LAUSANNE – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat sejarah apabila 14 pelajarnya dari Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU) menjadi kumpulan universiti awam pertama dari Malaysia yang berjaya melaksanakan program libatsama masyarakat di Switzerland pada 18 September hingga 1 Oktober 2024 baru-baru ini. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif USIM Global Islamic Student Outreach (GISO) dengan tema “Unraveling the Essence: Hello Swiss”, yang bertujuan memperkasa pelajar melalui kesukarelawanan, pemindahan ilmu, dan pertukaran budaya.
Dibimbing oleh pegawai pengiring, Puan Nur Farhana Sulaiman, program ini menekankan pentingnya pembangunan modal insan serta memperkenalkan USIM kepada dunia. Program ini mendapat kerjasama baikn daripada pelbagai pihak seperti Swiss Muslim Hikes, EHL Business School, Lausanne University of Bern Counseling Center, Groupe Musulman Universitaire (GMU), dan Mosque De Lausanne.
Salah satu detik yang paling menarik perhatian adalah ketika pelajar USIM memperkenalkan makanan tradisional Malaysia seperti nasi lemak, lemang, dan rendang kepada komuniti tempatan. Hidangan ini disajikan di puncak Les Avants dan di Swiss Federal Institute of Technology in Lausanne, memukau selera masyarakat Switzerland. Selain menjadi penghubung budaya, pertemuan ini turut mencetuskan dialog tentang keunikan budaya Malaysia.
Menurut Puan Nur Farhana, kejayaan program ini adalah hasil usaha selama hampir tiga tahun. “Projek ini melibatkan perancangan rapi, penulisan kertas kerja, mencari penajaan, dan menjana pendapatan melalui pelbagai strategi perniagaan. Pelajar kita berjaya melaksanakannya dengan cemerlang, sekali gus membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, menyifatkan program GISO sebagai unik dan berimpak tinggi dalam membentuk modal insan masa depan.
“Pendedahan seperti ini memberi pelajar kemahiran menguruskan projek dan penajaan yang kritikal, selain membantu mereka lebih terbuka dan tahan lasak dalam menghadapi dunia global yang dinamik,” tambah beliau.
Sambutan daripada komuniti Switzerland sangat positif dengan usaha pelajar USIM yang berjaya memperkenalkan nilai-nilai Islam secara harmoni sambil mengekalkan identiti Malaysia. Masyarakat tempatan berharap agar program seperti ini diteruskan pada masa akan datang, membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama antarabangsa.
Program ini turut disokong oleh beberapa penaja termasuk Talent Corp, Akrab Padu, AZ Printing, dan Radiant Exclusive, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan program ini.
Oleh: Nurul Izzah Hamid