Nor Asiah Yaakub
Nor Asiah YaakubPensyarah Fakulti Ekonomi dan Mualamat

Pelbagai program hiburan dari negara asing semakin menular masuk di Malaysia yang menjadi kegilaan semua golongan dari dewasa hinggalah bayi. Rancangan ini bukan sahaja disiarkan di media televisyen, malah boleh dilayari di internet dan cakera padat, yang menyebabkan bahan hiburan ini boleh ditonton dengan mudah tanpa mengira batas waktu dan tempat. Apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat rancangan tidak ditapis atau tidak diluluskan oleh kerajaan Malaysia yang tersedia untuk penonton yang mungkin boleh memberi kesan negatif kepada penonton seperti menyumbang kepada masalah jenayah, maksiat dan akidah.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling paling terkesan dengan keadaan ini disebabkan sifat kanak-kanak yang mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat, terutamanya apabila melihat cerita animasi (kartun). Rancangan seperti Superwings, Alvin n The Chipmunks, Pickle & Peanut, Maruku Can, Crayon Sinchan dan Ninja Boy Rantaro adalah antara animasi luar negara yang cukup diminati oleh kanak-kanak. Ramai yang beranggapan animasi ini adalah hiburan semata-mata dan bagus untuk perkembangan kognitif dan sosial. Walaupun ada daripada animasi tersebut membawa mesej dan pengaruh yang positif, namun harus diberi perhatian kepada ibu bapa untuk menilai kesesuaian watak, budaya dan elemen lain dari sudut pembangunan sahsiah dan jati diri kanak-kanak tersebut.

Kajian yang dilakukan di Amerika mendapati semua jenis animasi merupakan faktor utama dalam pembentukan jati diri atau personaliti kanak-kanak di negara tersebut di mana personaliti adalah antara elemen penting sebagai pengiktirafan terhadap kewujudan dan kehebatan sesuatu bangsa dan mencerminkan nilai yang dibawa oleh bangsa tersebut.

Rancangan animasi memberi kesan atas gelagat dan sikap kanak-kanak seperti cara berkomunikasi, bahasa, adab dan tingkahlaku dan cara berpakaian. Namun kesan animasi samaada positif atau negatif perlu dilihat kepada animasi secara individu atau spesifik.

Aspek pertama iatu pertuturan atau komunikasi. Dari sudut positif, animasi yang ditayangkan membantu dalam penguasaan Bahasa Inggeris dari aspek pertuturan, dialek dan pemahaman. Malah turut membantu kemahiran bertutur dalam Bahasa Malaysia khususnya bagi kaum yang mempunyai bahasa pertuturan mereka sendiri (selain Bahasa Melayu). Manakala dari sudut negatif, terdapat kanak-kanak yang menukar dialek dan “slang” bahasa mengikut bercakap dari luar negara, yang secara perlahan-lahan mengikis personaliti bahasa anak Malaysia.

Aspek seterusnya melihat kesan animasi ke atas tingkahlaku dan adab. Animasi mendedahkan golongan kanak-kanak dengan pelbagai sikap dan sifat positif seperti toleransi, tolak ansur, berunding dan mampu mengawal emosi diri ketika berdepan dengan orang sekeliling. Sebagai contoh animasi Robocar Poli dan Superwings menunjukkan nilai murni dalam pergaulan seharian seperti saling membantu, tidak mementingkan diri dan nilai persahabatan sebagaimana yang dititik beratkan dalam masyarakat Malaysia. Namun animasi juga memberikan kesan negatif dalam aspek ini. Mengambil contoh animasi Alvin and The Chipmunks, kanak-kanak kecil memanggil nama ayahnya “Dave” dan animasi Pickle and Peanuts yang menyebut perkataan dan aksi lucah. Dalam contoh lain, watak Maruko dalam animasi Maruko Chan, yang suka memaksa orang tuanya mengikut kehendaknya dan memberontak jika permintaannya tidak dipenuhi. Ini sama sekali bertentangan dengan budaya Malaysia dan prinsip rukun negara yang ke-5, iaitu kesopanan dan kesusilaan. Kesan negatif yang ketara ialah perlakuan aksi ganas kanak-kanak terhadap rakan mereka selepas melihat adegan berlawan di dalam animasi dengan meniru teknik dan kemahiran berlawan yang ditayangkan di dalam program animasi yang dilihat.

Kesan animasi juga dapat dilihat terhadap pengaruh pemakaian (costume). Pakaian merupakan identiti sesuatu karakter dan melambangkan sesuatu bangsa. Watak animasi dari luar negara menampilkan imej dan budaya mereka yang tidak sesuai untuk masyarakat Malaysia yang lebih mementingkan aurat dan kesopanan. Contohnya, animasi Digimon dan Pokemon, karektor wanita adalah berpakaian seksi yang menayangkan organ feminin mereka secara terbuka dalam hampir setiap episod. Senario hari ini juga dapat melihat kanak-kanak perempuan khusunya lebih tertarik memakai gaun seperti watak Elsa dalam animasi Princess berbanding memakai baju kebangsaan seperti baju kurung, cheongsam mahupun sari.

Secara keseluruhannya, terdapat animasi kartun luar negara yang memberi kesan positif dan negatif, namun kesan ini perlu dinilai oleh ibut bapa dengan melihat animasi tersebut secara individu. Dengan ketersediaan rancangan animasi di pelbagai platform selain televisyen, ibu bapa harus bijak dalam memilih dan mengawal rancangan kartun yang bersesuaian agar animasi ini tidak hanya bersifat hiburan semata, tapi turut menyumbang kepada pembentukan personaliti anak-anak.