Guru Oh Guru hasil karya Usman Awang 1979 adalah antara karya sastera puisi yang malar segar dalam kehidupan masyarakat dan sering kali menjadi rujukan serta pilihan untuk dideklamasikan ketika sambutan hari guru, bulan kebangsaan mahupun majlis-majlis tertentu. Bait-bait puisi ini seolah memberi pengertian tersurat terhadap perjuangan dan pengorbanan warga pendidik dalam mendidik anak bangsa. Puisi Keris Itu Masih Ditangamu hasil karya Ahmad Sarju pula memberi penekanan tentang realiti dunia yang sebenar. Ada manusia berpura-pura baik tetapi penuh hasad sehingga menikam dari belakang dan ada sebahagian yang dianggap hina namun dialah yang paling berbudi. Isi tersurat secara umumnya dinyatakan menerusi kata-kata yang dibaca dan tersiratnya maksud lain secara mendalam yang ingin disampaikan oleh pengarang untuk dihayati oleh pembaca. Menterjemah makna disebalik keindahan bahasa cenderung kepada puisi. Puisi adalah wahana pilihan ramai untuk meluahkan rasa hati. Pada tahun 90-an penerbitan buku puisi menjadi tumpuan tidak mengira kelompok. Tidak terkecuali juga golongan bidang profesional dan kini kian popular di kalangan pemimpin negara yang menulis puisi sehingga genre ini menjadi pilihan terbitan sulung karya mereka.
Merujuk kepada Za’ba, puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa (A. Halim Ali, 2006:9). Edger Allan Poe mula mengatakan puisi sebagai ciptaan tentang sesuatu keindahan dalam bentuk berirama dan citarasa adalah unsur yang diutamakan manakala Dante pula menyebut puisi sebagai perkara-perkara benar yang diucapkan dalam bahasa yang indah. Begitulah pandangan para sarjana dan tokoh yang kesemuanya mengabsahkan keindahan disebalik sebuah puisi.
Puisi turut berperanan sebagai rumah kepada penghuninya sebagai medan pertemuan pengkarya, penggiat, penulis dan pengkaji. Pengumpulan dan pertemuan ini disambut baik oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang menjadikan Rumah PENA sebagai lokasi bertemu mata, wadah penyampaian aktiviti sastera dan persembahan puisi. Baca Puisi Rumah PENA diadakan pada hari jumaat minggu pertama setiap bulan seakan memberi nadi kepada pengkarya dan penulis. Konsepnya santai dengan acara di pentas Sutung Umar RS dan turut memberi peluang kepada penerbit-penerbit kecil menjual buku. Hingga kini PENA masih teruskan aktiviti ini dan menjadi tumpuan generasi lama dan baharu untuk mengeratkan silaturahim. Inisiatif PENA menghadirkan tetamu kehormat di kalangan pemimpin negara di segenap peringkat adalah langkah bijaksana untuk mengkarabkan hubungan dan memanjangkan tali persahabatan antara pemimpin dan rakyat yang berjiwa seni khususnya pentas puisi.
Kepesatan teknologi serta kebebasan media telah banyak mengubah cara masyarakat khususnya generasi Madani dalam menyuarakan pandangan, pendapat positif atau sebarang ketidakpuasan hati. Bagi mereka segalanya bebas dan boleh disuarakan meskipun ia bebaur negatif atau boleh menjatuhkan moral diri. Merujuk kepada akhbar (Berita Harian Online, 7 Mei 2024), “Kebebasan media wajar hormati pandangan, sensitiviti masyarakat menjelaskan kebebasan maklumat tanpa batas boleh mempengaruhi sikap dan tingkah laku masyarakat. Media sosial beri segalanya untuk meluahkan namun tanpa kita sedar ia juga telah banyak menghilangkan nilai pekerti iaitu adab dan nilai murni dalam menyuarakan pandangan sehingga mampu membawa kepada pertelingkahan. Indikator yang dibawa dalam Malaysia Madani sendiri memberi penekanan terhadap nilai hormat, yakin, percaya diri, tinggi daya cipta dan ihsan terhadap manusia dalam pengamalan setiap kelompok masyarakat dan segala unsur ini diterjemah melalui medium puisi.
Demikian puisi seharusnya menjadi suara setiap kelompok masyarakat tua mahupun generasi Madani dalam menterjemahkan setiap apa yang mereka rasakan tidak kira dalam apa sekali bentuk sama ada penulisan, deklamasi, ucapan, persembahan dan sebagainya. Kita memilih puisi kerana tidak ada puisi yang mengajak ke arah kejahatan dan puisilah banyak mengajar kita untuk sentiasa beradab dalam mengeluarkan kata-kata kerana bahasa mampu melembutkan, boleh menyedarkan manusia juga mampu menyatupadukan bangsa.
