Syazlyna Jamil
Syazlyna JamilPenolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik
Dr. Fauziah Hassan
Dr. Fauziah HassanPensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia dengan peningkatan kes yang dilaporkan meningkat secara mendadak menyebabkan arahan untuk pekerja kembali menyesuaikan diri untuk bekerja dari rumah (BDR) atau Work from Home dilaksanakan. Arahan ini berkuatkuasa dengan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan pada 20 Oktober 2020 yang memutuskan pekerja di sektor awam dan swasta untuk kembali BDR terutama di kawasan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan terkini, perlanjutan PKPB di Daerah Seremban berkuatkuasa mulai 5 November hingga 11 November 2020.

Dalam konteks Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), arahan untuk kembali BDR ini diterima baik sebagai langkah pencegahan awal dan sokongan kepada kerajaan untuk bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19. Pelbagai hebahan dan informasi disampaikan kepada semua warganya untuk memastikan setiap warga USIM tidak ketinggalan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan betul.

Persekitaran baharu dengan bekerja dari rumah menuntut komitmen tinggi dari semua pihak dalam sesebuah organisasi. Bekerja dari rumah tampak mudah kerana hanya perlu menyiapkan tugasan kerja yang tertangguh tanpa terikat dengan masa sebenar waktu kerja di pejabat, namun ia mempunyai cabaran tersendiri kepada seseorang individu.

Cabaran yang dialami oleh setiap individu adalah berbeza baik yang bujang atau yang telah berkahwin. Bagi individu yang telah berkeluarga dan mempunyai anak kecil tentu lebih besar cabarannya. Masa semasa BDR harus digunakan dengan bijak supaya tiada keciciran berlaku sama ada dalam mengurus keluarga ataupun menyiapkan tugasan pejabat. Ini kerana hal ehwal keluarga juga perlu diberi perhatian seperti menjaga anak-anak, membuat kerja rumah dan sebagainya.

Nah, inilah cabaran yang sebenar kepada mereka yang BDR. Salah satu tips untuk mengekalkan prestasi kerja walaupun BDR adalah dengan memiliki kemahiran mengurus masa supaya dapat menyeimbangkan antara tugasan pejabat dan tanggungjawab di rumah. Sebagai contoh kepada mereka yang bergelar ibu, seharusnya memulakan rutin seawal pagi untuk menyiapkan menu hidangan buat ahli keluarga selain mengurus anak-anak. Tidak terlepas perlu memberi sedikit masa melayani anak melakukan aktiviti. Justeru, “jadual BDR” perlu diatur supaya individu akan lebih bersedia dan tidak kekok sekiranya menjalani BDR bagi jangka masa panjang.

Selain itu, mempersiapkan ruang kerja khas boleh membantu individu mendapatkan keselesaan bekerja dan lebih fokus melaksanakan tugasan. Jika membuat pengasingan bilik BDR daripada ruang aktiviti ahli keluarga adalah cara yang terbaik, kenapa tidak? Mungkin cara ini boleh membantu menggalakkan percambahan idea-idea baharu dan keputusan dapat dicapai sebaiknya. Tidak dinafikan suasana persekitaran juga memainkan peranan penting bagi mewujudkan ‘mood’ dan emosi yang tenteram. Justeru, ahli keluarga perlu diberi kefahaman situasi bekerja dari rumah agar membentuk persekitaran harmoni dan saling bertolak ansur.

Melaksanakan BDR ini juga memerlukan meter kepercayaan majikan kepada anak buah berada pada tahap yang baik. Diakui pemantauan tidak secara langsung, namun ia boleh diatasi dengan memaksimumkan penggunaan teknologi digital yang membantu komunikasi terus berlaku dan aktif berhubung. Individu pula perlu menjalankan amanah sebaiknya supaya mendapat keberkatan dalam kehidupan dan rezeki yang diperolehi. Operasi di USIM sudah pastinya memanfaatkan kemudahan teknologi dengan segala perbincangan dan mesyuarat dijalankan melalui pelbagai platform seperti Microsoft Teams, Zoom, Google Meet dan lain-lain. Cabaran menguasai teknologi baharu ini juga perlu diberi penekanan sepenuhnya oleh semua yang BDR untuk tidak ketinggalan dalam menyampaikan informasi dan juga menerima maklumat yang tepat.

Selain itu, menyesuaikan diri untuk bekerja dalam norma baharu ini memerlukan pengurusan emosi dan mental yang baik. Ini kerana, BDR jika dibandingkan berada di pejabat berpotensi menimbulkan beberapa konflik. Seperti contoh, penyampaian dan pemahaman terhadap sesuatu tugas yang diberikan. Ada kalanya, maklumat yang disampaikan melalui aplikasi WhatsApp Group contohnya boleh memberikan pelbagai interpretasi yang berbeza. Lebih buruk lagi, jika nada intonasi antara penerima dan pengirim mesej juga berbeza. Oleh itu, pekerja yang perlu BDR perlu bijak mengendalikan emosi supaya tugas yang diberikan mampu dilaksanakan dan memenuhi kehendak majikan selain mutu dan hasil tugasan bertambah baik dari hari ke hari.

Justeru, dalam mengekalkan emosi terbaik sepanjang BDR, individu tidak lain perlu bijak menyeimbangkan komitmen rutin di rumah dan tugasan pejabat yang harus dilunaskan. Di USIM, pelbagai siri perbincangan atau bual bicara mengenai pengurusan emosi dan psikologi diri kerap diadakan secara atas talian melalui siri Facebook Live dan sebagainya. Pengisian yang sebegini boleh memberikan staf USIM mendapat manfaat dengan ilmu yang dikongsi oleh mereka yang pakar. Selain itu, memanfaatkan BDR ini untuk mengisi rohani diri untuk mendekatkan diri kepada Allah juga sebagai salah satu terapi untuk menguruskan emosi yang pelbagai ragam dan meluahkan segala keluhan kepadaNya.

Hakikat bahawa Covid-19 telah menjadi fenomena baharu dalam dunia masa kini harus diterima oleh ahli masyarakat. Bagaimana hendak mengurangkan risiko ia mendekati kita dan keluarga? Seruan kerajaan, peringatan kesedaran di kampus oleh organisasi dan informasi semasa yang dihebahkan di sekeliling perlu kita sokong supaya kempen #kitajagakita berjaya. Malah, di USIM juga melaksanakan kempen #USIMjagasemua bagi meningkatkan kesedaran warga USIM agar tidak mudah leka menjalani kehidupan di norma baharu.

Mengadaptasi kehidupan dalam norma baharu ini sewajarnya perlahan-perlahan sudah boleh disesuaikan dalam kalangan kita semua. Menjaga jarak, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan perlu menjadi satu amalan wajib. Oleh itu, sama-sama kita doakan agar Malaysia dilindungi dan ancaman virus Covid-19 ini dan beransur reda supaya kita semua bebas menjalani kehidupan seperti sedia kala.