Dr. Siti Suriani Othman
Dr. Siti Suriani Othman Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM
Muhammad Hariz Najmi Nor AsriPelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM

Soal kelangsungan hidup pelajar universiti mungkin bukan isu terutama bagi golongan bukan pelajar. Ini kerana, ada pelajar yang mendapat biasiswa, dan ada yang mendapat pinjaman pendidikan dan ada pula yang ditanggung keluarga yang mampu. Semua pelajar dilihat “mempunyai sumber kewangan sendiri” dan isunya hanya cukup atau tidak. Dalam hal ini, walau apa sekali bentuk bantuan kewangan yang diperoleh, pastinya setiap bentuk bantuan itu digunakan untuk tujuan pendidikan dan gaya hidup dan ini tidak sama antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain.

Pastinya ada pelajar yang lebih berhemah daripada yang lain. Dari segi kos yang diperlukan untuk kelestarian kursus yang diambil, ada kursus yang dapat ditangani dengan kos lebih rendah berbanding yang lain. Kursus perubatan atau kursus seni misalnya memerlukan kos kelangsungan yang lebih tinggi daripada kursus seperti komunikasi massa. Maksudnya, tidaklah boleh kita mempersepsikan bahawa setiap kursus di universiti sama sahaja kosnya (dari segi yuran setiap semester mahupun kos menanganinya semasa semester akademik sedang berjalan). Dalam pada itu, ada pelajar yang memang berkemampuan, dan ada yang tidak. Sekali lagi, ini menunjukkan demografi berbeza beza antara setiap pelajar di sesebuah pusat pengajian tinggi.

Dalam konteks tempatan, tidak dinafikan juga bahawa kos sara hidup di Malaysia yang semakin meningkat. Namun jika dibandingkan dengan negara- negara dengan kos sara hidup yang tinggi di dunia, Malaysia masih dikategorikan sebagai negara yang sederhana kos sara hidupnya. Negara negara seperti Switzerland, Norway, Hong Kong, dan Singapura dikategorikan sebagai negara dengan kos sara hidup tertinggi di dunia. Perbandingan jika dibuat dari segi harga rumah, kos barangan runcit, kos pengangkutan, kos utiliti seperti bil air dan elektrik, dan kos perubatan dan pendidikan seperti kos penjagaan anak, rata-rata kos di Malaysia adalah jauh lebih rendah.

Dari segi kos pendidikan, Malaysia dikategorikan negara yang menawarkan kos terendah di dunia. Di Amerika misalnya, kos pengajian di universiti swasta boleh mencapai hingga $50,000 – $70,000 setahun, manakala universiti awam untuk pelajar luar negeri boleh mencapai $20,000 – $35,000 setahun. Kos Penginapan pula mencapai sekitar $10,000 – $15,000 setahun. Di Malaysia, kos pengajian di universiti Awam adalah rendah kerana mendapat subsidi kerajaan iaitu sekitar RM 1,500 – RM 5,000 setahun untuk program ijazah sarjana muda. Di universiti swasta pula yurannya lebih tinggi iaitu sekitar RM 20,000 – RM 40,000 setahun. Namun, secara keseluruhannya kos pendidikan di Malaysia masih dianggap rendah berbanding negara negara lain di dunia. Tidak hairan, Malaysia mula menjadi pilihan ramai pelajar antrarabangsa untuk melanjutkan pengajian mereka.

Bagi pelajar Malaysia sendiri, pastinya kita tidak pernah memikirkan kos pengajian di negara lain kerana kita mengharungi realitinya sendiri di tempat di mana kita melanjutkan pengajian. Dalam satu kajian, didapati pelajar yang berasal daripada keluarga B40 dan sepenuhnya mengharapkan bantuan kewangan daripada pinjaman pendidikan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung seluruh perbelanjaan berkaitan pendidikan dan sara hidup mereka.

Masih subjektif jika kita berbicara tentang kecukupan wang dalam kalangan pelajar. Ini kerana, kita juga melihat ada golongan pelajar yang hidupnya mewah dan makan di restoren mahal namun apabila ada keperluan membeli buku, agak liat berbelanja untuk tujuan itu. Dalam hal ini, jelas bahawa kadang kala, persepsi negatif boleh timbul akibat sikap yang tidak memberi prioriti kepada perkara yang utama. Namun, tidak juga dinafikan ada pelajar yang memang kurang berkemampuan. Malah, ada pelajar yang turut membantu keluarga ketika masih belajar di peringkat universiti.

Jika benar kita tergolong dalam golongan kurang berkemampuan, ada baiknya kita melihat beberapa perkara supaya tidak menjejaskan prestasi akademik. Antaranya ialah gaya berbelanja, bantuan yang boleh dipohon dan program program khas yang dianjurkan di univesiti untuk membantu pelajar kurang berkemampuan. Di sinilah kekuatan pelajar teruji, dan sikap yang positif akan memberi nilai tambah kepada pembangunan diri pelajar.

Sungguhpun “kuat” mengharungi cabaran hidup, pastinya golongan pelajar ini lebih sukar mengharungi cabaran dengan kekangan sumber. Pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan lebih sukar “bergerak” sungguhpun dalam lingkungan kumpulan akademik yang kecil. Misalnya, untuk melaksanakan tugasan yang memerlukan wang seperti subjek fotografi yang perlu dilakukan di destinasi yang menarik pastinya memerlukan kos yang lebih tinggi berbanding kursus di dalam bilik darjah. Namun, pelajar juga harus kreatif kerana foto yang baik tidak semestinya dirakam di tempat yang indah. Di sinilah, kemahiran fotografi pelajar teruji apabila perlu merakam gambar di tempat yang biasa-biasa namun dapat menghasilkan gambar yang luar biasa!

Di sini, kreativiti dan kesungguhan mungkin boleh dilihat sebagai aspek paling utama yang boleh membantu pelajar dalam menangani isu kewangan yang dihadapi. Selain itu, bekerja sambilan juga dapat membantu menampung masalah kewangan pelajar, namun sekali lagi, pelajar perlu kreatif dalam hal ini. Misalnya, jika jadual kelas sangat padat dan tidak memungkinkan pelajar bekerja sambilan secara bersemuka, maka carilah peluang bekerja sambilan secara dalam talian. Malah, berniaga secara sambilan dalam talian juga adalah antara pilihan yang boleh dicuba oleh para pelajar.

Jangan dilupa juga ada banyak bantuan kewangan yang disediakan universiti mahupun pihak berkuasa berkaitan untuk pelajar kurang berkemampuan. Hubungi pusat zakat universiti misalnya dan cuba dapatkan bantuan yang diperlukan. Ada yang mungkin malu ingin mendapatkan bantuan, tetapi jika benar-benar memerlukan, tidak perlu malu malah lihatlah bantuan itu sebagai satu bentuk pemangkin yang membantu menyemarakkan kemajuan akademik yang diperlukan.

Hakikatnya, memang setiap orang mempunyai cabaran berbeza dalam hidup masing-masing. Kita perlu bersangka baik dengan Allah kerana kita dijanjikan hanya akan diduga dengan perkara-perkara yang mampu kita tangani. Berdoa dan berlapang dada, selain sentiasa meningkatkan usaha untuk menangani masalah yang dihadapi pastinya akan diberi jalan yang memudahkan.