Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini berwajah baharu di bawah kepimpinan Yang Dipertua baharu susulan keputusan Majlis Pemilihan MPP 2020/2021 selesai dicapai pada 28 November lalu. MPP 2020/2021 dianggotai seramai 27 orang barisan kepimpinan terdiri dari pelbagai latar belakang dilihat bersedia untuk memikul tanggungjawab dan amanah serta membentuk ikatan berpasukan yang teguh dalam usaha menjaga kebajikan dan mendengar suara mahasiswa di USIM.
YDP MPP 2020/2021, Muhammad Hannan bin Mohd Haniff, pelajar tahun 3, Program Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah semasa berkempen memperjuangkan manifesto pertama iaitu ‘Memperkasakan Platform Diskusi antara Mahasiswa bagi Membincangkan Isu-Isu yang Berlaku Sama Ada di Peringkat Kampus, Nasional dan Antarabangsa‘ dan kedua ‘Mewujud dan Memperkasakan Platform kepada Mahasiswa untuk Mengasah Bakat Kemahiran Insaniah Khususnya dalam Memimpin Sesebuah Organisasi.’ Bermatlamat untuk memimpin mahasiswa USIM berjiwa besar dalam memberi manfaat kepada semua komuniti dilihat amat signifikan dengan antara lirik dalam lagu ‘USIM Terus Maju’, “USIM Berjanji Pada Ibunda, Berjasa Berbudi Untuk Semua”. Ikuti temu bual bersama Muhammad Hannan untuk bacaan selanjutnya.
Q1 Ceritakan tentang latar belakang pendidikan saudara dan mengapa menceburi bidang kepemimpinan ini.
Saya memulakan pendidikan awal tahun satu di Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban, Abim dan sehingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Islam (SMI) Seremban. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di peringkat Pra-Diploma di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN) di Gemencheh dan seterusnya menyambung ke peringkat Diploma Tahfiz Al Quran wal Qiraat (Takhassus Dakwah) di Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu.
Mengimbas kembali, saya telah berkecimpung dalam bidang kepemimpinan ini sejak di bangku sekolah sebagai Ketua Nuqaba’ bagi program usrah semasa di tingkatan 4, walaupun pada kebiasaannya, Ketua Nuqaba’ yang dilantik adalah dalam kalangan pelajar tingkatan 5.
Alhamdulillah, bermula dari waktu itu, saya mengambil peluang meningkatkan kemahiran antaranya mengasah karakter kepimpinan dalam diri.
Saya melihat bidang ini merupakan salah satu platform untuk saya memberi manfaat kepada orang lain. Saya sering terinspirasi dengan kisah-kisah pahlawan-pahlawan Islam yang hebat dalam memimpin khususnya Khulafa’ Rasyidin, bukan sahaja mereka ini kuat hubungan dengan Tuhan tetapi mereka juga sangat kompeten dan berintegriti dalam mengatur urusan dunia.
Q2 Kongsikan kekuatan barisan MPP 2020/2021 yang telah diwujudkan.
Alhamdulillah, jalinan dan kesepakatan dalam 27 orang MPP termasuklah pelbagai presiden fakulti, kolej, persatuan serta kelab sebulat suara mewujudkan ikatan kerjasama berpasukan yang teguh untuk menjaga kebajikan mahasiswa di USIM.
Jika diamati dalam lirik lagu ‘USIM Terus Maju’ menerangkan dengan jelas wawasan yang harus dibawa oleh mahasiswa USIM. Walaupun kami terdiri dari pelbagai latar belakang fakulti dan pengajian berbeza, namun mempunyai matlamat yang sama.
Saya percaya, dengan kepelbagaian latar belakang inilah mampu melahirkan kepelbagaian ragam dan mencetus pelbagai idea dan berkongsi sudut pandangan untuk bersama Pengurusan Universiti melaksanakan agenda kecemerlangan pada tahun baharu 2021, InshaAllah.
Q3 Apakah matlamat yang bakal direncana saudara dalam menerajui MPP 2020/2021?
