisiatif utama USIM dalam membantu pelajar berkenaan isu kenaikan harga barang khususnya dalam kalangan golongan asnaf dan B40 adalah melalui Program Musaadah for Student, Food Bank Asnaf, Food@Campus secara one-off, Central Kitchen, Bantuan Prihatin PRUPEL dan bantuan agihan zakat.

“Program Musaadah for Student merupakan inisiatif daripada Yang Berhormat Senator Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dengan kerjasama BHEP dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM untuk membantu pelajar B40 melalui sumbangan makanan dan wang tunai. Seramai 340 orang pelajar telah menerima manfaat ini dan jumlah bantuan yang disampaikan adalah sebanyak RM24,100.00. Program ini merupakan inisiatif tambahan daripada Food Bank Siswa USIM yang telah dilancarkan pada tahun 2019” ujarnya.

Tambahan beliau, USIM sedang dalam usaha untuk melancarkan Food Bank Asnaf yang memfokuskan bantuan makanan kepada pelajar daripada golongan asnaf dan B40. USIM memperuntukkan sebanyak RM60,000.00 bagi inisiatif ini dan sumbangan akan disalurkan melalui BHEP USIM.

“Melalui bantuan tersebut, diharapkan agar dapat meringankan beban pelajar yang berkeperluan dan mampu menaikkan semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.” ujarnya lagi.

USIM turut menyediakan bantuan berbentuk ready-to-eat food kepada pelajar melalui Central Kitchen yang diuruskan oleh Pusat Islam USIM. Sumbangan pek makanan disediakan pada setiap hari Rabu dan Khamis oleh staf dan Sekretariat Pusat Islam ini memberi manfaat kepada 300 orang pelajar yang berkunjung ke Pusat Islam USIM.

Selain itu, Pusat Wakaf dan Zakat USIM juga telah membuat agihan zakat kepada pelajar berkeperluan dan bantuan ini telah memberi manfaat kepada 626 pelajar dengan jumlah agihan sebanyak RM379,700.00. Agihan zakat ini merupakan bantuan yang diberikan sebanyak dua kali setahun dan pelajar yang berkeperluan perlu membuat permohonan kepada PWZ untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Selaras dengan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan baru-baru ini, USIM dalam perancangan untuk melaksanakan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai bulan Julai 2022 kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus agar tanggungan kos tersebut membolehkan pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar. Selain itu, Program Menu Jimat USIM juga turut akan diperkenalkan dengan harga yang berpatutan merangkumi set nasi berlauk dengan kadar harga RM3.50.

“Pelajar boleh berhubung dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Wakaf dan Zakat USIM bagi mendapatkan maklumat lanjut dan hebahan terkini berkenaan bantuan yang disediakan. Bantuan khidmat kaunseling melalui Pegawai Psikologi BHEP juga turut disediakan bagi pelajar yang memerlukan untuk meringankan tekanan yang dihadapi oleh pelajar” ujarnya.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan