KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 April lalu hingga 31 Mac 2026.

WTCKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, fungsi Irmohizam sebagai Profesor Adjung di FSU USIM adalah untuk menyumbangkan ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam undang-undang kepada warga FSU serta menjadi penasihat, selain terbabit dalam menilai dan memberi input kepada kurikulum dan program yang ada di fakulti berkenaan.

“Beliau akan menambah nilai kepada USIM dengan menyampaikan syarahan dan menyertai dialog serta seminar dalam bidang kepakaran beliau kepada pelajar dan kakitangan universiti berkenaan.

“Beliau bakal memainkan peranan penting dalam mempromosi USIM menerusi acara pameran, dialog, seminar dan persidangan antarabangsa serta membantu membimbing USIM dengan memberikan pandangan strategik berkaitan akademik dan pengantarabangsaan.

“Sebagai Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA), beliau berhasrat untuk memperkenalkan dan mendedahkan USIM di peringkat global dengan rangkaian ahli Pusat Dagangan Dunia yang lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu, watikah pelantikan berkenaan telah disampaikan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani dan disaksikan Pendaftar USIM, Datuk Muhammad Haizuan Rozali; Dekan FSU, Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh serta Timbalan Dekan Akademik FSU, Prof Madya Dr Izawati Wook.

Sementara itu, Irmohizam berkata, pelantikan berkenaan amat bermakna kerana permulaan karier beliau sebelum ini adalah dalam bidang undang-undang.

“Pelantikan ini sangat bermakna buat saya kerana pada asalnya karier saya bermula dengan bidang undang-undang. Saya sedia pikul tanggungjawab ini serta menyumbang secara positif kepada pertumbuhan dan pembangunan FSU USIM.

“Saya seronok untuk membabitkan diri dalam bidang undang-undang dan akan memastikan ilmu pengetahuan dan pengalaman saya akan dikongsikan dengan sebaiknya dengan warga USIM.

“Saya berharap untuk memberikan perspektif yang baharu dengan pengalaman saya yang kepelbagaian kepada warga FSU USIM,” katanya.

 

 

 

sumber: Berita Harian