Berbekalkan rasa tanggungjawab dan amanah, saya bertekad mewujudkan kebersamaan di antara mahasiswa dengan MPP. Mahasiswa USIM dialu-alukan untuk mengutarakan sebarang maklum balas atau cadangan untuk MPP memperbaiki kelemahan sedia ada. Malahan, MPP cuba untuk bersegera menyediakan penyelesaian sewajarnya pada perkara yang memerlukan pertimbangan dan keputusan.
Tidak dinafikan setiap kepimpinan ada kelebihan dan kelemahan yang perlu sentiasa di perbaiki, justeru pemerkasaan gerak kerja MPP akan sentiasa disusun dan diperkemaskan. Penambahbaikan sebarang kelemahan atau kelompongan juga di ambil kira, dengan itu ia mampu meningkatkan sikap profesionalisme dalam kerja berpasukan.
Tambahan pula, pada masa kini golongan remaja perlu mempelbagaikan kemahiran untuk mendepani masa depan yang lebih mencabar. Wawasan kami, mahu melahirkan mahasiswa USIM yang memiliki ciri-ciri memimpin yang baik untuk memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti di USIM tetapi meliputi pelbagai peringkat pencapaian. Kami mahu membina legasi mahasiswa yang berkompetensi dan ada sikap integriti serta mempunyai jiwa yang sedia memberi manfaat kepada masyarakat. Dengan adanya matlamat ini, diharapkan mahasiswa USIM sendiri lebih bertanggungjawab dan lebih yakin untuk memimpin mana-mana persatuan atau kelab apabila dilantik.
Q4 Kongsikan kata-kata saudara kepada mahasiswa USIM sebagai pengenalan kepada kepimpinan MPP 2020/2021.
Timbul dalam fikiran saya untuk mengemudi MPP 2020/2021 ini dalam suasana muhibah dengan amalan saling ingat mengingati, kerana kehidupan ini akan lebih bermakna apabila saling lengkap melengkapi.
Kehidupan di kampus ini ibarat satu keluarga, lantas varsiti yang kita diami ini adalah rumah kita bersama. Di kampus barakah inilah jua yang akan kita bangunkan serta majukan bersama. Oleh itu, jangan ada antara kita yang merasakan bahawa hanya pihak tertentu mendapat nilai yang lebih berbanding yang lain. Ini adalah kerana, warga USIM yang meliputi mahasiswa, pentadbiran dan pensyarah merupakan tunjang kekuatan kepada kemajuan varsiti secara keseluruhannya. Apabila wujud cabaran atau rintangan, marilah kita bersama-sama menempuhinya dan perbaiki kelemahannya. Bak kata pepatah, ‘Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing’.
Pada masa negara menghadapi pandemik Covid-19, nilai keadilan kepada mahasiswa adalah wajar tanpa meminggirkan penilaian terhadap kemandirian universiti dalam tempoh jangka masa yang panjang. Ia memerlukan “win-win situation”. ‘Pelajar diutamakan, kelangsungan varsiti didahulukan’.
Q5 Islam melarang dan membenci orang yang membuat kerosakan. Mohon ustaz perincikan?
Ini kerana ia selari dengan firman Allah SWT: “Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan (al-Qasas: 28: 77).
Apa sahaja bentuk kerosakan di atas muka bumi, ianya adalah termasuk dalam perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan dibenci olehNya. Ia selari dengan fitrah manusia sendiri yang sukakan keindahan dan kecantikan. Sesiapa yang melakukan kerosakan ke atas muka bumi, sebenarnya dia sedang merosakkan dirinya sendiri (fitrah dirinya yang sukakan keindahan dan kecantikan). Tamabahan pula, seluruh makhluk di muka bumi ini adalah milik Allah SWT, maka tidak sewajarnya manusia merosakkannya. Manusia pula hanya diberi pinjam kehidupan di bumi ini, dan akan tiba masanya kita mesti memulangkan kembali kepada Allah SWT. Sebarang kerosakan yang dibuat padanya pasti akan dihitung kira ke atasnya.