Selama dua hari berturut-turut telah berlangsung aktiviti kemuncak sambutan hari Bahasa Arab sedunia yang bermula pada 18 dan 19 Disember ini, Ia dianjurkan oleh USIM bertempat di Nilai Spring dengan kerja sama World Organisation for Renaissamce of Arabic Language (WORAL) dan Qatar Foundation. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan menunjukkan keyakinan WORAL dalam memberi amanah kepada USIM bagi memartabatkan Bahasa Arab di luar negara Arab. Siri-siri diskusi dan pembentangan kertas kerja menunjukkan kepentingan pembelajaran Bahasa Arab di Malaysia dan juga peranan yang perlu dimainkan oleh USIM bagi memartabatkan kelangsungan perkembangan bahasa tersebut. Di akhir diskusi tersebut, Pengarah WORAL membuat kesimpulan bahawa isu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab kepada bukan penutur Arab khususnya di Malaysia mempunyai tiga sebab utama yang terdiri daripada isu pelajar, isu sukatan dan isu guru. Beliau mencadangkan supaya isu-isu tersebut dapat diatasi bagi menyemarakkan perkembangan Bahasa Arab di Malaysia.
Bagi mengatasi isu-isu tersebut, USIM sudah tentu bersedia dengan tenaga pakar Bahasa Arab yang mempunyai penyelidikan, penerbitan dan inovasi yang dapat diketengahkan. Dalam isu pelajar, strategi pembelajaran hendaklah diperkenalkan kepada pelajar supaya mereka dapat belajar secara kendiri, aktif dan juga melalui bahan-bahan elektronik yang terdapat di sekeliling mereka. Perubahan sikap pelajar hendaklah diberi keutamaan supaya pembelajaran Bahasa Arab dapat bersaing dan seiring dengan perkembangan pembelajaran di kurun ke 21 dengan berlandaskan pembelajaran konstraktivisme.
Dalam isu pengajaran pula, kemahiran dan latihan guru hendaklah ditingkatkan. Perubahan hendaklah berlaku daripada pembelajaran berpusatkan guru kepada pembelajaran berpusatkan pelajar. Begitu juga persekitaran pembelajaran hendaklah memberi peluang kepada pelajar untuk lebih berinteraksi dengan bahasa. Guru-guru Bahasa Arab juga perlu didedahkan dengan pendekatan pembelajaran kurun ke 21 bagi mencapai objektif pembelajaran. Dalam masa yang sama, penguasaan pedagogi tentang kandungan subjek perlu diberi perhatian. Guru perlu diberi latihan penguasaan bahasa yang baik. Termasuk dalam cadangan pembentangan kertas kerja juga, cadangan penggunaan bahan-bahan interaktif dalam pembelajaran Bahasa Arab. Bahan-bahan bantu mengajar yang semasa hendaklah dibekalkan supaya dapat melancarkan lagi proses pembelajaran.
Dalam isu sukatan pula, sukatannya hendak bersesuaian dengan kemahiran bahasa yang disasarkan. Buku teks hendaklah dibekalkan dengan buku-buku latihan dan juga CD yang boleh memudahkan proses pembelajaran secara kendiri. Penyediaan buku teks hendaklah mewakili persekitaran bahasa yang disasar. Contohnya, pelajar yang berada di negara Arab selama enam bulan, mereka akan dapat menguasai bahasa dengan baik melalui persekitaran sekeliling. Persekitaran merupakan guru dan juga sukatan kepada mereka. Sebenarnya persekitaran itulah yang perlu wujud dan dijelmakan dalam buku teks. Bahan-bahan latihan hendak dipelbagaikan dan juga kandungan bahan elektronik hendaklah diperbanyakkan. Begitu juga pembelajarannya hendaklah mengambil kira perkembangan teknologi semasa.
Pihak berkepentingan hendaklah melihat semula kepada isu-isu tersebut dan melakukan perubahan. Dengan adanya perubahan terhadap isu-isu yang sedia ada, proses pembelajaran Bahasa Arab akan dapat ditingkat dan menyeronokkan. Seterusnya ia dapat menyuntik semangat dan motivasi pelajar untuk terus belajar dan menguasai bahasa tersebut dengan lebih baik.