Dr. Siti Suriani Othman
Dr. Siti Suriani OthmanPensyarah Kanan Fakulti Kepiminan dan Pengurusan

Ramai sekali yang memperkatakan dan menggunakan perkataan “glokal” suatu masa lalu di Malaysia. Namun hari ini tidak lagi. Bukan lagi terma yang popular apabila “glokal” jarang dijadikan tunjang slogan, visi, iklan atau sebarang bentuk promosi. Namun, bukan popularitinya yang kita debatkan, kerana yang baik belum tentu popular dan mungkin pudar di sebalik pelbagai agenda lain yang lebih perlu dipopularkan untuk apa-apa sebab sekalipun. Paling penting, kita haruslah fahami kepentingan dan keperluan terma ini dalam konteks keperluan semasa, dan menilainya dengan teliti agar tidak ketinggalan dalam menjana kebaikan dalam hikmahnya.

Secara mudah, glokal dicirikan dengan kedua-dua kekuatan setempat dan global. Asasnya diperkenalkan dalam konteks perniagaan, untuk menggalakkan syarikat-syarikat mensasarkan pasaran yang lebih meluas. Produk dan perkhidmatan dibangunkan untuk dipasarkan secara global tetapi dalam masa yang sama menepati keperluan pasaran setempat. Konsep ini membenarkan pelbagai negara untuk bersaing secara sihat. Terma glokal yang diperkenalkan pada lewat 1980-an ini diterbitkan dalam Harvard Business Review, dikembangkan perbincangannya dalam persidangan pada 1997 oleh pakar sosiologi Roland Robertson yang mendefinisikan glokal sebagai kewujudan serentak ciri universal dan kecenderungan yang spesifik.

Ia kemudian mula mendapat perhatian bukan hanya dalam bidang perniagaan malah dalam bidang-bidang lain termasuk akademik. Dalam konteks pendidikan, bidang pengajian tinggi hari ini mula menunjukkan sifat glokalisasi yang sangat jelas. Antaranya, kemasukan pelajar dan pensyarah antarabangsa ke dalam negara, pelajar Malaysia belajar di universiti luar negara dengan cawangan di Malaysia, kajian yang melihatkan pengkaji dalam dan luar negara untuk menyelesaikan masalah setempat atau membangunkan inovasi baharu, bukan lagi praktis yang luar biasa hari ini.

Ini menampakkan dalam bidang pengajian tinggi tempatan, unsur glokalisasi bukan lagi sesuatu yang boleh dinafikan kepentingannya dan keperluannya. Maka tidak hairan, Misi 100 Hari Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Dr Mohd Ridza Wahiddin, cuba mengangkat kembali keperluan USIM untuk menjadi sebuah universiti glokal suatu hari nanti.

Di Amerika konsep glokal bukanlah baharu. Misalnya, ada universiti yang membuka cawangan luar negara, misalnya Northwestern University dengan cawangan di Qatar yang menekankan aspek setempat dari segi pengoperasian tetapi graduan menerima pengijazahan dari Northwestern University. Contoh lain dan yang terawal ialah kampus cawangan New York University (NYU) yang diusahakan oleh John Sexton iaitu presiden ke-15 NYU yang digelar 10 presiden universiti terbaik kerana kejayaannya membangunkan cawangan NYU di Abu Dhabi yang beroperasi pada 2010 sebagai “universiti rangkaian global” pertama bagi sebuah universiti penyelidikan seperti NYU.

Hari ini, NYU mempunyai 11 pusat kajian dan pusat akademik termasuk di lebih 25 negara termasuk di kota Abu Dhabi dan Shanghai. Beliau juga membincangkan universiti rangkaian global di media untuk berkongsi pengalamannya membangunkan cawangan NYU di Abu Dhabi dan turut membincangkan isu-isu pengajian tinggi secara serius.

Pengalaman saya sendiri yang pernah berpeluang mengajar di Universiti Xiamen di China dan kemudian di Xiamen University Malaysia (XMU) memberi ruang untuk memahami konsep glokal dengan lebih mendalam dan berbasis pengalaman. Bangunan kampus XMU yang direka berdasarkan seni arkitek khusus Xiamen serta bahan-bahan binaan asli yang dibawa dari Xiamen, memberi perasaan lokal dari pelajar China yang belajar di kampus Malaysia. Dalam masa yang sama, input akademik dikongsikan oleh pensyarah dari Malaysia dan China, memberi kesepaduan ilmu yang glokal kepada pelajar-pelajar tempatan dan luar negara.

Dalam kursus yang pernah saya ajar misalnya, pelajar-pelajar Malaysia digalakkan dan dibantu penulisan mereka untuk terbit di akhbar berbahasa Inggeris di Xiamen, berkongsi apa yang mereka pelajari di kampus Malaysia. Ini secara tidak langsung memberi pengalaman global luar biasa yang tidak mudah diperolehi, namun dapat dihubungjalinkan melalui konsep glokal yang menyediakan ruang kepada warga universiti yang mampu melihatnya sebagai peluang yang terbentang.

Untuk menjelmakan kekuatan universiti tempatan dalam konteks glokal, cabaran-cabarannya pasti ada. Antaranya adalah perbezaan budaya, perbezaan peringkat kepakaran, perbezaan bahasa dan cara bekerja dan perbezaan bahasa. Namun, cabaran inilah yang mendewasakan universiti dan warganya. Dalam masa yang dalam masa, kita juga sedar bahawa pastinya tidak mudah mencapai tahap universiti glokal andainya tiada usaha sistematik yang perlu dimulakan dari hari ini.

Jika berjaya nanti, pastinya ini adalah antara ukuran kecemerlangan, kerana warga universiti dan graduannya tidak hanyut dalam globalisasi, dan tidak pula di bawah tempurung yang hanya mampu menimba ilmu setempat tetapi gagal melihat peluang global yang infiniti terutama dalam kepesatan dunia digital hari ini. Melalui glokalisasi, kita perlu berusaha mencapai praktis terbaik untuk universiti, yang pasti akan membantu membangunkan kualiti pengajian tinggi untuk jangka masa panjang, tanpa ragu. Ini bermakna, menjadi universiti glokal bukan hanya keperluan kepada USIM tetapi perlu menjadi keinginan semua universiti tempatan agar kita kekal relevan, bertunjang kebijaksanaan lokal dan meraikan ilmu serta kepakaran antarabangsa dalam perjalanan panjang membangunkan ummah dan negara.

Penulisan oleh USIM Writers Pool (UWP) ini bagi menyemarakkan Misi 100 Hari Naib Canselor, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.