Mula dilantik sebagai Pengarah Kompleks Islam Tuanku Muhriz atau lebih dikenali sebagai Pusat Islam USIM berkuat kuasa 1 Januari 2023 yang lalu, Dr. Muhammad Hafiz Saleh bukanlah asing dalam kalangan warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau merupakan antara staf akademik yang aktif dan turut diberi peranan memegang beberapa jawatan pentadbiran termasuklah sebagai Penyelaras Program Kerjasama Doha Academy of Tertiary (DATS) pada tahun 2020 dan Ketua Program Pengajian Quran dan Sunnah selama dua tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2022.
Memulakan pendidikan tahfiz al-Quran di Madrasatul Quran Kubang Bujok, Terengganu, beliau kemudiannya menyambung pengajian akademik dan menduduki peperiksaan SPM secara persendirian sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat di Maahad Tahfiz al-Quran negeri Melaka. Beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang al-Quran di Fakulti al-Quran dan Pengajian Islam, Universiti Islam Madinah.
Sekembalinya dari Madinah pada tahun 2006, beliau diberi peluang untuk berkhidmat sebagai tutor di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) sebelum melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang al-Quran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan seterusnya memperoleh ijazah Doktor Falsafah dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dalam bidang Pendidikan Tahfiz al-Quran. Ikuti temu ramah bersama beliau:
Q1 Pernah menerima anugerah Khas Maulidur Rasul peringkat Negeri Melaka pada tahun 2021, apakah strategi Dr. dalam memanfaatkan kepakaran yang dimiliki?
Alhamdulillah, saya pernah dikurniakan Anugerah Khas Maulidur Rasul peringkat Negeri Melaka sebelum ini. Pengurniaan anugerah ini merupakan salah satu pengiktirafan di atas perkhidmatan yang saya berikan sebagai Imam Jemputan dan Imam Tarawih di Masjid Negeri Melaka (Masjid al-Azim) sejak tahun 2010.
Melalui pengalaman sebagai imam, pelbagai aspek pengurusan masjid seperti pengimarahan , pembahagian tugas staf, pelaksanaan program Hari Kebesaran Islam, pengendalian kelas-kelas takmir, pengurusan kebersihan dan keceriaan masjid, pengurusan sistem audio video, pengurusan media sosial dan sebagainya.
Oleh itu, saya merancang untuk memanfaatkan pengalaman yang ada untuk mengimarahkan lagi Pusat Islam dengan menganjurkan pelbagai program agar dapat memberi manfaat kepada warga USIM dan penduduk sekitar in sya Allah.
Q2 Fokus utama dan hala tuju yang akan dibawa dalam meneraju KITM dengan slogan “Pusat pembentukan masyarakat bertakwa, berpaksikan penghayatan ilmu Naqli dan Aqli”
Fokus saya ialah keterlihatan (visibility) USIM menerusi penganjuran program-program di Pusat Islam. Perancangannya adalah dengan menonjolkan barisan pensyarah di USIM menerusi bidang kepakaran masing-masing. Sebagaimana yang kita maklum, kita mempunyai ramai tenaga pakar di USIM dalam pelbagai bidang. Justeru, saya cuba memanfaatkan Pusat Islam sebagai platform untuk membawa mereka ke hadapan dan lebih dikenali oleh masyarakat. Semoga dengan usaha ini, USIM lebih dikenali oleh pihak luar, sekali gus menjadi rujukan utama oleh masyarakat khususnya yang melibatkan penghayatan ilmu Naqli dan Aqli. Semoga ia juga menjadi tarikan kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi untuk melanjutkan pengajian di sini.
Q3 Aktiviti atau perkhidmatan yang dilaksanakan di Pusat Islam
Di Pusat Islam kami merancang pelbagai aktiviti, aktaranya adalah dengan menganjurkan kuliah-kuliah maghrib pada setiap malam yang mencakupi pelbagai bidang seperti pengajian tafsir al-Quran, pengajian hadis, pengajian fikah, pengajian akidah, pengajian sirah, pengajian adab dan akhlak, pengajian talaqqi kitab dan sebagainya.
Manakala pada hujung minggu pula, kami merancang untuk menganjurkan Kelas Tahfiz al-Quran dan Fardu Ain untuk kanak-kanak. Manakala untuk golongan dewasa pula kami sediakan Kelas Talaqqi al-Quran.
Bagi mengimarahkan lagi Pusat Islam dengan kehadiran mahasiswa dan mahasiswi USIM, kami menyediakan makanan tengahari secara percuma pada setiap hari Rabu dan juadah berbuka puasa sunat pada setiap hari Khamis untuk 200 orang.
Selain itu, pihak Pusat Islam juga akan menganjurkan kursus-kursus seperti Kursus Pengurusan Jenazah, Kursus Penyembelihan, Kursus Imam dan Bilal, Kursus Pengurusan Masjid dan sebagainya secara terbuka kepada staf, mahasiswa dan mahasiswi USIM sebagai pembentukan kemahiran dan pendedahan awal kepada mereka sebelum berkecimpung dengan masyarakat di luar sana.
Sebagai makluman tambahan, kami di Pusat Islam juga menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma kepada seluruh warga USIM dan keluarga terdekat yang mencakupi mandi, kafan, solat dan pengebumian jenazah. Semua perbelanjaan tersebut ditanggung oleh pihak Pusat Islam. Selain itu, kami juga menyediakan bantuan kewangan yang dikenali sebagai Musa’adah on the spot bagi staf dan pelajar USIM yang ditimpa kesusahan dan memerlukan bantuan kewangan dengan segera. Semoga ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban staf dan pelajar USIM yang menghadapi kesukaran ketika ini.
Q4 Harapan pada masa hadapan untuk KITM khususnya dan warga USIM amnya
Saya berharap agar seluruh warga USIM dapat sama-sama mengimarahkan Pusat Islam, mendirikan solat berjemaah, menghadiri majlis-majlis ilmu dan memanfaatkan semua fasiliti dan kemudian yang disediakan di sini. Kedua, Pusat Islam berada di hati seluruh warga USIM dan masyarakat di luar sebagai sumber rujukan pengajian agama khususnya dalam penghayatan ilmu Naqli dan Aqli, dan ketiga, agar seluruh warga USIM dapat turut serta mengambil bahagian untuk berinfak kepada Pusat Islam sama ada melalui tabung-tabung yang disediakan atau secara potongan gaji bagi menyokong program-program pengimarahan yang bermanfaat di Pusat Islam. In sya Allah setiap ringgit yang diinfakkan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan penuh amanah.
Akhir kata, saya menjemput kepada semua pihak untuk memberikan sumbang saran kepada Pusat Islam agar kami dapat tambah baik lagi fungsi dan pelaksanaan aktiviti di Pusat Islam yang lebih bermanfaat.