Prof Madya Dr Yuslina Mohamed
Prof Madya Dr Yuslina MohamedPensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Bahasa Arab terkenal sebagai bahasa ilmu, peradaban dan komunikasi semenjak dari zaman awal tersebarnya agama Islam di dunia. Bahasa Arab bukan sahaja menggambarkan identiti dan kebudayaan masyarakat Arab setempat di benua timur tengah, bahkan, merupakan nadi dan sumber pengajaran agama Islam seantero kerana wahyu al Quran diturunkan dalam bahasa ini sejak 1400 tahun yang lalu

Justeru, berkembangnya agama Islam juga menunjukkan bertambah penutur dan pengamal bagi Bahasa Arab itu sendiri dan seterusnya menjadikannya sebagai medium terpenting dalam perbahasan ilmu dan ibadah dalam kalangan penganut agama Islam.  

Kemampuan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu ini juga jelas terbukti dari sudut pengaruh bahasanya ke pelbagai bahasa di dunia. Antaranya, Bahasa Melayu – Jawi di nusantara, Bahasa Turki Osmanlica di Turki, Bahasa Parsi, Urdu dan lain-lain lagi.

Menurut pengkaji bahasa, terdapat lima bahasa sahaja yang telah meninggalkan pengaruh besar dalam mengembangkan tamadun manusia di dunia iaitu bahasa Cina Kuno, Sanskrit, Latin, Greek dan Bahasa Arab.

Walaubagaimanapun, hanya Bahasa Arab sahaja yang masih wujud dan kekal digunakan sehingga ke hari ini, sementara bahasa lain dikatakan telah pupus atau tidak mampu digunakan secara meluas lagi seperti sebelumnya. Bertepatan dengan firman Allah SWT yang mafhumnya adalah “Kami turunkan alQuran dalam Bahasa Arab dan kami juga memeliharanya dan menjaganya”.  Dengan demikian, benarlah firman Allah SWT bagi menunjukkan kekuasaannya melalui kelupusan bahasa-bahasa tua atau kuno yang merupakan bahasa rekaan manusia, apabila tiada keperluan dan kepentingan pada kehidupan maka bahasa itu akan lupus dan lenyap di dunia ini.

Tambahan pula, Bahasa Arab juga memiliki kedudukan yan mulia dalam kalangan penutur muslim terutamanya kerana bahasa ini telah diangkat oleh Allah sebagai bahasa yang diturunkan al Quran padanya.

Firman Allah SWT di dalam al Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya kami menurunkannya berupa al Quran dengan berbahasa arab agar kamu memahaminya.” (Surah Yusuf: Ayat 2).

Justeru, penyebaran Bahasa Arab adalah serentak dengan penyebaran agama Islam itu sendiri. Bahkan, janji Allah bahawa agama Islam akan kekal terpelihara hingga ke akhir zaman juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa kesucian Bahasa Arab juga akan kekal terjaga hingga ke akhir zaman, dengan penutur yang pastinya akan bertambah dari semasa ke semasa.

Statistik terkini menunjukkan bahawa Bahasa Arab adalah bahasa kelima yang terbanyak digunakan di dunia dengan bilangan penutur  meningkat sehingga 2 bilion, dan bilangan ini akan bertambah dan akan mengubah kedudukan Bahasa Arab sebaga Bahasa pertama di dunia  pada 2050.

Selain itu, Bahasa Arab juga turut dipandang tinggi seantero dunia apabila Bahasa Arab diangkat sebagai Bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsar Bersatu (PBB) sejak 1973. Bahkan, terdapat banyak institusi pengajian tinggi di seluruh dunia mengangkat martabat Bahasa arab dengan menawarkan kursus pengajian Bahasa arab di universiti mereka termasuklah dari Oxford University.

Menurut pakar Bahasa, Bahasa Arab telah berkembang dengan lebih meluas lagi selepas kedatangan Islam. Pengaruh agama Islam membolehkan masyarakat Muslim khususnya memberi perhatian kepada Bahasa ini dengan menuturkan, memahami, menterjemah dan bahkan menghafal al Quran yang juga diturunkan dalam Bahasa Arab.

Ibnu Taimiyyah menyebutkan dalam tulisannya, Iqta’ al-Sirat al-Mustaqim: “Bahasa Arab itu adalah sebahagian daripada agama, mengetahuinya adalah wajib, sebab al-Quran dan al-Sunnah wajib difahami, sedangkan ia hanya dapat difahami dengan mengetahui bahasa Arab. Apa yang tidak sempurna wajibnya melainkan dengannya, maka ia adalah wajib juga.”

Justeru, benarlah kata-kata bijak pandai yang mengatakan bahawa, “Jika anda ingin berkomunikasi dengan anjing, gunakanlah bahasa Jerman. Jika ingin berkomunikasi dengan kuda gunakanlah bahasa Inggeris. Jika ingin berkomunikasi dengan isteri gunakanlah bahasa Perancis dan jika ingin berkata-kata dengan ahli falsafah, gunakanlah bahasa Arab. Ini kerana ketinggian Bahasa Arab mengjangkaui  semua Bahasa-bahasa di dunia. Begitulah perumpamaan untuk ketinggian bahasa ahli langit ini.