Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin secara rasmi telah memulakan tugas sebagai Naib Canselor baharu USIM bermula 23 September lalu. Sebagai nakhoda USIM dan Naib Canselor kelima sejak USIM ditubuhkan, pastinya beliau mempunyai gaya tersendiri untuk mengemudi universiti ini. Ikuti wawancara beliau bersama Mohd Zaini Othman, Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik.

Q1 Apakah cabaran yang dirasai oleh Prof apabila dilantik sebagai Naib Canselor USIM?

Di dalam Islam, terdapat dua syarat penting yang ditekankan untuk menjadi pemimpin yang baik iaitu Al Quwwah wal Amanah. Justeru itu, elemen kekuatan, kemahiran dan integriti menjadi asas kepada bentuk kepimpinan yang saya akan amalkan. Saya sebagai pemimpin tidak dapat lari dari membuat keputusan, justeru saya akan pastikan setiap keputusan dibuat dengan adil dan saksama ‘without fear or favour’.

Ambil teladan bahawa seekor ikan itu mula membusuk bermula dari kepalanya, jadi jika kepalanya telah rosak, lama kelamaan satu badan ikan tersebut akan rosak juga. Lantikan ini saya terima dengan rasa muhasabah bahawa saya akan memimpin sebuah institusi yang punyai sejarahnya tersendiri dan ini menjadikan saya perlu memikirkan dan mempersiapkan diri dengan sebaiknya.

Saya berpegang kepada keyakinan bahawa pemimpin yang akan mencorak ragam pengikutnya dan seorang pemimpin perlu sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT. Di dalam surah Al Fatihah ayat kelima, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan”. Pengajaran dari ayat ini, perkara pertama sekali perlu dibuat ialah meminta pertolongan kepada Allah SWT.

Tetapi bagaimana kita hendak memohon pertolongan kepada Allah SWT jika kita sendiri menjauhkan diri daripadaNya? Inilah cabaran sebenar yang saya rasai apabila mendapat tahu tentang amanah yang bakal dipikul iaitu untuk memastikan diri saya sebagai seorang pemimpin yang sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT dan mendekatkan diri kepadaNya.

Q2 Apakah pendekatan yang akan diambil Prof untuk menghayati misi, visi dan objektif universiti ini?

Apabila kita masuk ke dalam sesebuah organisasi yang baharu, pendekatan pertama yang saya laksanakan adalah engagement dengan pelbagai pihak yang menjadi pemegang taruh kepada universiti ini. Ia penting untuk saya mengenali dan memperkenalkan diri kepada mereka selain dapat melihat jurang yang ada melalui maklum balas langsung yang diterima.

USIM mempunyai Pelan Strategik Universiti yang telah menetapkan milestone tersendiri untuk dicapai. Sebagai Naib Canselor baharu, saya semestinya ingin melihat di mana USIM telah berada kini kerana melaluinya, kita dapat melihat kekurangan dan kekuatan yang kita miliki. Apabila semua pihak jelas dengan keadaan ini, pastinya kita dapat merencana langkah-langkah strategik baharu untuk melangkah lebih laju ke hadapan.

Saya telah membentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) perancangan yang ingin saya laksanakan dalam tempoh 100 hari pertama sebagai Naib Canselor. Alhamdulillah, mendapat respon positif daripada Ahli LPU dan Misi 100 Hari diluluskan. Pada kesempatan yang lain, saya juga telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin badan/kelab pelajar, melawat sekitar kampus, melihat projek pembangunan yang telah selesai, dalam proses pembinaan mahupun yang telah lama terbengkalai misalnya pembinaan kolej kediaman.

Malahan dalam perbincangan rutin dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU), saya turut tekankan untuk melaksanakan beberapa tindakan segera sebagai quick wins. Perkara-perkara berbangkit dan telah dirancang akan saya usahakan untuk ditangani dalam tempoh tiga tahun lantikan sebagai Naib Canselor.

Q3 Apakah potensi yang dimiliki USIM untuk menjadi sebuah universiti tersohor?

Jika ingin membawa sebarang perubahan baharu, perkara pertama yang perlu dibuat adalah melihat ke belakang dengan menghayati sejarah yang telah dilalui universiti ini dan apa yang telah dimilikinya kini, barulah kita dapat mengorak langkah ke hadapan dengan sebaiknya.

Kita renung kembali sejarah zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka, di mana ia menonjolkan akan era kegemilangan Melayu Muslim yang berjaya menjadikan Pelabuhan Melaka dan Selat Melaka menjadi selat yang penting kepada para pedagang dari seluruh dunia. Kegemilangan dan kecemerlangan Melaka sebagai sebuah pelabuhan tidak dapat dinafikan adalah kerana orang Melayu memeluk dan berpegang erat kepada ajaran Islam.

Jika disandarkan kepada realiti semasa, saya melihat salah satu perkara yang boleh dijadikan aset penting atau potensi kepada universiti ini adalah elemen Islam itu sendiri. Tugas utama saya adalah untuk meyakinkan pemegang taruh untuk berpegang teguh kepada Islam. Di USIM, pelajar dan kakitangan majoriti adalah Islam dan berbangsa Melayu Muslim. Tetapi ini tidak bermaksud saya menyisihkan bangsa atau agama lain yang menjadi warga kampus ini, cumanya kita harus melihat kepada realiti semasa apa yang kita ada di USIM.

Saya yakin dengan bakat-bakat yang ada di universiti ini daripada kalangan akademia, pentadbir, kumpulan pelaksana dan pelajar yang menghayati Islam, USIM akan cemerlang dalam masa terdekat ini, InsyaAllah.

