Prof. Dato' Dr. Adnan Mohamed Yusoff
Prof. Dato' Dr. Adnan Mohamed YusoffTimbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni

Kerajaan Perpaduan pimpinan YAB Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat Malaysia Madani sebagai dasar pentadbiran, kini menginjak ke tahun keduanya. Melalui kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan ia mencorak masa hadapan negara dengan segala potensi yang ada untuk menjadi lebih makmur dan lebih maju. Enam teras tersebut memberi penekanan kepada kualiti hidup seimbang berdasarkan keunikan citra Malaysia, berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan, kesejahteraan ekonomi dan sosial, kelestarian alam, pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta, pengukuhan budi bahasa dari kekayaan tradisi dengan merayakan kemajmukan serta meraikan perbezaan pandangan, penyuburan harapan terhadap perubahan ke arah kebaikan, dan belas ihsan terhadap nasib semua pihak. Tuntasnya, dalam usaha memacu kemajuan negara, penghayatan terhadap adat budaya, penguasaan ilmu dan teknologi, penyuburan kreativiti dan inovasi, pengukuhan akhlak dan nilai serta pemerkasaan sikap inklusif dan proaktif dalam kalangan masyarakat sangat penting untuk diusahakan. 

Dalam konteks pembangunan negara, golongan muda merupakan kelompok yang perlu diberi perhatian kerana merekalah yang akan terkesan secara langsung dengan implementasi sesebuah agenda dan merekalah yang bakal memikul tanggungjawab merealisasikan sebahagian besar operasinya, sebelum mengambil alih tampuk kepemimpinan. Almarhum Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah menegaskan bahawa jika anda ingin menjangka kedudukan sebuah bangsa di masa akan datang, maka lihatlah keadaan anak-anak mudanya. Jika anda dapati anak-anak mudanya hanyut dalam arus keseronokan tanpa berfikir tentang baik buruk, maka ketahuilah bahawa tiada masa depan bagi bangsa itu. Sebaliknya jika anda dapati anak mudanya komited dengan wawasan nusa dan berusaha keras membina potensi diri bagi mencapai matlamat, maka yakinlah bahawa umat itu mempunyai masa depan yang cerah dan negara mereka sedang menuju kejayaan yang cemerlang.

Tidak dapat dinafikan bahawa mahasiswa merupakan golongan yang menjadi perhatian masyarakat sebagai harapan bangsa dan tunggak masa depan negara, memandangkan mereka merupakan kumpulan terpelajar, terlatih dan terkehadapan dalam menanggapi isu-isu semasa berkaitan kepentingan negara dan keperluan bangsa sama ada dalam konteks sosial, ekonomi mahupun politik. Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) telah menetapkan Graduan Holistik Berciri Keusahawanan dan Seimbang sebagai lonjakan pertama daripada 10 lonjakan strategik yang perlu direalisasikan oleh setiap penawar pendidikan tinggi di bawah kerangka kelayakan Malaysia.

Menerusi lonjakan ini, mahasiswa hendaklah menguasai dan mengaplikasi bukan sahaja bidang pengajian pilihan di universiti, malah set pengetahuan dan kemahiran umum yang menjadi teras pembinaan jati diri serta kapasiti diri untuk menghadapi cabaran masa depan. Mereka juga hendaklah mencerna kepelbagaian pendapat, berfikir secara kreatif dan inovatif dalam usaha mencari solusi terbaik kepada isu-isu yang dihadapi sama ada dalam konteks personal, masyarakat, negara mahupun umat sejagat. Mereka juga hendaklah mampu menghayati dan menghargai kesenian dan kebudayaan terutama dalam konteks kepelbagaian budaya warisan yang membentuk negara bangsa. Selain itu, mereka juga hendaklah menguasai teknologi komunikasi dan informasi serta kemahiran digital agar mampu bersaing di era serba pantas dan tuntas. Bagi mendepani cabaran alam kerjaya, kemahiran keusahawanan diasah agar mereka bukan hanya menjadi pencari malah penyedia pekerjaan.

Keseluruhan hasil pembelajaran yang digarap akhirnya adalah untuk melahirkan insan yang profesional dalam bidang, berintegriti dan berakhlak sama ada ketika menghadapi kesulitan mahupun kemewahan agar mereka benar-benar menjadi qudwah hasanah kepada semua pemegang taruh. Ringkasnya, setiap aspek pembangunan insaniah seperti yang diaspirasikan oleh falsafah pendidikan negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dituntun sepenuhnya sepanjang tempoh pengajian melalui kurikulum akademik, aktiviti ko-kurikulum, latihan industri dan berbagai inisiatif serta insentif yang disediakan oleh universiti, kementerian, agensi kerajaan, swasta, komuniti dan lain-lain. Justeru, sebaik bergraduasi mereka sudah mustaid untuk berkhidmat dalam semua sektor mengikut pengkhususan dan kecenderungan masing-masing.

Jika dibandingkan aspirasi kerajaan melalui gagasan Malaysia Madani dan aspirasi yang tersurat pada lonjakan pertama pelan ini, generasi muda dalam sistem pendidikan tinggi negara sangat bersedia untuk menyahut seruan gagasan Malaysia Madani sebagai agen penyampai dan pelaksana sehingga ke akar umbi masyarakat. Biar kepemimpinan peringkat kementerian silih berganti, namun KPT tetap istiqamah dengan agenda memperkasakan mahasiswa demi negara dan masyarakat. Dengan  kebijaksanaan serta kesungguhan para perencana, pentadbir dan pelaksana di peringkat kementerian dan universiti, peranan mereka terus diperkukuhkan sehingga mampu menyumbang sejak dari alam kemahasiswaan lagi dalam mendorong masyarakat dan komuniti supaya menghayati, mengambil peluang serta melibatkan diri secara langsung dalam dasar, polisi serta inisiatif kerajaan.

Sebagai contoh, program khidmat masyarakat yang sebelum ini dilaksanakan oleh universiti dengan penglibatan pelajar berminat, kini telah berevolusi sehingga menjadi program yang lebih berstruktur mencakupi semua pelajar menerusi kebitaraan universiti, fakulti atau program pengajian. Di bawah era Kerajaan Perpaduan, program seperti ini dikenali sebagai Semarak Siswa Madani dengan mengambil inspirasi bahawa mahasiswa adalah penggerak masyarakat supaya bersama merealisasikan gagasan kerajaan agar tiada kelompok yang tertinggal dari arus kemakmuran. Dalam konteks Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) misalnya, program ini dijenamakan sebagai Jaulah Kesukarelawanan Semarak Siswa Madani (JKSSM) dan dibahagikan kepada empat kategori mengikut lokaliti komuniti yang disantuni iaitu kejiranan kampus, daerah-daerah di Negeri Sembilan, komuniti Orang Asli dan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

JKSSM mempunyai modulnya yang tersendiri dan komuniti yang terlibat akan disantuni secara berterusan bagi menjamin matlamat serta objektifnya terus lestari meraih kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran seperti yang dihasratkan oleh kerajaan. Keberhasilan program ini terbukti apabila ia mendapat sokongan penuh pihak Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus. Manifestasinya, pelancaran program ini bagi sesi 2023/2024 telah disempurnakan sendiri oleh YAB Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun, dengan perisytiharan peruntukan khas dari Kerajaan Negeri agar program JKSSM terus menjadi landasan mampan untuk mahasiswa USIM memangkin pelestarian Masyarakat Madani.