KUALA LUMPUR – Susulan kejayaan sulung penerbitan buku yang menghimpunkan penulisan dalam kalangan pentadbir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2023 yang  berjudul Masak Lomak Cili Api, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (PRAGMATIS) sekali lagi bekerjasama dengan Penerbit USIM bagi penerbitan edisi kedua pada tahun ini.

Dengan mengumpulkan tulisan bergenre memoir dalam bentuk anekdot yang bertemakan motivasi dan inspirasi, naskah kedua bertajuk Rendang Maman Itik Salai (RMIS) telah dilancarkan secara rasmi bersempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 pada 30 Mei 2024 baru-baru ini.

Kompilasi penulisan memoir pentadbir USIM ini telah disempurnakan pelancarannya oleh Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Sasterawan Negara bertempat di Pentas Utama PBAKL, World Trade Center Kuala Lumpur. Judul RMIS dipilih sebagai kesinambungan kepada buku pertama, yang mengetengahkan menu masakan tradisional Negeri Sembilan sebagai simbolik hidangan yang enak untuk disajikan kepada para pembaca.

Debaran kali pertama melapor diri, anugerah pertama dari universiti, cabaran bertukar jabatan, berhijrah ke luar negara, silap dalam membuat keputusan, bertemu kenalan baharu, dan terus menggali ilmu antara kisah suka-duka pentadbir USIM yang dikongsikan dalam RMIS.

Menurut Dr Mohd Helmi Masor@Mansor, Presiden PRAGMATIS, penerbitan naskah kedua merupakan hasil kejayaan dari komitmen dan kerjasama tinggi antara penulis dan editor yang dilantik. “Seramai 30 orang penulis menyumbangkan 36 karya penulisan yang bersandarkan kepada kisah benar dan pengalaman yang dilalui mereka sebagai pentadbir USIM untuk tatapan para pembaca”

“Kepelbagaian latar belakang bidang tugas dan jawatan para pentadbir ini, mencorakkan kisah yang berbeza dalam pelbagai elemen seperti perkhidmatan, pertukaran jabatan, pengantarabangsaan, pengurusan program, pengalaman mereka mengikuti kursus dan latihan, sebagai usaha pembelajaran berterusan bagi peningkatan kerjaya, serta kisah-kisah lain yang mengajak kita menghayati iktibar di sebalik setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan alam pekerjaan”.

“Buku ini bukan sekadar perkongsian pengalaman kisah benar daripada pentadbir universiti, tetapi dalamnya penuh dengan kisah yang memberikan motivasi dan inspirasi dalam kehidupan yang menyeluruh” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Pustakawan USIM.

PRAGMATIS mengambil cabaran menerbitkan naskah ini kerana ia menjadi platfom bagi menyerlahkan keupayaan pentadbir dalam bidang penulisan sekaligus menjadi kesinambungan kepada penghasilan karya-karya berkualiti yang lain pada masa hadapan. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kemahiran serta menajamkan lagi kreativiti pentadbir ke peringkat yang lebih tinggi serta mampu untuk bekerja di luar kotak.

Bersempena penganjuran PBAKL kali ke-41 yang berlangsung dari 24 Mei lalu hingga 2 Jun 2024, Penerbit USIM turut mengambil peluang melancarkan 15 buah buku baharu terbitannya di sini. Meliputi pelbagai genre penulisan, ke semua buku ini bersama naskah lain terbitan Penerbit USIM boleh dibeli oleh para pengunjung bertempat di reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).

 

Sumber:
Mohd Zaini Othman
Timbalan Bendahari PRAGMATIS 2023-2025