NILAI, 3 APRIL 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) USIM merangkul Johan bagi kategori Pertandingan Debat Bahasa Arab, Pidato Dwibahasa (Bahasa Arab dan Bahasa Melayu) dan Nasyid sementara Johan bagi Tilawah Al-Quran (Qari) dimenangi oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia (UPSI) dan (Qariah) oleh Unversiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2017 bertempat di Dewan Pusat Kuliah 3.

Penganjuran melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar buat Kali Kelima adalah dengan kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) bertemakan “Wasatiyyah Asas Transformasi Belia” menghimpunkan sebanyak 36 buah universiti serantau bertanding antaranya Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Penganjuran pertandingan ini dilihat dapat mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim antara semua peserta yang terdiri dari 20 buah institusi dalam negara dan 16 institusi luar negara dari pelbagai negara untuk meluaskan jaringan perkongsian ilmu yang bermanfaat dan berguna ke arah pembangunan dan pembinaan ummah yang lebih mantap rohani dan inteleknya,” ucap Dato’ Musa Ahmad dalam ucapan aluan.

Menurut YB Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, negara sangat mendambakan lahirnya generasi belia yang mempunyai semangat juang tinggi serta mampu memimpin anggota masyarakat pada masa hadapan. Ini supaya golongan ini dapat memainkan peranan pemangkin kepada agenda transformasi negara dan ummah selaras dengan tema Ihitfal Asean, Wasatiyyah Asas Transformasi Belia.

“Diharapkan agar aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia mampu mewujudkan sebuah iklim intelektual yang kondusif dan tradisi keilmuan yang komprehensif, seimbang dan sepadu. Ihtifal bukan sahaja merujuk kepada kesenian Islam semata-mata tetapi merangkumi tuntutan untuk menguasai ilmu pengetahuan yang merupakan salah satu ibadah,” ucapnya lagi yang merasmikan Majlis Penutupan Ihtifal IPT ASEAN.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah 1 (Penyelidikan dan Penerbitan) Institut Wasatiyyah Malaysia, Dr Mohd Afandi Mat Rani; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), YBhg Prof Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa), Prof Dato’ Dr Zulkiple Abd Ghani.

Senarai Penuh Pemenang:

Pidato Dwibahasa (Bahasa Arab dan Bahasa Melayu)
Tempat ke-3: Universitas Darussalam Gontor, Indonesia
Tempat ke-2: Universitas Islam Indonesia
Tempat Pertama: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Nasyid
Tempat ke-3: Universitas Syarif Hidayatullah Jakarta, Indonesia
Tempat ke-2: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Tempat Pertama: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) USIM

Pertandingan Debat Bahasa Arab
Naib Johan: Universitas Syarif Hidayatullah Jakarta, Indonesia
Tempat Pertama: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) USIM A

Tilawah Al-Quran (Qari):
Tempat ke-3: Universitas Syarif Hidayatullah Jakarta, Indonesia
Tempat ke-2: Universitas Islam Sultan Agung UNISSULA, Indonesia
Tempat Pertama: Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia (UPSI)

Tilawah Al-Quran (Qariah):
Tempat ke-3: Universitas Syarif Hidayatullah Jakarta, Indonesia
Tempat ke-2: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Tempat Pertama: Unversiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204