Semenjak dua menjak ini kita dikejutkan dengan penularan kes COVID-19 yang meningkat secara mendadak. Kebanyakan kesnya pula diperhatikan timbul dengan ketara selepas pilihan raya di Sabah pada 26 September 2020. Kini Malaysia sedang berdepan dengan gelombang ke tiga COVID-19. Ini sudah semestinya menggusarkan hati semua disebabkan kesan penularan yang boleh menggugat kesejahteraan dan ekonomi negara. Baru-baru ini Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur telah di letakkan di bawah Perintah Pergerakkan Kawalan Bersyarat (PKPB) bermula daripada 14 Oktober sehingga 27 Oktober, setelah beberapa daerah dan Negeri di Kedah dan Sabah yang turut mengalami nasib yang serupa dek peningkatan kes di kawasan terlibat. Apakah yang perlu kita tahu mengenai COVID-19 pada ketika ini?
Apakah itu kontak rapat?
Kekeliruan di kalangan rakyat mula timbul berkenaan apakah itu kontak rapat. Maka mulalah netizen menerokai internet bagi merungkai maksud kontak rapat. Ini adalah kerana pengetahuan tersebut amat penting bagi mengetahui apakah tindakan seterusnya yang wajar diambil. Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan pantas memberi maklumat terperinci melalui Facebook, bertarikh 9 Oktober 2020, menyatakan bahawa kontak rapat kes positif COVID-19 merupakan individu yang:
• mempunyai kontak secara langsung dengan kes positif COVID-19.
• bersemuka secara langsung dengan pesakit COVID-19 pada jarak kurang daripada 1 meter.
• mempunyai kontak fizikal dengan kes COVID-19 dalam tempoh 14 hari dari tarikh jangkitan.
• duduk berdekatan (kurang 1 meter dengan kes COVID-19) misalnya di pejabat atau di dalam kelas.
• dikesan mengembara bersama atau duduk dengan jarak yang dekat (kurang daripada 1 meter) dengan kes positif COVID-19 sepanjang tempoh perjalanan.
Ahli keluarga yang tinggal serumah dengan kes positif COVID-19 dan anggota kesihatan yang merawat kes positif COVID-19 tanpa menggunakan alat perlindungan diri (PPE) yang lengkap juga dikategorikan sebagai kontak rapat.
Manakala badan dunia Central Disease of Control Prevention (CDC) mendefinasikan bahawa kontak rapat sebagai individu yang berada dalam lingkungan 6 kaki (1.8 meter) daripada orang yang dijangkiti selama sekurang-kurangnya 15 minit. Tempoh masa 15 mint dijadikan pengukur berisiko tinggi tehadap jangkitan virus. Walaubagaimanapun sekiranya individu yang begejala tersebut batuk dan terkena pada kontak, maka kontak tersebut mendapat risiko yang tinggi.
Kenapa 14 hari kuarantin?
Kuarantin bermaksud mengasingkan seseorang pesakit koranavirus (COVID-19) ataupun mereka yang mungkin terdedah kepada virus daripada orang lain untuk satu tempoh masa atau sehingga ujian ulangannya menunjukkan dia tidak dijangkiti. Tindakan ini dilakukan supaya pesakit atau kes tidak menjangkitkan virus tersebut kepada orang lain.
Kerajaan Malaysia memutuskan perintah untuk kuarantin kepada mereka yang baru tiba daripada negara atau kawasan yang berisiko tinggi wajib dipraktiskan bagi mengelak penularan wabak koranavirus (COVID-19). Adalah menjadi satu perkara yang leceh apabila kita dikenakan kuarantin sebegitu lama. Banyak perkara dan kerja tertangguh dek menunggu habisnya tempoh 14 belas hari. Namun begitu seluruh dunia juga telah menetapkan 14 hari adalah wajar bagi tempoh masa kuarantin. Berikut merupakan fakta bagaimana tempoh 14 hari telah ditentukan sebagai tempoh masa yang cukup:
• Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa tempoh inkubasi COVID-19, iaitu masa antara pendedahan kepada virus dan timbulnya gejala, adalah secara purata 5-6 hari, tetapi boleh berlanjutan sehingga 14 hari.
