Pada Oktober lalu, impian seorang pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menyambung pelajaran ke universiti tercapai apabila menerima bantuan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Vivian Koh Lik Ting, anak sulung daripada empat adik-beradik sebelum ini terpaksa menolak tawaran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kerana keluarganya tidak mampu membiayai kos pengajiannya.
PTPTN bersama UMK dan Yayasan Raja Shamri (YRS) tampil bekerjasama membantu Koh melanjutkan pengajian dengan bantuan kewangan dan menurut Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, sumbangan yang disalurkan adalah satu langkah penting dalam usaha PTPTN memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan tinggi. Ini merupakan sebahagian kisah ‘masuk u’ setiap kali apabila tiba ‘musim’ pelajar mendaftar masuk ke universiti bagi melanjutnya pengajian. Pastinya ada sahaja kisah yang meruntun simpati dan sedih yang dikongsikan di media massa atau media sosial berkaitan pelajar terpaksa menolak tawaran pengajian atas faktor kewangan dan kemiskinan.
Inilah antara senario keciciran dalam pendidikan tinggi yang merugikan negara pada masa panjang kerana secara asasnya mereka ini mendapat keputusan yang cemerlang di peringkat sekolah. Rezeki apabila kisah pelajar cemerlang seperti ini tular dalam masyarakat, maka akan ada orang perseorangan, agensi Kerajaan, institusi agama atau badan bukan Kerajaan yang membantu menyediakan bantuan kewangan dan alatan pengajian yang bersesuaian. Namun kita tidak boleh menolak kemungkinan, ada yang tidak bernasib baik seperti ini untuk kisah mereka diketahui oleh masyarakat.
Wujud sahaja kes pelajar cemerlang yang sedari awal tidak mahu melanjutkan pengajian atau menolak tawaran kerana lebih memilih membanting tulang empat kerat membantu dan meringankan ekonomi keluarga dengan keluar bekerja. Justeru, kegagalan meneruskan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi akan ‘mematikan’ daya intelek yang mereka miliki yang seterusnya boleh menjadikan masa depan pelajar cemerlang ini dan keluarganya tidak berubah, terus bergelut dengan kemiskinan. Dek kerana itu, pendidikan sentiasa dianggap sebagai kunci utama untuk keluar atau memutuskan rantaian kemiskinan kerana melalui pendidikan, ia membuka ruang yang amat besar.
Peluang dan akses terhadap pendidikan yang berkualiti merupakan jalan keluar daripada kemelut kemiskinan yang bukan sahaja membantu mengubah nasib sesebuah keluarga malah membantu menawarkan peluang pekerjaan sekaligus menawarkan masa hadapan yang lebih cerah kepada seluruh generasi. Rakyat Malaysia seharusnya berasa sungguh bertuah kerana agenda pendidikan untuk semua sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan dengan kita melihat dua Kementerian yang bertanggungjawab dalam urusan pendidikan negara iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi amat agresif dalam melaksanakan dasar dan tindakan bagi merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tidak hanya digembeleng oleh dua Kementerian ini sahaja, dalam kuantum yang lebih luas, penulis sebagai individu yang berada dalam perkhidmatan pendidikan tinggi berpandangan kejayaan dalam merapatkan jurang pendidikan hanya boleh dicapai melalui usaha dan komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk pegawai pelaksana, pemimpin dan kumpulan masyarakat, ibu bapa dan tidak ketinggalan pelajar itu sendiri.
Tiga isu yang sinonim dikaitkan dengan ekosistem pendidikan diperingkat rendah dan menengah adalah infrastruktur pendidikan yang daif khususnya di luar bandar dan pedalaman, kekurangan guru dalam bidang dan kemudahan pembelajaran pembelajaran dan pengajaran yang tidak lengkap. Di peringkat pendidikan tinggi, tiga isu ini bukan masalah utama namun yang kerap menjadi bahan perbincangan adalah masalah keciciran dalam kalangan pelajar yang sering berlaku saban tahun. Beberapa faktor telah dikenalpasti sebagai punca keciciran selain dari masalah kewangan sebagai punca utamanya, antaranya halangan keluarga, disiplin dan pelajar tidak lagi mempunyai minat untuk belajar.
Secara peribadi, penulis amat gembira apabila KPT meneruskan inisiatif bagi membantu pelajar daripada golongan keluarga B40 untuk ke menara gading menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG). Menerusi program ini, sebanyak 10,000 mahasiswa yang merupakan wakil pertama dari keluarga B40 akan dikecualikan sepenuhnya yuran pengajian di semua universiti awam. Ini secara tidak langsung akan memberikan motivasi kepada keluarga, dan juga kepada komuniti setempat untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
Program ini dilaksanakan berdasarkan terdapat anak-anak daripada golongan B40 memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun STPM namun tidak berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akibat kekangan kewangan dan peluang.
Kesimpulannya, pendidikan atau mendalami ilmu adalah menjadi tanggungjawab semua dan sewajarnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat selari dengan Firman Allah SWT di dalam Surah al-’Alaq ayat 1 hingga 5: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhan-mulah Yang Maha Mulia. Yang Mengajar (manusia) dengan pena. Dia Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.