Antara negara-negara yang mempunyai kadar obesiti yang tinggi adalah Amerika Syarikat, Mexico, New Zealand, Australia, dan beberapa negara di Eropah seperti United Kingdom. Namun, kita juga risau kerana Malaysia juga merekodkan kadar obesiti yang tinggi dan merupakan negara dengan jumlah penduduk obes kedua tertinggi di Asia Tenggara. Selain itu, Kajian Kesihatan dan Mordibiti Kebangsaan melaporkan, prevalensi berat badan berlebihan dan obesiti dan obesiti melibatkan 30 peratus pada kanak kanak dalam Malaysia diramalkan meningkatkan setiap tahun.
Dari segi definisi, obesiti ialah di mana berat badan seseseorang terlalu berat akibat pengumpulan lemak yang berlebihan pada tubuh seseorang dan menyebabkan seseorang itu mengalami berat badan yang berlebihan. Obesiti menyumbang kepada banyak penyakit kronik yang boleh membawa kematian. Salah satu penyakit yang disebabkan oleh obesiti ialah diabetes dan tekanan darah tinggi. Beberapa faktor yang menyumbang kepada obesiti ini adalah antaranya tabiat pemakanan dan juga gaya hidup tidak sihat.
Banyak faktor yang menyumbang kepada obesity. Tidak keterlaluan jika dikatakan, antara faktornya ialah makanan viral yang tular di aplikasi Tiktok. Baru-baru ini makanan seperti Tanghulu, Cromboloni dan Kek Tapak Kuda menjadi sensasi di Malaysia. Secara asasnya, Tanghulu dibuat dengan menyalut buah-buahan seperti strawberi, anggur atau limau dengan air yang tinggi kandungan gulanya. Kemudian, manisan ini perlu dicelup di dalam air sejuk bagi menghasilkan gula yang rangup. Ianya menjadi rebutan dalam kalangan pengemar di Malaysia sejak ia tular di media sosial.
Namun, kandungan gula yang tinggi ini mula menimbulkan kebimbangan sesetengah rakyat Malaysia yang risau dengan masalah kesihatan. Selain itu, Cromboloni merupakan gabungan antara Croissant dan Bomboloni. Kebiasaannya, Cromboloni ini berperisa matcha, strawberi, dan coklat. Makanan ‘viral’ di Malaysia ini sering menjadi tumpuan kerana keunikan dan inovatif terhadap makanan itu sendiri yang tengah menjadi kegilaan rakyat Malaysia sehingga mereka sanggup beratur sehingga enam jam demi pastri itu.
Dalam masa yang sama, pengambilan makanan makanan yang khasiat semakin berkurangan dalam kalangan Malaysia terutamanya kanak kanak. Mengikut data dari Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih daripada 20% kanak-kanak berusia 5 hingga 17 tahun mengalami masalah obesiti.
Selain pemilihan makanan yang tidak sihat, amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti tidur lewat malam, tidak bersenam dan merokok terus menyumbang kepada obesiti. Dari segi etnik, bangsa Melayu didapati lebih ramai yang mengalami masalah kegemukan berbanding bangsa lain, dengan mereka yang tinggal di bandar lebih ramai gemuk berbanding di luar bandar.
Namun, apa sekalipun demografinya, obesiti boleh diatasi dengan azam yang kuat. Salah satu contoh yang terkenal adalah kisah Jared Fogle, di Amerika Syarikat kerana berjaya menurunkan berat badannya secara dramatik.
Jared memulakan perjalanan penurunan berat badannya selepas memutuskan untuk mengubah gaya hidupnya. Pada awalnya, dia mengalami masalah obesiti yang serius dengan berat badan lebih daripada 180 kg. Menu makanannya berubah daripada hidangan instant yang tinggi kalori kepada diet yang lebih seimbang dengan pengurangan kalori yang ketara. Dia juga mula aktif dalam senaman harian seperti berjalan kaki dan berjoging. Proses ini tidak hanya membantunya menurunkan berat badan, tetapi juga meningkatkan kesihatannya secara keseluruhan.
Bercakap tentang mengurangkan obesiti, kita perlu melihat obesiti sebagai satu cabaran yang dalam bidang kesihatan negara dan bukan terhad kepada isu perseorangan. Pihak kerajaan bersama sama dengan agensi, NGO dan pakar pakar kesihatan serta setiap daripada kita perlu memainkan peranan untuk membantu mengembalikan berat badan yang berlebihan. Usaha ini memerlukan gembelingan tenaga daripada banyak pihak, dan antara yang utama ialah kesedaran di peringkat individu untuk mengubah diri dan mencapai BMI yang sesuai untuk dirinya.
Dr Mark Hyman, seorang doktor perubatan terkenal di Amerika pernah menyatakan, “Obesiti adalah satu masalah global dan ia semakin teruk. Namun, penyelesaiannya bukanlah satu misteri—ia bergantung kepada apa yang kita makan, bagaimana kita bergerak, dan berapa banyak yang kita makan.” Maksudnya tiada yang misteri tentang penyelesaian obesiti, ia banyak bergantung kepada kekuatan kita sendiri untuk mengubahnya.