NILAI – Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Sesi Akademik 2024/2025 berlangsung dengan lancar dan aman dengan menyaksikan 87.02 peratus pelajar yang turun mengundi berbanding 91.83 peratus pada tahun lepas.

Pengumuman keputusan rasmi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi Akademik 2024/2025 disampaikan oleh Profesor Dato’ Dr Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) bersama barisan pengurusan universiti di Dewan Kuliah Pusat 3 lewat petang semalam.

Sebanyak 9 kerusi umum dan 18 kerusi fakulti menjadi rebutan calon-calon yang bertanding. Proses pemilihan calon diadakan pada hari ini secara dalam talian melalui laman web pilihmpp.usim.edu.my dengan 22 calon menawarkan diri bertanding di Kerusi Umum dan 25 calon bertanding di Kerusi Fakulti.

Kerusi Fakulti Tertinggi pencalonan adalah dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) iaitu sebanyak 5 penjuru diikuti Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) sebanyak 4 penjuru.

Sementara itu, bagi Kerusi Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) sebanyak 3 penjuru.

Bagi kerusi Fakulti Pergigian (FPg), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) tiada pertandingan kerana calon-calon menang tanpa bertanding.

Sementara itu, Haikal Nazhan Hamdan, 21, berasal dari Sarawak merupakan mahasiswa tahun tiga Fakulti Sains Teknologi (FST) yang mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 5,489 undi manakala Iffah Madihah Ahmad Basri, dengan undian kedua tertinggi sebanyak 5,250 undi.

Haikal dalam kenyataannya berkata, beliau tidak menyangka akan memenangi undian tertinggi kerana saingan yang agak sengit untuk Kerusi Umum pada sesi kali ini.

“Terima kasih kepada semua mahasiswa yang telah turun mengundi dan memberi kepercayaan kepada saya untuk dipilih sebagai Majlis Perwakilan Pelajar sesi baharu. Saya akan mempergiatkan usaha meningkatkan penglibatan pelajar USIM dalam sukan dan akan menjalankan Ujian Kecergasan dan Jasmani Kesihatan (UKJK) secara berperingkat yang merupakan salah satu elemen dalam Modul Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA), mewujudkan platform jaringan antara USIM dengan universiti dan organisasi luar serta mempergiatkan projek servis komuniti melalui Global Islamic Student Outreach (GISO),” ujar Haikal.

Dalam pada itu, Iffah Madihah Ahmad Basri, 21, mahasiswa tahun tiga Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) berkata, beliau akan menunaikan manifesto untuk memantapkan lagi hebahan maklumat penting daripada Mesyuarat Senat USIM kepada pelajar, mengadakan Girl Sports League, dan mengadakan kolaborasi bersama syarikat penerbangan untuk GISO.

Seramai 9,716 mahasiswa yang turun mengundi daripada 11,165 yang layak mengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bermula jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang secara dalam talian dan satu pusat pengundian di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

 

Oleh: Nur Khadijah Antasha binti Abd Rashid