Puisi adalah medium yang boleh memandu manusia untuk menjadi seseorang yang tinggi nilai pekerti dan mendalam terhadap nilai ihsan kepada manusia. Namun bahasa hanya ramuan dalam mengindahkan sesebuah hasil karya dan yang paling penting ialah penghayatan dan kefahaman individu terhadap intipati serta maksud disebalik sesebuah puisi.
Untuk menghayati sesebuah puisi “Kita harus masuk ke dalam puisi, dan puisi harus masuk ke dalam kita”. Inilah pesanan oleh Sasterawan Negara ke-15 Datuk Rahman Shaari yang sering menjadi titipan dan panduan ketika beliau berkongsi tentang bagaimana menimbulkan perasaan, penghayatan serta pemahaman dalam sesebuah puisi atau mana-mana karya sastera. Penyampaian sesebuah puisi tidak lahir dalam masa yang singkat ia perlu melalui proses memahami, mendalami, membedah setiap rangkap hasil karya. Malah pemahaman terhadap sesebuah puisi juga boleh jadi berbeza berdasarkan apa yang dibayangkan dan pengalaman hidup yang pernah dilalui.
Puisi bukanlah sebuah karya sastera yang dilafaz tanpa difahami atau hanya tulisan dengan bahasa indah yang hanya disampaikan ketika majlis keraian seperti sambutan hari guru, bulan kemerdekaan, majlis perpisahan atau dideklamasi dalam sesuatu pertandingan. Namun ia berperanan sebagai medium penyampaian maklumat kepada masyarakat juga pemimpin.
Anugerah Tuhan karya A. Aziz Deraman membawa kita meneroka perihal menjadi manusia, segalanya bermula dengan penciptaan tuhan dan jangan terlalu mengejar dunia sehingga tiang layar menjadi dagangan, bersederhana dan bersyukurlah seadanya kerana pengakhiranya manusia hanya seorang hamba yang perlu kembali sujud pada pencipta-Nya.
Dalam setiap penyampaian puisi yang harus dicari bukan kreativiti semata-mata namun penyampaian yang Ikhlas penuh penghayatan dan yang paling sukar ialah menterjemahkan nilai estetika dalam sesebuah penyampaian bagaimana sesebuah karya yang mempunyai beberapa rangkap boleh menimbulkan unsur keindahan, kekaguman, keinsafan dan semestinya kesedaran kepada diri penyampai juga audiens yang mendengar.
Usaha untuk menanam rasa cinta terhadap keindahan bahasa dan kesusasteraan Melayu sejak dulu telah dilaksanakan oleh Gabungan Persatuan penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) di peringkat negeri dan kebangsaan. Melalui SDPK, GAPENA telah berjaya melahirkan ramai pemuisi di pelbagai peringkat umur merentasi latar belakang pendidikan dan kerjaya. Legasi penganjuran seumpama ini turut disambut oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui penganjuran Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) 2024 yang ditukangi oleh generasi muda juga mahasiswa daripada Kelab Penerbitan Kreatif dan Pusat Kebudayaan USIM dengan kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Penganjuran yang julung kali diadakan ini adalah salah satu usaha berterusan bagi mengangkat suara kemanusiaan melalui bidang sastera Melayu khususnya puisi ke peringkat antarabangsa. Membawa tema kemanusiaan merangkumi isu-isu kemiskinan, keamanan, kebebasan, pendidikan yang berlaku di dalam negara mahupun di luar negara. Program berbentuk pertandingan berhasrat meningkatkan kefahaman, serta minat kepada generasi muda dan masyarakat terhadap keunikan sastera puisi Melayu di Malaysia sekali gus menjadi medium melestarikan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca di pelbagai peringkat khususnya generasi Madani yang menjadi penghubung komunikasi di seluruh dunia.
Justeru, usaha mengangkat sastera Melayu dalam kalangan generasi madani khususnya puisi harus rancak diperkasa oleh semua pihak bukan hanya pada entiti berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Penulis Negeri atau badan-badan kerajaan kerana puisi adalah milik semua, karya yang tidak mati dan malar segar. Puisi bukanlah sekadar karya bermusim namun ia suara yang menyatupadukan kita semua. Ia harus disisip rapi dalam jiwa seluruh pencinta puisi sebagai lambang jati diri dan indentiti bangsa. Puisi perlu menjadi medium mengetengahkan bakat generasi penerus seni sastera Melayu zaman moden ini, sekali gus menyuntik semangat dan rasa cinta terhadap keindahan bahasa ibunda kita bahasa Melayu.
Akhirnya, puisi itu indah manifestasi dari jiwa yang subur dan mekar, namun jiwanya akan layu jika hanya bertongkat pada nafsu seni semata-mata, maka suburnya harusnya dibaja dengan nilai insani yang memandu manusia berpekerti mulia dan tinggi jati dirinya.