NILAI, 18 Jun 2021- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperingati dan meraikan  21 tahun usia penubuhannnya pada hari ini. Tarikh 18 Jun setiap tahun dipilih sebagai tarikh rasmi menyambut ulang tahun penubuhannya mengambil tarikh kemasukan 255  kumpulan pelajar pertama di universiti ini pada 18 Jun 2000. Sejak dari tarikh tersebut, USIM terus mengorak langkah dalam mencapai kemajuan menjadi universiti yang kompetitif setaraf dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) lain di Malaysia.

Pada tahun ini, tarikh istimewa tersebut jatuh pada hari Jumaat yang merupakan hari yang penuh dengan keberkatan bagi umat Islam. Oleh itu, sebagai memperingati tarikh istimewa ini, USIM mengaturkan beberapa program khas yang selari dalam norma baharu semasa. Majlis sambutan ulang tahun ke 21 dimulakan dengan pengisian utama iaitu Majlis Bacaan Yasin Perdana secara dalam talian yang disertai oleh Pengrusan Universiti, kakitangan, mahasiswa dan alumni menerusi aplikasi Zoom dan siaran di Facebook USIMTV.

Seusai bacaan yasin perdana ini, pengisian sambutan diteruskan dengan program iringan lain sepanjang sehari iaitu pelancaran laman web USIM Virtual Campus Tour (VCT), bacaan doa khas USIM 21 Tahun, program Dialog Kepimpinan Alumni anjuran Pusat Alumni dan Kerjaya; Khutbah Khas Solat Jumaat USIM 21 Tahun oleh Pusat Islam; dan Wacana Ilmiah Naratif Masa Depan: Memilih atau Dipilih anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM.

Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapan  khasnya sempena 21 tahun USIM mengajak warga kampus mengimbau sejarah penubuhan USIM yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Hasrat penubuhan KUIM ketika itu adalah selaras dengan manifestasi Kerajaan untuk melahirkan pemimpin Islam yang berwibawa dan dapat memelihara kepentingan negara dan umat Islam sepenuhnya.

Selain itu ia berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai model utama negara-negara Islam di dunia dan menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dengan menggunakan kurikulum tempatan untuk memastikan keutuhan Islam dalam negara demi merealisasikan pembinaan tamadun baru Islam.

“USIM telah pun melahirkan 25,269 orang alumni yang membawa nama USIM di serata pelusuk dunia. Dikesempatan ini juga saya ingin menyingkap beberapa pencapaian signifikan dan berimpak sepanjang 21 tahun penubuhan USIM antaranya adalah 82% program pengajian yang ditawarkan oleh USIM telah memperolehi akreditasi penuh (Full Accreditation) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), USIM memperolehi penarafan lima bintang dalam Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Malaysia (SETARA) 2018/2019”.

“Kejayaan besar lain antaranya USIM berjaya mencapai penarafan 4 Bintang dalam Penarafan Bintang Malaysia Research Assessment (MyRA) 2020 untuk bidang penyelidikan dan inovasi, USIM melalui Program Empowering Youth for Drug-Free Community (EYDFC) telah diumumkan sebagai finalis di International Green Gown Awards 2021 (IGGA) dan yang terbaharu, Program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah telah menerima pengiktirafan penuh oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia”,tambahnya lagi.

Merenung kembali pencapaian masa lalu, sambutan ulang tahun ini dilihat dapat menjadi satu wadah untuk mempamerkan potensi serta matlamat Universiti dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang meskipun berhadapan cabaran pandemik COVID-19. Sambutan ini juga sebagai satu manifestai bagaimana warga USIM kekal bertahan disebalik semua kekangan dan kekurangan.

Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan