NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) telah dilantik sebagai perunding bagi pembangunan panduan kursus Haji dan Umrah Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) oleh Bahagian Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH).

Pembangunan projek ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan komuniti OKU khususnya OKU Penglihatan terhadap praktikal ibadah Haji dan Umrah. Projek ini merupakan projek pertama yang melibatkan kepakaran universiti awam bersama-sama pihak TH untuk menyantuni komuniti OKU Penglihatan.

Pengarah UMMI, Profesor Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd Raus berkata; inisiatif ini merupakan usaha murni yang menyokong agenda inklusiviti diperingkat antarabangsa melalui pendekatan ‘No One Left Behind’ serta mengangkat gagasan Malaysia MADANI melalui pendekatan daya cipta ke arah pembangunan penyelidikan dan inovasi inklusif selaras dengan kekuatan dan kelainan upaya komuniti istimewa ini.

“Skop projek ini meliputi proses mengenal pasti, membangunkan dan menghasilkan buku panduan ibadah Haji dan Umrah bagi komuniti OKU Penglihatan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu USIM dan TH. Proses transkripsi panduan telah selesai dijalankan dan draf akhir panduan tersebut telah diserahkan kepada pihak TH bagi tujuan semakan.” ujarnya.

“Cadangan untuk membangunkan panduan kepada OKU Penglihatan ini telah bermula pada tahun 2024 melalui beberapa siri perbincangan dengan pihak Tabung Haji dan siri bengkel berkaitan penyediaan panduan Haji dan Umrah mesra OKU Penglihatan”.

“Projek ini juga menyokong Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU Muslim 2024-2028 ke arah usaha pengupayaan masyarakat cakna OKU dan pemerkasaan komuniti OKU” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ustaz Shahrin Awaludin Ketua Bahagian Bimbingan Haji Lembaga Tabung Haji berkata, Lembaga Tabung Haji berusaha memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan jemaah haji dari kalangan OKU turut diberi perhatian, kefahaman, dan kemudahan sewajarnya untuk menyempurnakan ibadah mereka. Usaha penambahbaikan dari segala sudut perkhidmatan sentiasa menjadi keutamaan dan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Jalinan kerjasama ini diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan diteruskan lagi bukan sahaja kepada komuniti OKU Penglihatan tetapi melibatkan semua kategori OKU. Penghasilan projek ini menjadi platform utama kepada komuniti istimewa dalam merealisasikan impian untuk menjadi tetamu Allah SWT”, ujarnya lagi.

Lembaga Tabung Haji merupakan sebuah institusi Islam yang komited dalam menyediakan kemudahan menyeluruh dan tersusun demi memastikan kebajikan Jemaah Haji Malaysia sentiasa terpelihara. Projek transkripsi ini  merupakan ‘buah tangan’ TH kepada komuniti berkeperluan khas dan melibatkan kos sebanyak RM19,997.00 Impak penghasilan projek ini jelas akan meningkatkan visibiliti TH dalam menawarkan khidmat dan bimbingan kepada komuniti OKU dalam pengurusan Haji dan Umrah yang terbilang.

 

 

Oleh:Khairunnisa Ismail