ARAB SAUDI, 14 Ogos 2023 – “The 10th International Islamic Economic System Conference (I-iECONS 2023)” di bawah anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya persidangan ini diadakan secara hibrid. Sesi pembentangan secara dalam talian dilaksanakan pada 7 Ogos 2023 manakala sesi fizikal pula dilaksanakan pada 14 Ogos 2023 bertempat di Millennium Makkah Al-Naseem Hotel, Makkah Al-Mukarramah, Arab Saudi baru-baru ini.

Seramai 150 peserta dari lebih 40 institusi pendidikan tinggi dengan melibatkan 128 pembentangan kertas kerja dibawah tujuh tema berkaitan ekonomi Islam telah dijalankan dengan jayanya.

Menurut Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin selaku Pengarah program berkata, penyertaan kali ini turut menarik penglibatan dari 14 buah negara termasuklah dari Malaysia iaitu dari Algeria, Arab Saudi, Austalia, Brunei, Filipina, Indonesia, Palestin, Tunisia, Turkiye, UAE dan United Kingdom.

“Sebanyak dua ucaptama berkaitan ekonomi Islam telah disampaikan pada I-iECONS 2023. Ucaptama pertama adalah bertajuk “Halal Industry Ecosystem and its Impact on Innovative Islamic Finance” yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM. Manakala, ucaptama kedua pula bertajuk “Sustainable Development through Innovative Economic Transformation” yang disampaikan oleh Prof. Dr. Amir Shaharuddin, Pengerusi Jawatankuasa Syariah, SME Bank Berhad”.

Ujarnya lagi, satu sesi forum turut diadakan dengan kerjasama daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan membahaskan berkenaan “Maqasid al-Shariah and Responsible Investment Index (MSRI)”.

“Indek MSRI merupakan salah satu inisiatif yang dibangunkan oleh pihak PNB menerusi penyelidikan Kerusi Profesor Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI) bersama pihak FEM USIM dalam menilai pelaburan yang bertanggungjawab yang berteraskan Maqasid al-Shariah. Ahli-ahli panel forum yang terlibat termasuklah Dr. Ahmad Basri Ibrahim, Ketua Pengurusan Syariah PNB, Prof. Dr. Fauzias Mat Nor, Penyandang Kerusi Profesor YTI dan Prof. Dr. Amir Shaharuddin, Pengerusi Jawatankuasa Syariah, SME Bank Berhad”, tambah Dr. Iqmal.

Selain itu, turut diadakan satu sesi perkongsian berkenaan dokumen polisi nasional bertajuk “White Paper on Shariah Audit” yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Accountants (MIA) yang merupakan sebahagian daripada hasil kajian bersama diantara pihak MIA dan FEM USIM yang diketuai oleh Prof. Dr. Zurina Shafii. Dokumen polisi ini merupakan rentetan daripada desakan untuk mempunyai satu garis panduan khusus berkenaan audit syariah terutamanya bagi industri berasaskan syariah seperti kewangan Islam, pasaran modal Islam, kooperasi Islam, institusi kerajaan berasaskan syariah dan juga institusi berkepentingan awam yang lain. Sesi perkongsian ini disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, professor daripada FEM USIM.

Persidangan dwi tahunan ini telah memasuki siri ke-10 dan ketiga kalinya dilaksanakan di luar negara selepas iECONS 2015 di Krabi, Thailand dan iECONS 2017 di Muscat, Oman. Persidangan 2023 kali ini turut mendapat kolaborasi daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Brunei), Universitas Indonesia (Indonesia), Universiti Kebangsaan Malaysia (Malaysia), Universiti Islam Madinah (Arab Saudi) dan University of Prince Mughrin (Arab Saudi).

Pada majlis yang sama turut diadakan pelancaran Alumni USIM Chapter Timur Tengah yang telah dilancarkan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani. Penyampaian watikah pelantikan wakil Alumni Chapter Timur Tengah USIM disampaikan kepada Dr. Idris Mukhtar yang kini berkhidmat di Islamic Corporation for the Development of Private Sector, Islamic Development Bank Group (IsDB), Jeddah, Arab Saudi. Dr. Idris Mukhtar yang berasal dari Nigeria adalah merupakan Alumni Doktor Falsafah Ekonomi FEM USIM pada tahun 2020.

 

sumber: Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan