Apabila menyebut Writing Centre, beberapa perkara mesti bermain di benak kita. Antaranya ialah latihan menulis, perkhidmatan suntingan teks dan perkhidmatan bacaan pruf. Namun, konsep Writing Centre (WRC) di Universiti Hiroshima agak unik kerana memfokus kepada penulisan akademik dalam kalangan pelajar dan staf dengan memberi khidmat nasihat penulisan secara percuma. Dalam pada itu, khidmat bacaan pruf dan suntingan tidak disediakan.
Pengalaman itu dikongsi oleh tutor di WRC universiti tersebut, Aliyyah Nuha Faiqah Azman Firdaus yang merupakan tutor di WRC dan calon doktor falsafah di universiti berkenaan yang juga merupakan seorang warga Malaysia yang mendapat biasiswa pengajian daripada tajaan Kerajaan Jepun 2020 (Monbukagakusho: MEXT). Sesi perkongsian ini yang dianjurkan perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) adalah satu inisiatif untuk memahami model WRC yang dipraktis universiti berkenaan untuk dicontohi dan ditubuhkan di USIM.
Dari segi latar belakang, WRC di Universiti Hiroshima ditubuhkan pada 2013 bawah keurusetiaan perpustakaan universiti tersebut. Pusat ini merupakan sebuah platfom yang dapat memberi khidmat sokongan dan bantuan kepada pelajar pascasiswazah dan kakitangan universiti dalam bahasa Inggeris dan bahasa Jepun. Pelanggan boleh memilih tiga mode perkhidmatan iaitu mendapatkan khidmat nasihat tutor secara bersemuka, secara dalam talian atau secara drop off (menghantar tugasan yang ingin dibincangkan secara dalam talian dan sesi perbincangan dijalankan secara dalam talian selepas tutor membaca tugasan tersebut). Sesi perbincangan secara bersemuka dijalankan di perpustakaan universiti yang memperuntukkan ruangan khas untuk sesi konsultantasi WRC.
Bagi semua pelanggan WRC, pertemuan pertama dimulakan dengan memastikan pelanggan faham falsafah yang dibawa oleh Pusat ini. Falsafahnya yang utama ialah untuk faham bahawa WRC menyediakan perkhidmatan konsultansi penulisan dan bukan suntingan atau bacaan pruf sebagaimana pusat-pusat penulisan yang biasa. Maksudnya, tutor membantu memberi khidmat nasihat kepada pelanggan tentang amalan terbaik penulisan akademik dari segi linguistik iaitu kejelasan ayat dan logik ayat dan bukannya menyunting dan membaca pruf sesuatu tugasan. Pelanggan juga dibantu dari segi mempersembahkan idea dengan lebih jelas, memikirkan sasaran pembaca dan mengenalpasti elemen-elemen asas dalam penulisan akademik.
Dari perspektif tutor WRC, terdapat etika yang perlu dipatuhi oleh para tutor sepanjang menjalankan sesi tutorial selain perlu menghadiri sesi bersemuka atau dalam talian dengan tepat. Tutor juga harus menjaga privasi setiap pelanggan dengan memastikan menggunakan sistem rasmi WRC ketika memuat turun dokumen pelanggan. Sekiranya pelanggan tidak ingin data dan maklumatnya dikongsi dengan mana-mana pihak, tutor wajib untuk terus memadam semua dokumen dari komputer tersebut sebaik sahaja sesi tamat.
Dari segi praktis, tugasan lain bagi seseorang tutor selain mengendalikan sesi tutorial penulisan ialah menghadiri perjumpaan mingguan yang dijalankan selama satu jam lima belas minit iaitu bermula jam 8:45 pagi hingga 10 pagi. Perjumpaan ini hanya dikendalikan oleh tutor dan dalam pemantauan penyelia. Tujuan perjumpaan mingguan ini diadakan adalah untuk memberi ruang kepada semua para tutor dala melaksanakan sesi refleksi dan imbas kembali sesi-sesi tutorial yang telah mereka jalankan sepanjang seminggu yang lepas. Di sinilah, pemantauan kualiti dilaksanakan antara tutor-tutor bertugas serta sensei (profesor yang lebih senior).
Dari segi penerimaan pelanggan, perkhdimatan ini nampaknya popular terutama bagi perkhidmatan penulisan dalam bahasa Jepun. Slot-slot tutorial ditempah penuh dan tutor bahasa Jepun juga sibuk membantu pelanggan mereka mencapai tahap penulisan akademik yang tinggi. Dengan kejayaan ini, USIM juga mempunyai niat baik untuk menubuhkan pusat penulisan dengan model WRC Universiti Hiroshima agar turut sama dapat membantu dan menyokong pelajar serta staf meningkatkan mutu penulisan akademik.