Pada 10 Jun 2024, akhbar Berita Harian melaporkan kejadian daging babi sejuk beku yang dibuang ke dalam Sungai Nenggiri, berpunca daripada sebuah lori yang membawa muatan hampir 50 ekor babi sejuk beku yang terlibat kemalangan di Kampung Kuala Tool, Gua Musang. Akibatnya, terdapat nelayan yang hampir sebulan tidak lagi menangkap ikan di sungai tersebut, kerana bimbang status ikan yang ditangkap tidak halal, disamping disebarkan berita bahawa ikan-ikan dalam sungai telah memakan ‘daging babi’. Sekaligus, menjejaskan pendapatan mereka.
Tidak dinafikan, isu berkaitan najis mughallazah merupakan isu sensitif kepada masyarakat Islam di Malaysia. Bagaimanapun, dalam aspek hukum syarak, terdapat beberapa kekeliruan yang perlu dijelaskan supaya tidak menimbulkan salah faham, khususnya berkaitan kehalalan ikan yang terdapat dalam sungai Nenggiri.
………..
ISU 1: ADAKAH BANGKAI BABI MENAJISKAN AIR SUNGAI?
Dalam perbahasan fiqah, air yang melebihi kuantiti dua qullah (sekitar 161 liter) tidak akan terkesan dengan najis yang terapung atau berada di sekitarnya, dan dihukumkan sebagai bersih (tahur) secara ijmak ulamak. Ini berdasarkan kepada dalil hadis daripada Abdullah bin Umar R.A berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW ketika ditanya tentang air di padang pasir yang sering didatangi oleh binatang buas dan binatang-binatang lain”, sabda Baginda:
إِذا كانَ الماءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الخَبَثَ
Maksudnya: “Jika air mencapai dua qullah, ia tidak menanggung najis lagi.”
(Riwayat Abu Daud, no. 63)
Antara contoh klasik yang dinyatakan al-Nawawi (t.th) ialah kondisi air sungai atau kolam yang berubah bau dengan sebab bangkai yang berada berhampiran dengannya. Beliau menyatakan:
لو تغير الماء بجيفة بقربه، يعني: جيفة ملقاة خارج الماء قريبة منه، ففي هذه الصورة لا تضر الجيفة قطعًا، بل الماء طهور بلا خلاف
“Jika air berubah (baunya) disebabkan bangkai yang berada berhampiran dengannya, (contohnya) bangkai yang berada berhampiran kawasan air, maka dalam keadaan ini, bangkai tersebut tidak memberi kesan (terhadap keucian air), bahkan air itu dihukumkan bersih tanpa khilaf” (Lihat al-Majmu’ oleh Al-Nawawi, t.th)
Jika dilihat dalam konteks air sungai, kuantitinya biasanya melebihi 2 qullah dan sentiasa mengalir. Justeru, meskipun dicemari 50 ekor bangkai babi, selagimana warna, rasa dan bau air sungai itu tidak berubah, maka hukumnya adalah bersih dan tidak najis.
…………
ISU 2: ADAKAH IKAN YANG MEMAKAI BANGKAI BABI JUGA DIANGGAP SEBAGAI NAJIS?
Terdapat kegusaran dalam kalangan nelayan bahawa tidak mustahil ada ikan yang sudah makan bangkai daging terbabit, menyebabkan ikan itu turut menjadi najis. Sebenarnya, pandangan ini adalah kurang tepat. Berdasarkan definisi yang dikemukakan oleh para ulama, haiwan jallalah bermaksud haiwan yang memakan najis dan kotoran, atau tidak makan makanan lain melainkan dari sumber najis, sehingga mengakibatkan dagingnya berbau busuk.
Menurut mazhab Shafii, sekiranya kebanyakan sumber makanannya daripada najis, dan disebabkan itu, bau daging berubah menjadi bau najis, serta dapat dihidu menerusi peluhnya atau bahagian lain, maka ia dikira sebagai jallalah (Lihat Kitab al-Umm, Al-Shafi’i, 1990, 2:265).
Maka, dapat disimpulkan bahawa terdapat dua kriteria penting dalam menentukan sama ada sesuatu haiwan itu dikira sebagai jallālah ataupun tidak, iaitu pertama: berlaku perubahan bau pada dagingnya iaitu bau najis, dan kedua: kesemua atau kebanyakan sumber makanannya adalah daripada najis.
Dalam konteks ikan di Sungai Nenggiri, sekalipun ada ikan yang memakan bangkai babi, tetapi babi itu bukanlah menjadi makanan utamanya. Selain itu, terdapat pelbagai spesis ikan dalam sungai dan tidaklah dapat dipastikan dengan jelas ikan manakah yang telah memakan bangkai babi berkenaan. Justeru, hukumnya tidaklah dianggap sebagai haiwan jallalah dan oleh itu, masih berstatus halal.
Bahkan, dalam mazhab Shafie sendiri, haiwan yang memakan najis ini masih boleh bertukar daripada makruh kepada halal, setelah dikuarantinkan dan diberi makanan yang bersih selama tempoh tiga hari.
………
ISU 3: ADAKAH WAJAR NELAYAN MENANGKAP IKAN SEHINGGA KE KAWASAN PEDALAMAN UNTUK ELAKKAN TERTANGKAP IKAN TERCEMAR DENGAN NAJIS BABI?
Berdasarkan kepada huraian di atas, jawapannya adalah tidak perlu. Justeru, tindakan para nelayan yang terpaksa masuk lebih jauh ke pos Orang Asli untuk menangkap ikan sehingga mengambil masa sehingga empat jam perjalanan, hanya timbul akibat salah faham mengenai hukum fiqah sahaja. Selain itu, masyarakat juga perlu menghindarkan perbuatan suka ‘viral’ kan isu yang tidak pasti. Islam itu sifatnya begitu mudah dan tidak menyusahkan, jika aspek hukum hakam difahami sebaiknya.
…….
ISU 4: ADAKAH JALA YANG DIGUNAKAN UNTUK TANGKAP IKAN MAKAN BANGKAI BABI PERLU DISAMAK/SERTU?
Melihat kepada gambar di akhbar, air sungai Nenggiri nampaknya keruh. Bermaksud, ia sudahpun menepati kriteria fiqh Shafie yang mensyaratkan air tanah untuk samak/sertu. Oleh itu, cukup sekadar membersihkan kesan bangkai babi yg tersangkut pada jala, dan selanjutnya hanya perlu menjelupkan jala ke dalam sungai sebanyak 7 kali sahaja, sebagai kaedah penyuciannya.
Sumber gambar: BH Online