Q4 Integrasi ilmu Naqli dan Aqli adalah keunikan universiti ini. Bagaimana Prof melihat ia harus diserlahkan kepada masyarakat?

Hakikat yang perlu diakui ialah tafsiran mengenai integrasi ilmu Naqli dan Aqli itu masih dibahaskan oleh warga USIM sedangkan ia adalah keunikan sebenar universiti ini. Sampai masanya saya meletakkan sasaran dalam tempoh 100 hari ini untuk memberi makna kepada nama USIM iaitu ‘Sains Islam’. Apabila perbincangan berkaitan makna Sains Islam itu diselesaikan, insyaAllah saya meyakini kita akan nampak tafsiran integrasi ilmu Naqli dan Aqli itu akan terjawab secara tidak langsung.

Jika kita menghayati makna disebalik Surah Yunus ayat 5-6, di dalam ayat tersebut diceritakan mengenai matahari dan bulan yang bertukar kitarannya yang menjadikan waktu siang dan malam itu saling bersilih ganti. Allah SWT menjadikan setiap satu kejadian itu mempunyai faedahnya dan mereka yang dapat mengenali Allah SWT ialah mereka yang melihat kepada ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaran Allah SWT).

Untuk mengenali Allah SWT melalui tanda-tanda kebesaranNya, perlulah seseorang itu memenuhi dua syarat utama iaitu yang pertama adalah membebaskan diri daripada bersikap bodoh sombong dan keduanya benar-benar ingin mencari sesuatu (kebenaran) melalui ilmu yang Allah SWT berikan.

Di dalam Al-Quran terdapat 6000 ayat dan 1000 ayat daripadanya berkaitan dengan Sains, tetapi USIM tidak seharusnya melihat Sains Islam pada 1000 ayat ini sahaja semata-semata, tetapi pada keseluruhan 6000 ayat ini. Sains Islam merangkumi kesemua 6000 ayat ini dan apabila seseorang itu mengkaji sejarah dan alam semula jadi samada seseorang itu saintis mahupan agamawan, mereka akan berkecimpung dalam Sains Islam itu secara sendirinya.

Q5 Secara peribadi, apa yang ingin dilihat berlaku di USIM di bawah kepimpinan Prof?

Saya berhasrat, bercadang dan berdoa untuk mentransformasikan USIM menjadi ‘Universiti Sains Islam Glokal, Berimpak Tinggi Menjelang 2022’. Glokal itu adalah istilah yang menggabungkan ‘global’ dan ‘lokal’, di mana saya ingin terjemahkan di peringkat antarabangsa USIM akan dilihat sebagai universiti yang tersohor disamping kita masih mengekalkan jati diri dan nilai-nilai murni yang menjadi teras universiti ini.

Pastinya ada persoalan bagaimana untuk mengukur kejayaan transformasi ini? Jawapannya dalam Misi 100 Hari pertama ini, pertamanya saya telah memilih untuk mengangkat satu nilai utama untuk dihayati oleh warga universiti iaitu punctuality (ketepatan masa) sebagai permulaan. Saya telah maklumkan kepada Ahli LPU dan JKPU bahawa pelaksanaan inisiatif ini adalah sesuatu yang berimpak tinggi dan almost zero cost.

Kita hendak mulakan dengan kempen menepati masa dan ia perlu dihayati oleh segenap lapisan warga kampus. Visinya saya ingin lihat sehingga sampai ke satu peringkat, orang luar datang ke USIM untuk belajar bagaimana USIM membudayakan amalan ini. Suatu yang perlu disedari, apabila kita tidak menepati masa, ia memberi kesan negatif yang berbentuk rantaian dan banyak waktu produktiviti dan kualiti itu hilang.

Keduanya apabila bercakap tentang universiti tersohor glokal, kita mahukan pemimpin diperingkat kesatuan, persatuan, jabatan dan pengurusan untuk bersama-sama membuka ruang bagi menaikkan individu-individu yang berbakat dan berkebolehan hingga mencapai tahap self reliant achiever. Apa yang ingin saya tekankan kepada semua pemimpin di USIM, kita perlu menjadi seorang king maker dan bukannya king. Laksanakan peranan untuk menggilap bakat-bakat terpendam mereka yang di bawah pimpinan kita, sehingga akhirnya mereka menyedari bakat dimiliki dan boleh bekerja secara lebih kreatif, proaktif dan rasa bertanggungjawab.

Ketiganya ialah saya berhasrat untuk membangunkan satu komuniti intelektual yang peka dan menawarkan penyelesaian kepada pelbagai isu-isu yang berlaku dalam masyarakat majmuk kita. Kita ingin memberi suntikan kepada komuniti akademia di USIM untuk bersama-sama menghayati maksud dan tanggungjawab menjadi seorang sarjana atau ilmuan untuk menghidupkan kembali semangat/roh cendiakawan Islam suatu masa dahulu.

Menyentuh mengenai masyarakat majmuk, saya akan memperkenalkan program-program yang bersesuaian kepada mahasiswa USIM supaya mereka boleh terlibat secara langsung dan memahami isu serta peluang yang wujud apabila berinteraksi dengan masyarakat majmuk. Kita mahukan siswa kita hidup di dalam realiti, bukannya impian kerana hakikatnya terdapat pelbagai isu di luar tembok kampus ini yang perlu kita depani dan memerlukan kepada penjelasan dan penyelesaian yang tuntas.