• pasukan penyelidik daripada Johns Hopkins University melaporkan sebanyak 97.5% individu masih bergejala sehingga ke hari yang ke 11 sejak gejala bermula.
• WHO-China dimana wabak bermula telah melaporkan bahawa tempoh inkubasi virus adalah selama 5-6 hari sehingga 14 hari
• Tempoh masa 14 hari adalah cukup untuk memberitahu samada seseorang itu dijangkiti atau tidak.
Walaubagaimanapun, sekiranya gejala muncul setelah habis tempoh 14 hari, individu tersebut perlu diasingkan lagi kerana ada kajian menunjukkan sesetangah pesakit mempunyai tempoh masa yang lebih lama sehingga ia menjadi negatif tehadap ujian COVID-19.
Kenapa rebakan COVID-19 berlaku dengan pantas?
Journal perubatan Nature bertarikh 11 Mac 2020 telah membincangkan bagaimana virus ini boleh merebak dengan pantas. Antara lain ia melaporkan bahawa genetik dan struktur koronavirus tersebut merupakan antara penyebabnya. Struktur koronavirus yang mempunyai “spikes” yang unik dibadannya berbanding virus yang lain mempercepatkan proses kemasukkan virus ke dalam sel manusia. Menurut B.Coutard et al dalam kajian mereka mendapati “spikes” tersebut mempunyai jenis protein berbeza berbanding virus lain. Manakala saintis Dr Li Hua at Huazhong University of Science and Technology in Wuhan, China, di mana wabak ini bermula melaporkan bahawa “spikes” ini bertindak balas dengan sel enzim manusia dipanggil furin yang terdapat di dalam kebanyakan organ manusia seperti paru-paru, hati dan usus kecil, seterusnya memungkinkan risiko jangkitan pada organ tersebut apabila seseorang dijangkiti COVID-19.
Disamping itu beberapa saintis berpendapat, faktor “activation site” juga menyumbang kepada kecepatan rebakan jangkitan virus ini. Keadaaan ini menyebabkan kadar jangkitan menjadi 10 kali lebih banyak dalam tempoh masa tertentu berbanding SARS (juga dalam keluarga koronavirus) yang melanda sebahagian negara sebelum ini. Walaubagaimanapun, teori tersebut belum dapat disahkan dengan sempuna kerana perihal laku koronavirus yang sering berubah dan tidak dapat dijangka.
Antara penyebab lain ialah sistem immuninsasi badan manusia belum pernah terdedah kepada koronavirus ini yang mengakibatkan kadar jangkitan sangatlah cepat. Ini adalah kerana imun sistem tidak terbentuk bagi menghapuskannya dari badan. Cara rebaknya melalui cecair, dan udara menjadikan ia mudah dijangkiti kepada orang lain. Profesor Z.Hong Zhou daripada UCLA University menyatakan satu titik cecair mempunyai kadar bilangan virus yang tinggi. Hal yang demikian menjadi asas dimana proses sanitasi perlu dilakukan apabila kes COVID-19 ada di sesuatu tempat. Selain daripada itu faktor immuniti kelompok (herd immunity) yang belum ada di dalam komuniti, mempercepatkan rebakkan virus ini. Hanya 80% daripada keseluruhan pesakit mendapat gejala yang ringan atau tiada langsung. Juga latent period selama 10 hari di mana waktu ini gejala amat ringan atau tidak ada menyebabkan seseorang itu tidak tahu sama ada mereka dijangkiti oleh wabak ini ataupun hanya selsema dan demam biasa. Akibatnya rebakan wabak boleh berlaku secara diam.
Sebab itulah tindakan awal wajib dilakukan dengan kuarantin atau pengasingan kendiri walaupun mereka tidak bergejala bagi memutuskan rantaian jangkitan bila mana sahaja mereka ada sejarah kontak rapat kepada rakan mereka yang positif. Terdapat kajian yang melaporkan bahawa daripada semua kes, 80% tiada atau hanya mempunyai gejala yang ringan, 15% memerlukan rawatan di hospital dan 5% memerlukan rawatan rapi di ICU. Rawatan pencegahan yang lambat dan kesukaran untuk kuarantin adalah faktor rebakan wabak yang cepat.
Gelombang ke tiga COVID-19: Mahukah PKP berulang lagi?
Rata-rata di seluruh dunia, negara yang masuk fasa gelombang ketiga COVID-19 ni dilihat mempunyai lebih banyak kes COVID-19 dilaporkan berbanding fasa sebelumnya. Pada awal Oktober 2020, menurut Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia dikatakan sedang menghadapi gelombang ke tiga COVID-19. Mengikut laporan kes COVID-19 daripada KKM, gelombang ketiga ini bermula dengan 2 kluster yang dikatakan sebagai penyumbang utama iaitu di Sabah dan Kedah. Dan menurut analisis oleh Institut Penyelidikan Perubatan yang melihat pada sampel virus COVID-19 yang diambil daripada pesakit, didapati terdapat koronavirus yang telah mengalami mutasi D614G. Virus yang mengandungi mutasi D614G ini dikatakan lebih senang untuk disebarkan dan lebih tinggi kadar jangkitan berbanding yang sebelum ini. Oleh sebab itu, sekiranya rakyat Malaysia tidak cakna akan kesihatan diri masing-masing dengan mengamalkan norma baharu sebagai langkah pencegahan COVID-19, maka kita akan berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar bagi membendung COVID-19. Peringatan kepada kita semua agar sentiasa terus untuk mengamalkan norma baharu kerana gelombang ketiga ini mungkin juga terjadi dek kerana kealpaan kita. Sesungguhnya perjuangan kita masih belum selesai dan kita harus bersatu menghadapi musuh COVID-19 ini.
Apakah impak gelombang ketiga ini? Melihat pada graf KKM, kita telah melalui perintah kawalan pergerakan (PKP) sewaktu gelombang kedua COVID-19. Impak sewaktu PKP dilaksanakan diseluruh negara di ketika itu tersangatlah besar. Hanya operasi yang kritikal seperti hospital dan kedai barangan runcit sahaja dibenarkan. Manakala sektor-sektor lain telah diarah untuk tutup. Ramai yang terkesan akibat PKP ketika itu.
Antaranya, bukan sahaja impak dari segi ekonomi bahkan hubungan sosial sesama manusia juga terputus namun dihubungkan di media sosial dan alam maya, disamping pengajaran dan pembelajaran secara digital dilaksanakan sepenuhnya. Selain itu, terdapat juga cabaran bekerja dari rumah disamping memastikan kebajikan keluarga terjaga. Mengambil pengajaran daripada PKP dan situasi ketika berhadapan dengan gelombang kedua yang lepas, untuk strategi gelombang ketiga kali ini, kerajaan mengambil langkah dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dibeberapa buah negeri yang dikatakan berada di zon merah. Melalui PKPB ini semua sektor perniagaan dibolehkan untuk beroperasi seperti biasa. Diharap agar melalui PKPB ini, jumlah jangkitan positif COVID-19 dapat diturunkan dan menjadi terkawal.
Hentikan stigma sosial COVID-19
Rentetan daripada pandemik COVID-19, timbul satu lagi isu yang agak serius untuk kita ambil peduli iaitu provokasi COVID-19 telah menyebabkan berlakunya stigma sosial dan diskriminasi dikalangan masyarakat. Situasi ini semestinya merupakan amalan yang tidak sihat bukan sahaja untuk para pesakit COVID-19 malahan tempias kesannya boleh terjadi kepada semua lapisan masyarakat yang diketahui berkait dengan pesakit tersebut.
Antara kesan stigma daripada COVID-19 itu adalah, seseorang itu menjadi terasing daripada dunia luar. Seterusnya, stigma tersebut boleh menyebabkan seseorang itu untuk terus menyembunyikan status penyakit mereka untuk elak daripada diskriminasi dan lebih teruk lagi boleh menyebabkan mereka daripada takut untuk pergi mendapatkan rawatan perubatan yang sepatutnya.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan adat budaya sopan santun untuk menghentikan stigma terhadap COVID-19 ini. Kita harus sentiasa menjaga setiap patah perkataan yang kita ungkap kerana ia mungkin memberi kesan buruk kepada orang lain. Berikut adalah beberapa langkah ringkas cadangan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang kita boleh ambil untuk hentikan stigma sosial COVID-19:
Paling penting, kita seharusnya berjuang bersama-sama melawan pandemik ini. Gunakanlah platform sosial media sebaiknya untuk menyebarkan info dan mesej yang tepat bagi kemampatan solidariti semua.
Jaga alam kita: Impak Amalan Norma Baharu?
Sewaktu perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara, dilaporkan bahawa tahap pencemaran udara dan sungai telah menurun dengan ketara di mana kita dapat lihat langit semakin cerah disebabkan kurangnya pencemaran udara dan juga sungai menjadi bersih. Kurangnya pergerakkan dan aktiviti manusia ketika itu memungkinkan alam persekitaran menjadi begitu nyaman dan sempurna. Inilah hikmah terbaik daripada PKP yang kita perolehi hasil pengorbanan kita “duduk di rumah”. Walaubagaimanapun, sebaik sahaja PKP di longgarkan dan seterusnya memasuki fasa pemulihan, kita dapat lihat udara segar disamping langit cerah tidak lagi kelihatan. Air sungai kita juga kembali tercemar dengan sampah sarap. Ia menjadi parah apabila dikala ini timbul isu lambakan pembuangan pelitup muka dimana-mana. Adakah ini sampah norma baharu yang terpaksa diterima disebabkan pembuangan pelitup muka terpakai dibuang merata-rata? Keadaan menjadi lebih buruk apabila tempahan makanan atas talian turut meningkat sekaligus meningkatnya pembuangan bungkusan berasakan plastik yang tidak mesra alam. Cukuplah. Sebelum pandemik COVID-19 lagi, pembuangan sampah masih menjadi isu utama global dan kini ditambah lagi dengan peningkatan sampah “norma baharu”.
Amalan norma baharu dengan pemakaian pelitup muka dan sebagainya patut dilaksanakana bagi membendung wabak dan memastikan kita tidak dijangkiti virus. Tetapi pembuangan pelitup muka wajib dilakukan dengan sempurna tanpa membiarkan ia bersepah di merata-rata tempat. Tidakkah kita tahu bahawa tindakan tersebut adalah merbahaya bagi kesihatan? Umum perlu tahu bahawa pelitup muka yang terpakai boleh menjadi sumber kepada jangkitan COVID-19 apabila ia terkena atau digunapakai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam kita cakna dalam mengamalkan norma baharu ini, kita juga patut cakna bagi memastikan alam sekitar sentiasa bersih terpelihara demi masa depan anak-anak. Buanglah sampah di tempat yang sepatutnya dan amalkanlah etika pembuangan pelitup muka dengan betul. Sekiranya kita alpa, hidupan flora dan fauna akan turut terkesan dan boleh musnah disebabkan sikap endah tak endah kita. Kempen #mohcaknafacemask #USIMjagasemua adalah merupakan salah satu inisiatif daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam memastikan isu pemakaian yang betul dan pembuangan selamat pelitup muka terpakai di ambil peduli.
Akhir kata, ancaman COVID-19 terhadap kesihatan manusia kadangkala tidak dapat dijangka. Memang banyak suara menyarankan perlunya vaksin terhadap COVID-19 kerana ianya antara jalan terakhir bagi membendung wabak. Walaupun timbul banyak persoalan tentang keberkesanannya, ia patut terus dibina. Melalui pertemuan Menteri Luar daripada negara China minggu ini, Malaysia dijanjikan akan mendapat bekalan vaksin tersebut. Namun beberapa syarikat pembangunan vaksin di Amerika Syarikat terpaksa memberhentikan proses kajiannya beberapa hari yang lepas kerana dilaporkan ada kesan sampingan vaksin yang menggusarkan. Menurut etika perubatan hal sedemikian perlu diselidik dengan lebih terperinci bagi memastikan tahap kesihatan dan keselamatan penerima vaksin terjamin.
Artikel ini telah diterbitkan di Sinar Plus pada 19 Oktober 2020.