NILAI – Malaysia telah diiktiraf sebagai Hab Halal di rantau Asia dan peneraju industri Halal dunia. Sebagai sebuah negara Muslim yang progresif dengan pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan yang konsisten serta kestabilan politik dan sosial, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui International Fatwa and Halal Centre (iFFAH) telah membangunkan “Kerangka Kelestarian Integriti Halal Berdasarkan Parameter Perundingan Keperluan dan Minat dalam Kalangan Pakar dan Bakat Halal di Malaysia”.

Seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia pada tahun 2017, salah satu masalah penting yang harus ditangani oleh negara ini jika ingin mencapai status hab halal global pada tahun 2020 adalah kesinambungan.

Menurut Ketua Penyelidik, Dr. Norhayati Rafida Abdul Rahim, pembangunan kerangka ini memerlukan penelitian secara bersilang di antara teori dan praktis di peringkat akademik dan juga industri. Kaedah ini akan memberikan satu input yang penting kerana data itu sendiri akan menunjukkan hubungan atau perkaitan di antara keperluan dan minat oleh Eksekutif Halal dalam kerjaya mereka dalam industri halal. Sekali gus, ia dapat memastikan integriti diterapkan secara lestari dalam pekerjaan mereka.

“Untuk mencapai kesinambungan, kajian parameter perundingan harus dilakukan dengan objektif pertama untuk meneroka parameter keperluan dan minat dari perspektif pakar dan bakat Halal; kedua, untuk mngenalpasti korelasi antara parameter rundingan minat dan keperluan untuk kesinambungan Halal Integriti; ketiga, untuk mengenalpasti kesan perantararaan oleh integriti terhadap hubungan di antara perundingan keperluan dan minat dalam kalangan Eksekutif Halal; dan keempat untuk mendapatkan model kelestarian Integriti halal untuk Eksekutif Halal”.

“Fasa pertama mengenal pasti parameter keperluan dan minat menggunakan kaedah tembual dengan lima responden untuk setiap kategori pakar Halal. Fasa kedua melibatkan penerapan item perundingan ke dalam instrumen yang menggunakan pendekatan kuantitatif dengan 408 responden yang dipilih secara rawak untuk Eksekutif Halal. SPSS dan  AMOS digunakan untuk analisis data. Dua model yang berbeza akan diambil untuk kerangka integriti Halal demi kelestarian bakat Halal di Negara ini. Perbezaan tersebut akan menjadi penentu kepada kerangka strategik kelestarian Halal yang memberi manfaat kepada kerajaan, industri dan masyarakat di Malaysia”.

“Cabaran yang kami hadapi dalam proses kajian ini boleh dilihat dari segi masa. Para responden yang juga Eksekutif Halal dipenuhi dengan jadual kerja harian yang mengehadkan masa mereka untuk menjawab soal-selidik.  Selain dari itu, yang lebih utama, suasana pandemik menyekat pergerakan penyelidik. Alhamdulillah, kami tidak menghadapi kekangan kewangan dan ia mencukupi. Malahan, kami mendapat kerjasama yang tinggi dari ahli kajian”, jelasnya.

Dr. Norhayati menambah lagi, industri halal terus berkembang dari segi pasaran dan juga sumber manusia. Selain dari produk itu sendiri, pembangunan modal insan menjadi tunggak utama tanpa prejudis kepada revolusi industri 4.0. Kajian memberi tumpuan kepada modal insan sebagai tunggak kejayaan industri halal.

Jelas beliau, projek ini  memiliki data yang tinggi nilainya kepada kementerian  sumber manusia dalam meletakkan tanda aras penggajian dan perjawatan dalam industri halal, juga penyedia dasar seperti JAKIM dan HDC untuk memastikan pekerja Muslim dalam industri halal memiliki laluan kerjaya yang dijamin kualitinya menerusi pembangunan modul latihan yang relevan kepada mereka. Selain itu, ia juga menjamin kelestarian pekerja Muslim dalam memperkasakan elemen integriti dalam industri halal.

 

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

 

(Projek ini telah berjalan sebelum pandemik Covid-19)