Prof. Madya Dr. Mohd Azman bin Hashim @ Ismail
Prof. Madya Dr. Mohd Azman bin Hashim @ Ismail Dekan, Institut Sains Islam

Sedar tak sedar bulan Ramadhan yang khususkan untuk umat islam berpuasa hanya berbaki beberapa hari lagi. Hampir setahun yang lalu kita menguruskan pelbagai aktiviti kehidupan dengan pelbagai tujuan untuk diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Menurut Kamus Bahasa Melayu, masa ialah waktu atau ketika, jangka waktu yang agak lama (ketika sesuatu kejadian dan lain lain yang penting berlaku) selain itu ianya bermaksud jangka waktu yang tertentu (ada permulaan serta batasnya). Manakala waktu pula adalah rangkaian atau rentetan saat (yang telah berlalu dan yang akan datang. Selain itu waktu adalah ukuran masa yang tertentu, jangka masa. Namun, secara realitinya kecepatan masa berlalu adalah berbeza-beza bagi setiap orang bergantung kepada aktiviti kehidupan. Namun, rata-rata orang akan mengatakan yang masa berlalu begitu cepat dari hari ke hari, minggu ke minggu dan bulan ke bulan. Malah tempoh setahun dirasakan baru sahaja kita menjalani ibadah puasa tahun lalu.

Pada asasnya, pengiraan dan keseragaman masa amatlah penting supaya kadar dan penerimaan tempoh piawai ini sah dan dapat diaplikasikan seluruh dunia. Pelbagai sistem amat memerlukan ketepatan masa bagi membolehkan sesuatu aktiviti dapat dilakukan dengan terancang, tersusun dan sah. Misalnya, pertemuan sesuatu acara perlukan pernyataan masa untuk dimulakan sedangkan pelbagai pihak yang berbeza zon waktu akan turut serta dalam acara yang sama. Maka, pembahagian zon-zon waktu di dalam dunia telah ditentukan mengikut zon waktu. Zon waktu biasanya terletak di sekitar garis meridian sesuatu longitud. Jadi zon waktu bersebelahan berbeza adalah bersamaan satu jam bagi setiap 15°. Walau bagaimanapun, perbezaan satu jam tersebut bukanlah tepat dalam garisan kerana ia biasanya mengikut bentuk negara-negara yang dilaluinya. Setelah itu, terfikirkan bagaimana masa ini diciptakan penakrifannya?

Bagi mendapatkan masa dengan keseragaman ulangan sesuatu peristiwa, pergerakan bumi, bulan dan matahari digunakan bagi penentuan masa terutamanya tempoh bagi setahun yang kita gunakan iaitu takwim Qamariah dan Syamsiah. Matahari dan Bulan adalah dua objek yang boleh dijadikan sebagai rujukan dalam penyusunan takwim dengan merujuk kepada peredaran samada Matahari dan Bulan. Orbit Matahari dan Bulan adalah berbeza. Takwim yang berdasarkan orbit pusingan Bumi mengelilingi Matahari inilah yang disebut sebagai Takwim Syamsiah. Takwim Syamsiah pula merujuk kepada pusingan lengkap Bumi mengelilingi Matahari yang bersamaan dengan nilai setahun yang juga dikenali sebagai takwim Masihi. Dalam pusingan setahun ia mempunyai 365.242191 hari (365 hari 5 jam 48 minit 46.8 saat). Manakala pusingan Bulan mengelilingi Bumi dinamakan Takwim Qamariyah yang dikenali sebagai takwim Hijri. Ia pula merujuk kepada tempoh pusingan lengkap Bulan mengelilingi Bumi merujuk kedudukan Matahari. Tempoh pusingan Bulan ini dikenali sebagai bulan iaitu 29.530589 hari (29 hari 12 jam 44 minit 02.89 saat). Untuk tempoh setahun jumlah harinya ialah 354.367068 hari (354 hari 8 jam 40 minit 34.67 saat).

Berdasarkan kepada ketetapan masa bagi setahun samada Hijri dan Masihi, ketiga-tiga objek ini bergerak dengan kelajuan yang tinggi dalam orbit, sedangkan pemerhati yang berada di lokasi bumi akan melihat gerakan bulan dan matahari adalah perlahan dan ianya memberi kesempatan kepada kita untuk menyaksikan beberapa fenomena alam berkaitannya. Bumi yang beredar mengelilingi matahari pada kelajuan 107, 200 km/j dan pada masa yang sama berputar dengan kelajuan 1,670 km/jam. Maka, ketiga tiga objek ini adalah “mesin masa” yang sedang kita gunakan sebagai pengukuran masa. Sesuai dengan Firman Allah swt dalam surah Yunus, ayat 5 “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya.”. Ciptaan Allah swt seperti bulan dan matahari sentiasa patuh kepada aturan dan apa yang telah ditetapkan olehNya. Objek sebesar itu walaupun bergerak pada kelajuan tinggi ianya tidak berlanggar sesama sendiri, malah sentiasa bertasbih kepada Allah swt. Surah al-Isra’, ayat 44, dalam FirmanNya “Langit yang tujuh dan Bumi serta sekalian makhluk yang ada di dalamnya, sentiasa mengucapkan tasbih kepada Allah. Tiada satu pun melainkan bertasbih dengan memuji–Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar lagi Maha Pengampun.”.

Hikmahnya, bulan Ramadhan ini akan berubah-ubah pertembungan bulan mengikut takwim Syamsiah. Pada tahun ini, bulan Ramadhan berada dalam bulan Mac (tahun 2014 bulan Ramadhan bermula pada 29 Jun) dalam tempoh 10 tahun. Ini memberi manfaat kepada hambanya yang berpuasa dalam keseluruhan setahun Syamsiah yang berbeza beza musim dan tempoh jam berpuasa. Misalnya dalam musim sejuk, tempoh siang adalah pendek berbanding musim panas. Malah jika di kutub utara pula ada ketikanya siang 24 jam (malam 24 jam). Dalam kesempatan kita masih hidup di dunia ini, manfaatkanlah masa yang telah dikurniakan kepada kita berbentuk usia supaya sentiasa melakukan suruhan dan meninggalkan apa yang dilarangNya seperti mana dalam Firmannya, Surah al Asr “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. Wallahualam