NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memulakan langkah 2025 dengan pelancaran Iqra’ Centre for Ummah, sebuah pusat kecemerlangan al-Quran yang bakal menjadi rujukan utama dalam bidang tajwid, tarannum, tahfiz, tafsir, tadabbur, qira’at serta mushaf. Pelancaran pusat ini dibuat secara rasmi dalam Amanat Naib Canselor 2025 yang berlangsung pada 24 Januari 2025 baru-baru ini.

Penubuhan Iqra’ Centre for Ummah berakar umbi daripada kejayaan para pelajar USIM, khususnya dari program Pengajian Qiraat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), yang cemerlang dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri dan Kebangsaan 2024. Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada idea penubuhan pusat kecemerlangan yang menawarkan kepakaran pelbagai dalam khidmat al-Quran untuk ummah.

Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, “Pusat ini bukan sekadar untuk warga universiti, tetapi juga terbuka kepada masyarakat umum yang ingin mendalami ilmu al-Quran”. Dengan visi menjadi pusat kecemerlangan al-Quran yang ulung di peringkat nasional dan antarabangsa, Iqra’ Centre for Ummah bakal berfungsi sebagai platform utama dalam mengembangkan kajian, latihan serta program yang berkaitan dengan al-Quran.

Pelancaran ini seiring dengan empat sasaran utama USIM bagi tahun 2025, iaitu memperkasa kecemerlangan akademik dan kebolehpasaran graduan, memperkukuh penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi, memperhebat pengantarabangsaan universiti, serta mempertingkat kesinambungan kewangan dan keberdayasaingan institusi.

Keempat-empat sasaran ini menjadi pemacu utama dalam memastikan USIM terus relevan dan berdaya saing sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam yang unggul.

Naib Canselor dalam amanatnya turut menyeru warga USIM agar menghayati nilai kecintaan dalam pekerjaan bagi meningkatkan daya kerja dan produktiviti. “Tidak kira apa jua jawatan, jika kita jadikan kerja itu satu kecintaan, daya kerja akan berubah dengan lebih baik,” ujar beliau.

Seiring dengan amanat tahunan yang menekankan inovasi dan pembangunan berasaskan ilmu, Naib Canselor turut menyentuh pelbagai agenda strategik USIM bagi tahun 2025, termasuk pengukuhan bidang akademik, penyelidikan serta perkhidmatan komuniti.

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan Sistem eKlinikal Versi 3 Fasa 1, satu platform digital yang mengoptimumkan operasi klinik perubatan dan pergigian universiti. Sistem yang dibangunkan secara dalaman oleh Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) ini turut diiktiraf melalui Pensijilan Harta Intelek yang telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 22 Oktober 2024.

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani