Baru baru ini ada dibincangkan di akhbar tempatan keperluan untuk masyarakat bijak menilai wartawan warga atau citizen journalist. Kewartawanan warga didefinisikan sebagai kegiatan yang dilakukan oleh masyarakat yang sukarela melaporkan, menganalisis, dan menyebarkan berita atau informasi melalui platfor digital tanpa latihan formal dalam bidang kewartawanan. Kebangkitan kewartawanan warga di platform media sosial baik di Barat atau Timur membawa gelombang berita yang mudah diakses. Itu kelebihannya yang tidak dapat disangkal.
Di samping itu, kewartawanan warga juga adalah satu keperluan penting dalam masyarakat yang demokratik. Ia melibatkan peranan aktif daripada rakyat dalam mendapatkan, menganalisis, dan menyebarkan maklumat.
Umumnya, amalan kewartawanan warga ialah memupuk kebebasan maklumat. Memandangkan maklumat dihasilkan oleh pengguna dan tidak terhad jurnalis profesional, dengan adanya warga yang aktif mencari dan menyebarkan berita, masyarakat menjadi lebih terbuka dan berdaya maju. Selain itu, kewartawanan warga juga menggalakkan pertukaran idea, meningkatkan kebertanggungjawaban dengan menjadikan masyarakat lebih peka terhadap isu-isu semasa dan merapatkan jurang antara masyarakat dengan media tradisional.
Namun dalam masa yang sama, tidak dinafikan wujud pelbagai cabaran dalam menangani fenomena ini. Penyebaran maklumat palsu adalah antara cabaran utama kerana penyebaran maklumat yang tidak disahkan menjadi lebih mudah berbanding pada masa lalu. Hal ini boleh merobek kredibiliti media di mata masyarakat. Tambahan lagi, mudahnya menulis dan terbit apa sahaja menerusi platform media sosial boleh menjadi penggubalan maklumat palsu yang berbahaya. Hal ini memberi isyarat kepada kita terhadap pentingnya literasi media dalam kalangan pengguna media di era ini, iaitu sesuatu yang perlu ditekankan dengan serius berbanding era-era teknologi maklumat yang sebelumnya.
Literasi media memainkan peranan penting dalam mengekang penyebaran berita palsu atau disinformasi. Kemahiran penilaian kritis yang merupakan asas kepada literasi media melatih individu untuk mengenal pasti ciri-ciri berita palsu seperti sumber yang tidak dipercayai, tajuk berita yang sensasi, atau fakta yang tidak sahih. Dengan kemahiran ini, individu lebih cenderung untuk memahami dan menilai maklumat dengan lebih kritis sebelum menyebarkan atau mempercayainya. Dengan kemahiran ini juga, individu yang memiliki literasi media yang baik akan lebih berhati-hati dalam mempercayai atau menyebarkan maklumat dari sumber yang tidak disahkan. Mereka akan cenderung untuk mencari sumber yang boleh dipercayai dan mengesahkan kebenaran maklumat sebelum menyebarkannya kepada orang lain.
Selain itu, literasi media melibatkan pemahaman tentang pelbagai teknik penipuan media yang digunakan untuk menyebarkan berita palsu. Ini termasuk penggunaan gambar palsu, penipuan audio/video, atau taktik-taktik manipulasi lain yang digunakan untuk mengelirukan orang ramai. Dengan kesedaran ini, individu lebih berhati-hati terhadap kemungkinan penipuan media.
Antara negara yang mempunyai kadar literasi media yang tinggi ialah Norway, Finland, Denmark dan Switzerland. Norway misalnya diiktiraf sebagai negara yang mempunyai tahap literasi media yang tinggi. Pendekatan holistik mereka terhadap pendidikan, yang menekankan pemahaman kritis dan analitikal terhadap media, telah membantu membangunkan masyarakat yang peka terhadap isu-isu media.
Finland juga dianggap sebagai negara yang mempunyai pendekatan yang terstruktur terhadap literasi media dalam sistem pendidikannya. Mereka menitikberatkan pada kemahiran kritis dan kreatif dalam memahami media, yang membantu menghasilkan masyarakat yang bijak dalam menghadapi pelbagai bentuk maklumat.
Denmark pula dikenali dengan pendekatan pendidikan yang progresif, termasuk dalam bidang literasi media. Mereka mengintegrasikan kemahiran literasi media ke dalam kurikulum pendidikan mereka, serta mempromosikan kesedaran awam terhadap isu-isu media yang penting.
Manakala, Switzerland dilihat sebagai negara yang mempunyai literasi media yang baik. Mereka mempunyai program-program pendidikan dan kesedaran awam yang bertujuan untuk memperkukuhkan pemahaman masyarakat terhadap media dan menggalakkan pemikiran kritis.
Kita berharap agar Malaysia meneruskan usaha melibatkan literasi media dan akan menyokong masyarakatnya menjadi kelompok yang mempunyai literasi media yang tinggi suatu hari nanti sekaligus bersama-sama mengekang kebobrokan berita palsu dalam landskap kewartawanan tempatan dan global.