NILAI, 4 Ogos 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merealisasikan hasrat untuk mempunyai klinik pergigian bergeraknya sendiri apabila menerima kenderaan tersebut dalam satu majlis ringkas penyerahan kunci yang diadakan bertempat di Dewan Kuliah 2 USIM baru-baru ini.

USIM sebelum ini menerima peruntukan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah pelaksanaan Program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) sebanyak RM2.1 juta untuk projek Klinik Pergigian Bergerak Fakulti Pergigian USIM.

Naib Canselor Prof Dato Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, projek Klinik Pergigian Bergerak ini dapat merealisasikan impian Fakulti Pergigian di USIM untuk terus menabur bakti kepada masyarakat melalui program outreach dengan cepat dan meluas. Melalui program ini, rawatan pergigian dapat di bawa terus ke lokasi yang diperlukan tanpa pesakit perlu hadir ke pusat rawatan pergigian yang sedia ada sama ada di fakulti mahu pun Pusat Pakar Pergigian USIM.

Ujarnya lagi, bas yang diubahsuai sebagai klinik pergigian bergerak ini dilengkapi dua unit kerusi pergigian dan peralatan pergigian bagi menyediakan perkhidmatan pergigian secara outreach dengan rekabentuk kenderaan yang turut dilengkapi dengan ciri-ciri mesra OKU dan Warga Emas.

Melalui Bas Klinik Pergigian Bergerak ini juga, penglibatan pelajar pergigian USIM dalam projek outreach akan dapat terus diperkasakan dan memperkenalkan mereka kepada usaha-usaha khidmat masyarakat yang lebih meluas bagi membantu kesejahteraan ummah.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan