NILAI – USIM melalui Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) menganjurkan Wacana Minda Madani bertajuk Mahasiswa & Budaya Integrasi Ilmu yang disampaikan YB Senator Dr Zulkifli Hasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertempat di Dewan Kuliah Fakulti 1.2 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan pada 15 Januari 2025.
Turut hadir sama Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Encik Shahrizal Mat, Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta 200 orang pelajar dari pelbagai program pengajian.
Program yang bertemakan Mahasiswa & Budaya Integrasi Ilmu merupakan satu bentuk pengisian ilmu yang dianjurkan bertujuan memberikan pendedahan pada mahasiswa dalam konteks Malaysia Madani. Wacana ini memfokuskan perbincangan ilmiah tentang kepentingan dan cabaran dakwah dan penerapan nilai-nilai murni yang menjadi teras jati diri mahasiswa sebagai bakal pemimpin negara.
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menekankan pentingnya integrasi ilmu dalam membentuk mahasiswa sebagai pemimpin masa depan. Beliau mengetengahkan konsep MADANI, yang bermaksud membangunkan tanah air berteraskan keseimbangan antara daya cipta, nilai hormat, keyakinan, dan ihsan. MADANI berfungsi sebagai asas kepada masyarakat yang adil, inklusif, dan sejahtera.
Dr. Zulkifli turut membincangkan pentingnya tajdid, islah, dan nahdah sebagai langkah memperbaharui tamadun melalui pemerkasaan ilmu, budaya, dan nilai Islam. Mahasiswa diseru untuk berperanan sebagai ejen perubahan dengan menanamkan pemikiran dan pandangan dunia yang betul. Di samping itu, universiti digambarkan sebagai institusi yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga menggalakkan pembangunan insan secara holistik.
“Dalam menghadapi realiti cabaran dunia pasca-normal, mahasiswa perlu mengadaptasi pendekatan baharu yang memanfaatkan teknologi, keterbukaan pemikiran, dan kesepaduan ilmu dalam tindakan. Beliau menegaskan bahawa naratif lama perlu diubah dengan tindakan kini, dasar yang sensitif, dan kepimpinan baharu yang berwawasan. Kesimpulannya, integrasi ilmu adalah kunci kepada pembaharuan tamadun dan pembangunan masyarakat yang progresif”, ujarnya lagi.
Antara objektif wacana ini adalah memandu cara fikir dan memberi bimbingan kesedaran kepada mahasiswa agar bersedia bangkit menongkah arus di dalam keadan dunia Islam masa kini yang tidak seimbang. Mahasiswa seharusnya sedar keperluan mempunyai kekuatan intelektual dan jatidiri yang berwibawa sebagai pemimpin masa depan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang. USIM adalah contoh universiti yang komited dalam penghasilan mahasiswa berilmu, mempunyai sahsiah dan kepimpinan yang berwibawa, serta menyuburkan budaya ilmu di kalangan mahasiswa, membentuk dan memahami pemikiran yang positif, kreatif dan kritis sekaligus membina keintelektualan yang terbaik berteraskan pembudayaan ilmu yang menyeluruh.
Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan waqaf Al-Quran daripada FKP kepada Ustazah Rahimi Shaari yang merupakan penggerak aktif kemasyarakatan di Negeri Sembilan bersama Pertubuhan Salwa Malaysia (SALWA).
Sumber: Dr. Mohd Faridh Hafez Mhd Omar